Elias Hj Idris

Swiss: US$4 bil dipercayai digelapkan dari 1MDB

January 30, 2016

Beberapa bekas pegawai kerajaan Malaysia dan kedua-dua bekas pegawai dan pegawai semasa dari Emiriyah Arab Bersatu dikatakan terlibat.
1mbd-swiss

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Switzerland mendedahkan sebanyak AS$ 4 bilion mungkin telah disalahgunakan daripada dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan dipindahkan ke akaun bank di Switzerland.

Beberapa bekas pegawai kerajaan Malaysia dan kedua-dua bekas pegawai dan pegawai semasa dari Emiriyah Arab Bersatu dikatakan terlibat.

Peguam Negara Switzerland kini telah menyeru bantuan usahasama supaya pihaknya dapat mengambil tindakan terhadap dua bekas pegawai 1MDB dan lain-lain yang terlibat.
Siasatan itu melibatkan rasuah, salah laku di pejabat kerajaan dan pengubahan wang haram.

surat-swiss

Dalam satu kenyataan media semalam, pejabat Peguam Negara Switzerland mendedahkan perjanjian kerjasama antara kedua-dua negara dicapai dalam satu mesyuarat yang diadakan di Zurich pada 15 Sept tahun lepas bersama rakan sejawat di Malaysia.

“Siasatan Swiss ini juga membongkar bahawa dana telah disalahgunakan daripada syarikat-syarikat kerajaan Malaysia,” petik kata kenyataan itu.

“Wang yang dipercayai telah disalahguna mungkin digunakan untuk pelaburan dalam projek-projek pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia".

Setakat ini empat kes melibatkan tuduhan perlakuan jenayah meliputi tempoh 2009-2013 telah dibongkar menerusi pendedahan ini (berkaitan dengan PetroSaudi, SRC, Genting, Tanjong dan ADMIC), setiap satunya melibatkan tindakan sistematik melalui struktur kewangan yang kompleks.

Ia juga menyatakan kertas prosiding jenayah telah dibuka pada 14 Ogos terhadap dua bekas pegawai 1MDB dan individu lain yang tidak diketahui kerana disyaki terlibat dalam merasuah pegawai-pegawai kerajaan asing, salah laku di pejabat kerajaan, pengubahan wang haram dan salah urus jenayah.

“Jumlah wang yang disyaki telah disalahguna berjumlah sekitar USD4 bilion; dan tujuan kegunaan menjadi subjek siasatan lanjut.

“Bagaimanapun, setakat ini syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kerugian yang dipercayai telah dilakukan. Tujuan meminta bantuan bersama adalah untuk menasihati syarikat-syarikat dan kerajaan Malaysia bagi keputusan prosiding jenayah Swiss, dengan harapan untuk membongkar jikalau skala kerugian dikekalkan. ”

Tambah kenyataan itu, permintaan rasmi untuk bantuan bersama akan dibuat dengan pihak berkuasa Malaysia dalam masa beberapa hari lagi.
0 Responses