Elias Hj Idris
Dalam pendekatan dan pemahaman agama ini kita boleh umpamakan keadaannya seperti kisah 4 orang buta yang cuba mengenali rupa sang gajah. Pada si buta yang memegang ekor gajah, dia beranggapan rupa gajah itu kecil seperti sebatang rotan. Bagi yang memegang kaki, mengatakan gajah itu seperti batang kelapa.

"Eh, bukanlah macam batang pokok kelapa. Gajah ni macam nyiru - lebar," jerit si buta yang memegang telinga sang gajah. Demikian seterusnya dengan si buta yang memegang badan gajah - yang dikatakannya seperti dinding - punya la lebar.

Begitulah kisahnya buat mereka yang mengaji sebahagian, tetapi meninggalkan satu aspek pengajian yang lain. Pada mereka yang mengaji syariat, sering tidak bersetuju dengan ahli tariqat disebabkan oleh masalah kefahaman dan pendekatan. Demikian halnya dengan ahli hakikat dan ma'rifat.

Bagi seorang yang seorang celik dan cerdik sesuai dengan ilmunya yang berada di atas sebatang pokok akan mudah untuk memerhatikan bagaimana rupa bentuk sebenar gajah berkenaan. Inilah permulaan kepada apa yang dipetik daripada kitab 'Sirrul Asrar Fi Ma Yahtaju Ilayhil Abrar' oleh Ghawthul A'zham Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه , iaitu tentang Nur Muhammad (iaitu hakikat Muhammad) - atau ringkasnya asal kejadian insan.

Segala-galanya bermula melalui kefahaman daripada ayat ini; "Tidak Kujadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembahKu semata-mata," - surah az-Zaariyat: 56

Ini hakikat kejadian sebenar setiap hamba Allah di atas muka bumi ini. Oleh kerana Allah hanya memilih jin dan manusia - yang ada akal dan sebagai hamba yang terpilih maka itulah ruang litup bicara kita.

Kebesaran yang ditunjukkan Allah kesan lakaran kalimah jawi 'ALLAH'
yang terpancar di atas Mesjid Nabawi, Madinah

Dari mana kita?

"Sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia dari tanah kering, dari tanah hitam yang berubah." - surah al-Hijr: 26

Allah beritau ini di hadapan sekelian para malaikat, termasuk ketua mereka, Azazil.

"Jin, Kami ciptakan sebelum manusia dari api yang sangat panas."  -  surah al-Hijr: 27

Sebaik sahaja kejadian hamba itu selepas disenyawakan, pada umur 120 hari maka janin itu ditiupkan rohnya oleh Allah swt.

"Apabila Aku sempurnakan kejadiannya, dan Kutiupkan ke dalamnya daripada ruhKu, lalu meniaraplah mereka sujud kepadanya (Adam a.s)." - surah al-Hijr: 29

Ketika roh itu ditiupkan, ada 4 perkara yang Allah perintahkan malaikat menulis sebelum kelahiran sekelian anak Adam itu ke dunia; iaitu tentang rezekinya, jodoh, untung baik/jahatnya (qada' dan qadarnya) dan akhir sekali ialah tentang ajal (maut), iaitu beserta dengan di manakah letak tanah kuburnya - untuk disemadikan.

(Nota: Ada hadis yang menjelaskan tentang perkara keempat, iaitu berkenaan dengan ajal-maut yang ditetapkan itu berhubung-kait dengan sedekah dan hubungan silatur-rahim bagi mengelakkan kematian yang tidak baik, selain melanjutkan umur. Menurut tafsiran para ulama kematian yang tidak baik itu adalah mati ngeri dari kesan kemalangan. Kedua ialah mati dengan membunuh diri - iaitu mengambil nyawanya sendiri hasil bujukan iblis dan syaitan laknatullah).

"Dia yang menggambarkan (membentuk) kamu dalam rahim ibumu, sebagaimana yang dikehendakiNya. Tidak ada Tuhan, kecuali Dia yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."  -  surah Ali Imran: 6

Pada waktu itulah ada janji yang termaktub di antara sang hamba yang baru tercipta itu; sebagai lembaga yang berasal daripada Nur Muhammad (maka laluan hidupnya kelak juga mesti mengikut acuan dan anjuran Nabi Muhammad saw). Dia mesti mengikut sirah baginda. Namun ada di antaranya yang tidak sanggup berjanji untuk memikul amanah berkenaan. Dan ia dimatikan ketika masih dalam kandungan; ada yang lahir, kemudian mati. Malah ada yang dicubai untuk terus hidup, tetapi dimatikan juga sewaktu masih di alam kanak-kanak (sebelum mencapai akil-baligh apabila amanah itu diserahkan dan janjinya itu mula dikira).

"Dia yang menurunkan kitab kepada engkau, di antaranya ada ayat-ayat yang muhkamat (terang maksudnya), sekeliannya ibu kitab dan yang lain mutasyabihat (kurang terang maksudnya). Adapun orang-orang yang mereng hatinya (suka kepada yang batil), maka diikutnya apa-apa yang mutasyabihat kerana menghendaki fitnah dan mencari-cari takwilnya (maksudnya) dan tak ada yang mengetahui takwilnya, melainkan Allah; dan orang-orang yang dalam ilmunya berkata; kami beriman kepada yang mutasyabihat, semuanya di sisi Tuhan kami; dan tiadalah yang menerima peringatan melainkan orang-orang yang berakal."  - surah Ali Imran: 7

Dan pada waktu itu juga ada di antaranya yang Allah swt menetapkan mana yang beriman dan mana yang kafirnya; "Barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tak adalah petunjuk baginya dan dibiarkanNya mereka dalam kedurhakaan serta dalam keraguan."  -  surah al-A'raaf: 186


Itulah jasad yang terdiri daripada 4 unsur yang asas dari Nur Muhammad yang dikatakan itu; iaitu yang terdiri daripada  - tanah, air, api dan angin dari empat penjuru alam nan luas kepada alam makhluk - iaitu alam hamba, manusia yang terdiri daripada 7 juzuk utama - darah, daging, tulang, kulit, lendir, bulu dan roma.

Pun begitu hamba yang dijadikan ini masih dikira sebagai sebuah 'sangkar' yang masih kosong. Zahirnya hidup, tetapi ia tidak berkuasa apa-apa; tidak bermaya.

Maka Allah berikan 7 sifat daripada milikNya; qudrat, iradat, ilmu, hayyat, sama' (pendengaran), bashar (penglihatan) dan qalam (iaitu berkata-kata). Jika sang hamba itu lahir tanpa mana-mana 7 sifat itu, atau ditarik kembali pemberianNya daripada salah satu sifat tersebut maka cacatlah sang hamba berkenaan. Jika apa yang ditarikNya itu qudrat, maka lembiklah sang hamba seumpama batang keladi yang busuk! Ia wujud tanpa tenaga dan kekuasaan.

Maka dari situ sempurnalah kejadian insan apabila sah memiliki 7 sifat tersebut. Kalau dalam pengajian hakikat tasauf pada bab mengenal diri 7 zat itu dicampurkan dengan 7 sifat dan dicampur lagi 7 zat ibu dan ayah (punca datangnya air mani + benih) menjadi 21 kesemuanya, iaitu dalam menyatakan sifat 20 + 1 yang harus bagi Allah). Maka oleh sebab itu sebaik sahaja lahir sang bayi itu ke dunia dia diazankan di telinga kanannya - untuk memberitahu dan mengingatkan tentang fitrah kejadian bahawa asal dirinya itu adalah dari Zat yang satu, iaitu Allah Yang Maha Besar - daripada tiada kepada ada; adanya sang hamba yang masih tidak mengerti apa-apa.

Daripada kalimat azan itu, dia diperingatkan bahawa 'Tiada yang nyata selain Allah, dan Nabi Muhammad itu (asal bayi itupun dari Nur Muhammad!) adalah pesuruh Allah. Dia kena mengerjalan solat (dalam memahami hakikat kejadiannya) hasil daripada ajakan azan itu demi untuk mencapai kejayaan (di dunia dan akhirat). Kemudian dia diperingatkan lagi akan kebesaran Allah swt, dan tiada yang nyata sesungguhnya melainkan Allah.

Anak-anak yang masih suci bersih: Pada waktu ini mereka
masih berada dalam peliharaan Allah swt - di mana iblis/syaitan
tidak berkuasa apa-apa. jatuh bangunan pun masih bisa selamat.
Itu kebesaran Allah swt dengan qudrat iradatNya.


Ketika berusia 7 tahun lagi anak itu diminta bersolat - dengan tujuan untuk mengajak dia 'kembali' ingat akan Allah - sebagai punca asal kejadiannya - daripada yang tidak ada itu. Dan anak itu dipukul ketika berusia 10 tahun jika masih enggan solat. Itulah kesan daripada hakikat kejadian insan - yang berpunca daripada Nur Muhammad itu.

Di antara tempoh tersebut hingga berusia 15 tahun - anak itu masih berada dalam peliharaan Allah swt dari segi keselamatan zahir-batinnya. Malah dalam banyak keadaan atau petaka sekalipun, seandai kanak-kanak itu jatuh atau ketika bersama ibu dan ayahnya yang mengalami kemalangan, Allah bisa selamatkan dengan tidak ada apa-apa kecederaan (walaupun setinggi bangunan runtuh seperti Highland Towers tempohari!). Iblis pun masih berada di luar bidang kuasanya untuk menyesatkan sang kanak-kanak yang masih suci bersih seperti kapas itu.

Namun sebaik anak itu akil-baligh (berusia 15 tahun, 9 tahun bagi perempuan), tugas menjaga kesucian dirinya itu pun diserahkan secara mutlak sebagai amanah - iaitu janjinya ketika ruh ditiupkan semasa dalam kandungan, ketika janin berusia 120 hari; di waktu rezeki, umur, jodoh, ajal dan tanah kuburnya ditetapkan di Luh Mahfuz. Kesucian diri itu adalah untuk sentiasa berada dalam kalimah Lailaha-illallah, iaitu dalam kandungan 'kota Tuhan' Zat Wajib-al Wujud Allah.

"Katakanlah: Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya dan menunjuki orang yang kembali (taubat) kepadaNya."  - akhir surah ar-Rad: 27

Sebagai hamba milik Allah sepenuhnya maka dia dikehendaki memulakan tiap sesuatu itu dengan 'Bismillah-ir rahman-ir rahim' serta mengakhirinya (menutupnya) dengan 'Alhamdulillah'. Barulah dia menjadi sang hamba yang tau mengenang budi; untuk mengenal siapakah dirinya yang sebenar itu... dalam penciptaan 'iman'?

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingat Allah. Ingatlah (bahawa) dengan mengingat Allah itu, tenteramlah segala hati."  - surah ar-Rad: 28

Namun musuh bagi manusia itu tetap ada; iaitu iblis, dari keturunan Azazil yang masih tidak berpuas hati sejak awal kejadian Adam a.s yang berasal daripada tanah hitam yang dipijak orang (Iblis tidak puas hati kerana dia dijadikan daripada api! Maka dialah yang patut dijadikan khalifah di atas muka bumi). 

"Maka sujudlah malaikat-malaikat itu kesemuanya, kecuali iblis, ia enggan sujud bersama malaikat-malaikat yang sujud."  -  surah al-Hijr: 30-31.

"Berkata iblis: Hai Tuhanku! Demi, sebab Engkau menyesatkanku akan kuhiaskan kepada mereka (kejahatan yang ada) di bumi (sehingga mereka nampak baik) dan demi, akan kusesatkan mereka itu kesemuanya." - surah al-Hijr: 39

Kalangan yang bernafsu besar...

"Kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas." - surah al-Hijr: 40

Allah akur dengan kehendak sang iblis itu, namun Allah bertegas, "Sesungguhnya, hamba-hambaKu tidak ada bagi engkau kekuasaan atas mereka, kecuali orang yang mengikut engkau di antara orang-orang yang sesat." - surah al-Hijr: 42

Atau yang Allah swt tekankan jaminanNya betapa hambaNya yang ikhlas dan beramal soleh akan tetap terpelihara dari godaan. FirmanNya dalam surah an-Nahli: 99;

"Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai kekuasaaan atas orang-orang yang beriman serta bertawakkal kepada Tuhannya."

Hanya mereka yang berusaha untuk sentiasa berada dalam kandungan Zat Wajib-al Wujud itu - yang sentiasa memulakan sesuatu dengan Bismillah... serta diakhiri dengan Alhamdulillah sahaja yang akan selamat selama mana dia meletakkan dirinya berada di dalam 'kota Tuhan' dari serangan iblis dan syaitan laknatullah.

Sebagai Zat yang sentiasa berlaku adil, Allah tetap akan adil juga terhadap hambaNya sang iblis yang berusaha untuk menyesatkan anak-cucu Adam a.s. (seperti dalam al-Hijr: 39 itu), namun sanggahan Allah adalah jelas (surah al-Hijr: 42 dan an-Nahl: 99).

Maka untuk tujuan itu Allah swt bekalkan sang hambaNya yang dikasihi itu dengan ubat pencuci dosa yang paling utama, iaitu kalimah istighfar (bagi menghilangkan dosa-dosa kecil melalui lintasan hati atau dari pandangan mata yang tidak baik kesan dorongan iblis dan syaitan). Dan sebagai perisai untuk perlindungan seterusnya ialah dengan mengakui hakikat bahawa segala-galanya yang ada ini milikNya semata-mata. Jadi, setiap untuk memulakan sesuatu ucapan pertamanya adalah basmallah, "Dengan nama Allah yang amat Pemurah lagi amat Pengasihani'.

Kemudian sebagai hamba yang sentiasa berada dalam 'kota Tuhan'nya maka dia akan sentiasa mensyukuri segala rahmat dan nikmat yang Allah berikan (dengan ucapan alhamdulillah). Ia bagi tujuan meletakkan sang hamba itu sebagai makhluk yang tahu mengenang budi dan kenal erti bersyukur - meraikan kenikmatan yang Allah berikan (supaya jangan jadi pelahap macam si ular sawa!).

Jika datang lagi dugaan atau musibah daripadaNya, maka dianjurkan pula ucapan 'SubhanAllah' - Maha Suci Allah kerana sang hamba itu sedia mengkagumi qudrat dan iradat Tuhannya. Sedangkan dirinya lemah tidak terdaya apa-apa! Jika terlebih berat lagi dugaan yang mendatang, ia diiringi dengan ucapan 'MasyaAllah', iaitu satu tahap redha dan mukhlis di atas segala ketentuan Tuhan Rabbul-jalil.

Dan jika ujian itu terus mendatang dan memberat maka itulah guna ungkapan tawakkal yang dianjurkan - 'La-haula wala-quwwata-illah billahil-'aliyyil 'azzim', iaitu dengan menyerah kembali segala dugaan dan ujian itu kepadaNya sebagai Yang Maha Berkehendak di atas setiap sesuatu. Lantaran kita hanyalah hamba yang tidak punya dan tidak berupaya apa-apa. Kita hanya sang hamba yang lemahdan sentiasa menyerah!

"Katakanlah: Tiadalah yang akan menimpa kami, kecuali apa yang telah dituliskan Allah bagi kami, Dia wali kami dan kepada Allah hendaklah bertawakkal orang-orang yang beriman."  - surah at-Taubah: 51

Itulah di antara ucapan dan ungkapan yang perlu ada buat sesiapa yang berasakan dirinya hamba Allah swt di sepanjang hidup ini. Ia yang akan meranapkan segala keegoan, besar diri, riya' ujub dan sombong diri yang tidak bertempat. Dan ia adalah proses pembersihan diri (batin!) dan meletakkan seluruh jiwa raga itu ke dalam kerangka insaf dan 'sedar diri'. Sesudah itu, apabila tiba masanya untuk kembali ke pangkuanNya (daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan...) - maka dengan qudrat dan iradatNya jua, sang hamba itu akan pergi dengan keadaan redha-meredhai dalam husnul-khotimah; dipenuhi dengan segala pengampunan buat melayakkannya masuk ke syurga Allah.

Itulah matlamat dan kerja hidup kita.
0 Responses