Elias Hj Idris
Kamarul Yusoff

AMANAT MAZA JAUH LEBIH BAHAYA DARI AMANAT HADI

Sungguh melucukan sekali membaca tulisan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza), bertajuk “Benarkah “Amanat Hadi: ‘Dr Maza Lupa Nasihat Sendiri’?”, yang disiarkan di halaman DrMaza.Com dan di portal berita Malaysia Kini pada 2 Januari 2018.

Tulisan Dr Maza ini adalah reaksi kepada “satu artikel tulisan seorang penulis PAS” di portal berita Harakah Daily pada 1 Januari 2018 yang sebenarnya merupakan tulisan saya, bertajuk “Amanat Haji Hadi: Dr Maza Lupa Nasihat Sendiri”, yang disiarkan di muka buku saya.

Saya telah lama memerhatikan ciri-ciri penakut dan tidak ilmiah Dr Maza yang tidak suka menyebut seseorang dengan nama sebenarnya tetapi menyelindungkannya dengan gelaran lain, di mana ciri-ciri ini tidak melambangkan beliau ahli akademik dan Mufti yang baik.

Dalam tulisan beliau di laman web DrMaza.Com pada 31 Mei 2012 umpamanya, Dr Maza menyebut mengenai tindakan “istana tertentu membida nombor kereta sehingga lebih RM500,000”, yang mendorong beliau menulis “‘jika’ golongan istana tidak boleh dipertikaikan bererti rakyat telah mempertuhankan mereka”. Sedangkan ramai tahu bahawa yang dirujukkan itu adalah Istana Johor, khususnya Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Dalam tulisan beliau di laman web DrMaza.Com pada 3 Oktober 2013 pula, Dr Maza menyebut mengenai “bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung” sedangkan “dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata”. Ini beliau jelaskan lagi secara lisan di dalam satu kuliah dengan berkata, “saya sebut, ada di negeri Antah Berantah kan, Antah Berantah ni tak kiralah, mana-mana, orang puji sultan dia pasal bini dia pakai tudung, orang kata bagus la, nak Islam, soleh, dekat-dekat nak jadi Wali Songo, dekat nak jadi wali dah maksudnya, tapi dalam masa yang sama dia ambik duit rakyat bina istana hampir 2 bilion.” Sedangkan ramai tahu bahawa yang dirujukkan itu adalah pembinaan Istana Syarqiyyah di Bukit Chendering oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Begitu juga dengan tulisan Dr Maza di laman web DrMaza.Com pada 7 Mei 2015 dalam mana beliau menyebut mengenai tindakan “media antarabangsa (yang) tidak henti-henti melaporkan kemewahan luar biasa wanita tertentu”. Sedangkan ramai tahu bahawa yang dirujukkan itu adalah isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bila saya, yang bukan merupakan “penulis PAS”, digelarkan oleh Dr Maza sebagai “penulis PAS” kerana tulisan saya tersiar di portal berita Harakah Daily, maka apakah pula yang boleh saya gelarkan Dr Maza kerana tulisan beliau yang tersiar di portal berita Malaysia Kini?

Tulisan Dr Maza yang panjang lebar ini cuba mempersoalkan tulisan saya yang menyebut beliau lupa kepada nasihat beliau sendiri dengan mendakwa kononnya saya memetik tulisan awal beliau bertajuk “Menilai Amanat Haji Hadi Dengan Adil” secara tidak seimbang.

Begitupun, penjelasan Dr Maza di dalam tulisan beliau ini gagal menyanggah dakwaan saya bahawa beliau lupa kepada nasihat beliau sendiri supaya “semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir” dan “kembali kepada politik yang dapat membina negara”.

Dr Maza mendakwa bahawa “(beliau) sebenarnya bukan membangkitkan kembali isu Amanat Hadi”, tetapi “(beliau) menjawab kenyataan Tun Mahathir”, khususnya “menafikan dakwaan Tun Mahathir yang menyatakan para mufti tidak bantah amanat tersebut”.

Bagaimanapun, pelik bila penelitian kepada laporan akhbar New Straits Times menunjukkan bahawa Dr Maza direkodkan sebagai “enggan memberi komen ke atas dakwaan Dr Mahathir terhadap para mufti” (“refusing to comment on Dr Mahathir’s accusation against muftis”).

Sebaliknya, apa yang lebih ditonjolkan oleh laporan akhbar New Straits Times ini ialah sokongan Dr Maza terhadap dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Peristiwa Memali, yang berlaku pada 19 November 1985, adalah berpunca daripada “Amanat Haji Hadi”.

Ini jelas tertera di dalam ayat pertama digunakan, iaitu Dr Maza “percaya bahawa 'Amanat Hadi' telah memainkan peranan yang membawa kepada tragedi berdarah (Memali) itu” (“believed that 'Amanat Hadi' had played a role leading up to the bloody (Memali) tragedy”).

Tidak dinafikan ada disebut pada hujung laporan akhbar New Straits Times ini ayat Dr Maza bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan waktu itu mengisytiharkan “Amanat Haji Hadi” adalah “misguided (sesat)”, tetapi ini sebenarnya bukanlah sanggahan kepada Tun Dr Mahathir.

Begitulah juga dakwaan terbaru Dr Maza, berpandukan laporan akhbar Utusan Malaysia pada 22 April 2001 dan 7 Januari 2013, kononnya Majlis Fatwa Kebangsaan pada 21 November 1984 mengisytiharkan “Amanat Haji Hadi” sebagai “bercanggah dengan ajaran Islam”.

Sangat menghairankan sekali bagaimana seorang pemegang ijazah PhD, apatah lagi seorang Mufti, seperti Dr Maza boleh menerima bulat-bulat berita yang diasaskan kepada sumber kedua tanpa terlebih dahulu menyemak kesahihannya dengan mana-mana sumber pertama.

Penelitian saya kepada sumber pertama, malah termasuk kepada buku “Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia” terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menunjukkan sebaliknya.

Ini kerana Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 21 November 1984 itu telah membincangkan mengenai isu kafir-mengkafir sesama orang Islam, bukannya mengenai “Amanat Haji Hadi”.

Keputusan penuh Muzakarah Khas ini, yang dipertegaskan semula di dalam bentuknya yang asal oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Januari 2013, adalah seperti berikut:

“a. Bahawa jika ada tuduhan atau anggapan oleh ahli atau penyokong PAS atau oleh sesiapa jua bahawa ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan yang beragama Islam sebagai kafir, atau sebaliknya iaitu ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan yang beragama Islam menuduh pemimpin atau ahli-ahli PAS kafir, adalah tidak benar sama sekali dan sia-sia. Oleh yang demikian ahli-ahli UMNO atau sesiapa jua yang mengucap Dua Kalimah Syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam Malaysia.”

“b. Sesiapa yang membuat tuduhan atau anggapan bahawa ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan atau sesiapa juga yang beragama Islam sebagai kafir, maka perbuatan itu adalah haram dan hendaklah bertaubat kepada Allah. Perbuatan itu hendaklah diberhentikan dengan serta merta.”

Tiada langsung rujukan mengenai “Amanat Haji Hadi” di dalam Muzakarah Khas ini dan keputusannya juga meliputi pengkafiran oleh “ahli atau penyokong PAS atau oleh sesiapa jua” dan oleh “ahli-ahli UMNO, pemimpin atau pegawai Kerajaan yang beragama Islam”.

Tindakan Dr Maza memarakkan kembali isu “Amanat Haji Hadi” yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir, khususnya dengan menyokong dakwaan beliau bahawa Peristiwa Memali adalah berpunca daripada “Amanat Haji Hadi”, adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Lebih tidak bertanggungjawab adalah tindakan Dr Maza menyatakan “Amanat Hadi punca kafir-mengkafir” dengan menyandarkannya kepada Datuk Dr Mujahid Yusuf, kononnya sebagai “pihak yang terlibat”, kerana beliau “anak bekas Presiden dan Murshidul ‘Am PAS”.

Sedangkan ramai tahu bahawa Datuk Dr Mujahid hanya aktif di dalam PAS pada akhir tahun 1990-an dan tidak mengetahui mengenai perjalanan PAS sebelum tempoh itu serta ramai tahu bahawa Dr Maza, Datuk Dr Mujahid dan Dr Maszlee Malik adalah “tiga sekawan”.

Apatah lagi bila Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri telah secara terbuka, umpamanya melalui satu wawancara yang tersiar di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 13 Ogos 2000, menyebut bahawa ucapan beliau itu tidak pernah mengkafirkan sesiapa, termasuk UMNO.

Kata Datuk Seri Abdul Hadi, ucapan beliau itu “lebih menjurus kepada memberi kefahaman dan kesedaran secara ilmu tanpa membuat tuduhan kepada sesiapa” membabitkan “kaedah-kaedah hukum syarak mengenai perkara-perkara yang merosakkan iman seseorang”.

Begitulah juga penegasan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sewaktu mempertahankan “Amanat Haji Hadi” pada 28 Disember 2012, bahawa “Tuan Guru Haji Hadi tidak pernah memurtadkan sesiapa, beliau hanya menjelaskan batasan iman dan kufur sahaja”.

Jika menjelaskan batasan iman dan kufur ini boleh dikatakan punca kafir-mengkafir, bagaimanakah pula dengan tindakan sama yang dibuat oleh Dr Maza sendiri sebelum ini, umpamanya di dalam tulisan beliau di laman web DrMaza.Com pada 9 Julai 2010 yang menyebut bahawa “sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia terkeluar dari Islam” selain menyebut bahawa “demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pengharaman arak, judi, zina dan seumpamanya”?

Sebenarnya membuat “Amanat” bukanlah satu kerja yang terlalu sukar jika anda kreatif. “Amanat Haji Hadi”, seperti diakui oleh penciptanya, Omar Khalid, di rumah beliau kepada saya, adalah keratan daripada ucapan Datuk Seri Abdul Hadi pada 9 April 1981.

“Amanat Haji Hadi” ini bagaimanapun tidaklah merbahaya seperti yang didakwa oleh Dr Maza, kerana ia hanya bercakap mengenai soal pertentangan antara parti-parti politik dan, seperti diakui oleh Dr Maza dan Dr Maszlee sendiri, tidak pun mengkafirkan UMNO.

Apa yang jauh lebih merbahaya adalah “Amanat Maza” yang merupakan keratan daripada tulisan Dr Maza di laman web DrMaza.Com pada 6 Februari 2014 yang, selain menghina keturunan raja/sultan, bercakap mengenai kritikan dan pembuangan institusi raja/sultan.

Ini kerana, tidak seperti parti-parti politik, institusi raja/sultan diberikan kedudukan dan perlindungan yang istimewa, baik di dalam Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri, tambahan pula dengan kedudukan raja/sultan sebagai Ketua Agama Islam.

Sangat pelik bagaimana Dr Maza boleh terus-terusan dilantik memegang jawatan sebagai Mufti bila terang-terang kenyataan beliau di dalam “Amanat Maza” ini dilihat cuba menanamkan bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap institusi raja/sultan.

Apatah lagi, bila disemak dengan teliti segala tulisan Dr Maza selama ini, sama ada yang disiarkan di halaman DrMaza.Com atau di laman web DrMaza.Com, turut didapati penanaman bibit-bibit ketidaksetiaan dan kebencian terhadap kerajaan yang memerintah.

Di bawah ini adalah kandungan “Amanat Maza” tersebut:
“Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi.”
“Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap mengkritik golongan bangsawan istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan.”

“Walaupun Parsi, Rome, China, beberapa Negara Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke mana perginya maharaja-maharaja mereka?! Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat. Nepal juga telah membuang institusi raja mereka.”

“Pembuangan sistem istana dan agama yang diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa Eropah maju dan bebas dari cengkaman kezaliman.”

“Golongan samseng yang menyakiti rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditempat di muzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan catatan hitam ‘samseng’.”
1 Response
  1. Anonymous Says:

    .. .... Ketua Wahabbi di Malaysia.