Elias Hj Idris

                                 Universiti Islam yang pertama di China, 1908



Menurut pendapat As Sayyid Muhammad bin Alawiy Al Maliki Al Hasani (Mufti Mekkah) dalam makalahnya yang berjudul "Haulal-Ihtifal Bil Maulidin Nabawiyyisy Syarif" ertinya "Sekitar peringatan maulid Nabi Yang Mulia' bahawa menurut ulama, bid'ah itu dibahagi menjadi lima bahagian iaitu:

Bid'ah wajib: Seperti menyanggah orang yang menyelewengkan agama, dan belajar bahasa Arab, khususnya ilmu nahwu.

Bid'ah mandub/boleh: Seperti membentuk ikatan persatuan kaum muslimin, mengadakan sekolah-sekolah, mengumandangkan azan di atas menara dan memakai pengeraspenguat suara, berbuat kebajikan yang pada masa pertumbuhan Islam belum pernah dilakukan orang.

Bid'ah makruh: menghias mesjid-mesjid dengan hiasan yang tidak kena pada tempatnya, mendekorasi kitab-kitab Al Quran dengan lukisan dan gambar-gambar yang tidak semestinya.

Bid'ah mubah: Seperti menggunakan saringan (ayakan), makan dengan senduk dan garpu dll.

Bid'ah haram: Semua perbuatan yang tidak sesuai dengan dalil-dalil umum hukum syariat dan tidak mengandung kemaslahatan yang dibenarkan oleh syariat.

Apabila semua bid'ah dholalah atau haram, maka sebahagian amalan-amalan para sahabat serta ulama-ulama yang akan dihuraikan di bawah ini, yang mana oleh Rasul saw tidak dijalankan atau diperintahkan, semuanya dholalah/haram. Umpamanya:

Bila semua bid'ah haram maka pengumpulan ayat-ayat Al Qur'an, penulisannya serta pembukuannya (kodifikasinya) sebagai mush-haf (kitab) yang dilakukan oleh Abu Bakar, Umar bin Khattab dan Zaid bin Tsabit r.a adalah haram. Padahal tujuan mereka adalah untuk menyelamatkan dan melestarikan keutuhan dan keautentikan ayat-ayat Allah. Mereka khuatir kemungkinan adanya ayat al Quran yang hilang disebabkan adanya orang-orang yang menghafalnya meninggal dunia.

Apabila semua bid'ah haram maka perbuatan khalifah Umar bin Khattab r.a yang menjama'ahkan kaum muslimin dalam solat tarawih berma'mum pada seorang imam adalah haram. Bahkan ketika itu beliau berkata: "Bid'ah ini sungguh nikmat".

Apabila semua bid'ah haram maka adanya pemberian titel-titel doktor atau drs. pada universiti Islam adalah haram kerana pada zaman Rasul saw cukup banyak sahabat yang pandai belajar ilmu agama, tetapi tidak ada satupun daripada mereka yang diberi titel-titel di belakang namanya.

Apabila semua bid'ah haram maka mengumandangkan azan dengan pengeras/pembesar suara, membangun hospital, rumah anak yatim piatu, membangun penjara untuk menghukum orang yang bersalah dll. adalah haram.

Malah masih banyak lagi contoh bid'ah/masalah-masalah baru seperti: peringatan hari kemerdekaan, halal bi-halal, peringatan hari ulang tahun berdirinya satu negara atau pabrik dll, yang mana ini semua tidak pernah dilakukan pada masa hidup Rasulullah saw serta para pendahulu kita di masa lampau.

Sesungguhnya masalah yang baru tersebut walaupun tidak pernah dijalankan pada masa Nabi saw serta para pendahulu kita itu, tetapi selama masalah ini tidak menyalahi syariat Islam, maka tidak bererti haram untuk dilakukan.

Kalau semua masalah baru tersebut dianggap bid'ah dholalah (sesat) maka akan tertutuplah pintu ijtihad para ulama, tetapi alhamdulillah fikiran dan akidah sebagian besar umat muslimin tidak sedangkal itu.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Imam Syafii, Al Izz bin Abdis Salam, Imam Nawawi dan Ibnu Atsir r. a dan para ulama lainnya bahawa bidah/masalah baru yang diadakan ini apabila tidak menyalahi atau menyimpang daripada syariat, maka semua itu adalah mustahab/dibolehkan apa lagi dalam hal kebajikan dan sejalan dengan dalil syara', maka itu adalah bahagian daripada agama.

Amal kebajikan dan kebijaksanaan yang dilakukan para sahabat, kaum salaf sepeninggal Rasul saw itu diteliti oleh para ulama dan diuji dengan Kitabullah, Sunnah Rasul saw dan kaidah-kaidah hukum syariat. Apabila setelah diuji ternyata baik maka prakarsa tersebut dinilai baik dan dapat diterima. Sebaliknya, bila setelah diuji ternyata buruk, maka hal tersebut dinilai buruk dan dipandang sebagai bid'ah tercela.

Masalah yang telah dinilai baik dan dapat diterima ini disebut bid'ah hasanah. Ia disebabkan sesuatu yang diperbuat atau dikerjakan oleh sahabat bukan atas perintah Allah dan Rasul-Nya itu bisa disebut bid'ah, tetapi sebagai bid'ah hasanah. Ini dalam pandangan hukum syariat bukan "bid'ah" melainkan "sunnah mustanbathah", yakni sunnah yang ditetapkan berdasarkan "istinbath atau hasil ijtihad".

Juga ditulis oleh Mufti Mekkah As Sayyid Muhammad bin Alawiy Al Maliki Al Hasani pada sebuah makalahnya yang berjudul "Sekitar peringatan Maulid Nabi yang Mulia (Haulal ihtifal bil Mauliddin Nabawiyyisy Syarif) adalah sebab:

Apa yang dikatakan oleh orang fanatik/ekstrem bahawa apa yang tidak pernah dilakukan oleh kaum salaf, tidaklah mempunyai dalil bahkan tiada dalil sama sekali bagi hal itu.

Ini bisa kita jawab bahawa tiap orang yang mendalami ilmu ushulud-din mengetahui bahawa Asy-Syari' (Rasulullah saw) menamai bid'ahtul hadyi (bid'ah dalam menentukan petunjuk pada kebenaran Allah & RasulNya) sunnah, dan menjanjikan pahala bagi pelakunya.

Sabda Rasul saw yang diriwayatkan oleh Muslim dari Jarir:

"Barang siapa di dalam Islam merintis jalan (sunnah) kebajikan, kemudian sepeninggalnya kebajikan itu diamalkan orang lain maka baginya ditetapkan pahala yang sama dengan pahala yang diberikan pada pihak yang mengamalkannya. Ganjaran mereka sedikitpun tidak dikurangi."

Masih banyak lagi hadits yang serupa itu diriwayatkan oleh Muslim dari Abu Hurairah dan dari Ibnu Mas'ud ra.

Firman Allah swt:

"Hendaklah kalian berbuat kebaikan, agar kalian memperoleh keberuntungan". (Al Hajj:77)

Meskipun hadis Rasul saw dari Jarir di atas itu berkaitan dengan soal sedekah, namun kaedah pokok yang telah disepakati oleh para ulama menetapkan bahawa "...pengertian berdasarkan keumuman lafadz, bukan berdasarkan kekhususan sebab".

Dalam bahasa Arab dan menurut peristilahan hukum syara', sunnah bererti jalan/toreqah. Jadi kesimpulan hadis di atas adalah sesiapa yang berbuat kebaikan dan tidak berlawanan dengan agama maka perjalanan tersebut disebut sunnah hasanah/perjalanan yang baik. Sebaliknya jika jalan yang ditempuh tersebut buruk/maksiat maka hal tersebut disebut sunnah sayyiah/jalan yang buruk.

Jadi apa yang dimaksudkan sunnah pada hadis di atas itu bukan sebagaimana yang menjadi pengertian kaum awam yang mengertikannya, sebagaimana yang kita kenal dalam istilah fiqih, iaitu sesuatu yang dikerjakan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak mendatangkan dosa.

  Apa yang dimaksudkan adalah sunnah Rasul saw, yakni jalan yang Baginda tempuh, baik dalam amal perbuatan atau perintah.

Jadi sesuatu yang belum pernah diamalkan atau belum ada pada masa beliau itu harus dipertimbangkan dan dinilai apakah hal tersebut baik atau jelik atau apakah hal tersebut bertentangan/menyalahi agama atau tidak. Apabila hal tersebut tidak menyalahi agama maka ia dapat diterima.

Ar Raghib Al-Ashfahaniy dalam kitabnya Mufradatul Qur'an bab sunan halaman 245 mengatakan: Sunan adalah jamak dari kata sunnah. Sunnah sesuatu bererti jalan sesuatu. Sunnah Rasulullah saw bererti jalan Rasul saw, iaitu jalan yang ditempuh dan ditunjukkan oleh Baginda sedangkan sunnah Allah dapat diertikan sebagai "jalan hikmah-Nya"

Contoh firman Allah swt:

"Sunnatullah yang telah berlaku sejak dahulu. Kalian tidak akan menemukan perubahan pada Sunnatullah itu". (Al Fatah: 23).

Jadi cabang-cabang syariat hukum syariat sekalipun berlainan bentuknya, tetapi tujuan dan maksudnya tidak berbeza aatau berubah, iaitu membersihkan jiwa manusia dan mengantarkannya kepada keredhaan Allah swt.

Begitulah Ar Raghib Al Ashfahaniy.

Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya "Iqtidha'us shirathil Mustaqim" berkata:

Kata "sunnah" dalam hal itu bererti adat kebiasaan, iaitu jalan atau cara yang berulang-ulang dilakukan oleh orang banyak baik mengenai soal-soal yang dianggap sebagai peribadatan atau tidak.

Juga oleh Al Hafids di dalam Al Fath dalam tafsirnya mengenai makna kata "fithrah". Dia mengatakan bahawa beberapa riwayat hadis menggunakan kata 'sunnah' sebagai pengganti kata 'fitrah', dan bermakna 'toreqah atau jalan'. Abu Hamid dan Al-Mawardiy juga mengertikan kata 'sunnah' dengan 'toreqah'.

Berikut ini dicantumkan beberapa bukti yang menunjukkan bahawa amal kebaikan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi saw atas prakarsa mereka sendiri, bukan dari perintah Allah atau Nabi saw, dan bagaimana Rasul saw menanggapi masalah itu:

Bukhori , Muslim dan Ahmad bin Hambal meriwayatkan sebuah hadis soheh dari Abu Hurairah: Rasulallah saw bertanya pada Bilal seusai solat Subuh: Hai Bilal, katakanlah padaku apa yang paling engkau harapkan daripada amal yang telah engkau lakukan di dalam Islam, sebab aku mendengar suara terompahmu di dalam syurga. Bilal menjawab: Bagiku amal yang paling kuharapkan ialah aku selalu bersuci tiap saat (yakni selalu dalam keadaan berwudhu) siang-malam dan dalam keadaan suci seperti itulah aku menunaikan solat.

Hadis lain berasal dari Khabbab dalam Soheh Bukhori mengenai perbuatan Khabbab sholat dua  rakaat sebagai pernyataan sabar (belasungkawa) di saat menghadapi orang muslim yang mati terbunuh. (Fathul Bari Jilid 8/313).

Bukhori, Muslim dan lain-lain dalam "Kitabus Shalat" bab 'Rabbna lakalhamdu'. Hadis berasal daripada Rifa'ah bin Rafi' yang menerangkan bahawa: Pada suatu hari aku solat di belakang Rasul saw. Ketika berdiri (i'tidal) sesudah ruku' beliau mengucapkan "sami'allahu liman hamidah". Salah seorang yang ma'mum menyusul ucapan beliau itu dengan berdoa:

"Rabbana lakal hamdu katsiiran mubarakan fiihi" (Ya Tuhan kami, puji syukur sebanyak-banyaknya dan sebaik-baiknya atas limpahan keberkahan-Mu).

Setelah solat Rasul saw bertanya: 'Siapa tadi yang berdoa?'

Orang yang bersangkutan menjawab: Aku, ya Rasulullah. Rasul saw berkata: "Aku melihat lebih dari 30 malaikat berpacu ingin mencatat doa itu lebih dulu".

Al Hafidz dalam 'Al Fath' mengatakan bahawa hadis tersebut menunjukkan bahawa diperbolehkan seseorang itu berdoa atau berzikir di waktu solat selain daripada yang sudah biasa, asalkan maknanya tidak berlawanan dengan kebiasaan yang telah ditentukan. Juga hadis itu memperbolehkan seseorang mengeraskan suara di waktu solat dalam batas tidak menimbulkan gangguan.

Bukhori dalam 'Kitabus Sholah' dari Anas bin Malik menceriterakan bahawa:

"Beberapa orang solat di masjid Quba. Orang yang mengimami solat itu setelah membaca surah Al Fatehah dan satu surah yang lain selalu menambah lagi dengan surat Al Ikhlas.

Dan ini dilakukannya setiap rakaat. Setelah selesai solat para ma'mum menegurnya: 'Kenapa kamu  setelah Al Fatehah dan surah lainnya selalu menambah dengan surah Al Ikhlas?'

Sebenarnya kita bisa memilih untuk membaca surah yang lain dan meninggalkan surah Al Ikhlas atau membaca surah Al Ikhlas tanpa membaca surah yang lain!

Imam tersebut menjawab: Tidak, aku tidak mahu meninggalkan surah Al Ikhlas, kalau kamu semua  setuju aku mahu mengimami kamu untuk seterusnya, tetapi kalau kamu tidak suka aku tidak mahu mengimami. Oleh sebab para ma'mum tidak melihat orang lain yang lebih baik dan afdal daripada  imam tadi maka mereka tidak mahu diimami oleh orang lain.

Setiba di Madinah mereka menemui Rasul saw dan menceriterakan hal tersebut pada baginda.

Kepada imam tersebut Rasul saw bertanya: 'Hai fulan, apa sesungguhnya yang membuatmu tidak mahu menuruti permintaan teman-temanmu dan terus-menerus membaca surat Al Ikhlas pada setiap rakaat?'

Imam tersebut menjawab: 'Ya Rasulallah, aku sangat mencintai surah itu'.

Baginda saw terus berkata: 'Kecintaanmu kepada surah itu akan memasukkan dirimu ke dalam syurga'. "

Juga ada riwayat yang serupa, tetapi lain versi diriwayatkan oleh Bukhori dari Aisyah ra.
 


Ada masih banyak hadits yang meriwatkan amal para sahabat atas dasar prakarsa sendiri yang mana kesemuanya diridhai oleh Rasul saw dan baginda memberi khabar gembira kepada mereka dan amal-amal tersebut tidak diperintah atau dianjurkan oleh Rasul saw sebelum atau sesudahnya.

Pada hal kalau kita teliti hadis-hadis di atas kesemuanya berkaitan dengan masalah solat, iaitu suatu ibadah pokok dan terpenting dalam Islam. Sebagaimana Rasul saw telah bersabda:

"Hendaklah kamu solat sebagaimana kalian melihat aku solat"

Sekalipun demikian Baginda saw dapat membenarkan dan meriedhai tambahan-tambahan tertentu yang berupa doa dan bacaan surah. Ia disebabkan baginda memandang doa dan bacaan surah tersebut tidak terkeluar daripada batas batas yang telah ditentukan oleh syariat.

Apa yang lebih menghairankan lagi ada orang yang menganggap doa qunut waktu solat subuh sebagai bid'ah. Padahal doa tersebut berasal daripada Rasul saw sendiri (diriwayatkan oleh Anas bin Malik dan beberapa orang sahabat lainnya).

Bagaimana mungkin doa qunut yang berasal dari Rasulallah saw tersebut dikatakan bid'ah. sedangkan tambahan-tambahan kalimat dalam solat (i'tidal) dan bacaan-bacaan lainnya dalam solat yang telah kita sebut di atas atas prakarsa sahabat sendiri tidak dipersalahkan oleh Nabi saw malah diriedhai dan diberi khabar gembira bagi yang membacanya.

Contoh di atas tersebut adalah sebahagian kecil sahaja daripada apa yang diungkapkan di sini. s Sebenarnya masih banyak lagi riwayat hadis soheh tentang perbuatan-perbuatan para sahabat daripada prakarsa dan ijtihad mereka sendiri yang tidak diperintah atau dianjurkan oleh Rasul saw. Oleh semua itu bertujuan baik maka oleh Nabi saw meredhoi dan mereka diberi khabar gembira. Perbuatan-perbuatan sahabat tersebut dalam pandangan syariat bukan bid'ah melainkan sunnah mustanbathah yakni 'sunnah' yang ditetapkan berdasarkan istinbath atau hasil ijtihad.

Dari sini kita bisa ambil kesimpulan bahawa semua bentuk amal baik, baik itu dijalankan atau tidak pada masa Rasul saw atau masa dahulu setelah Nabi saw, yang mempunyai tujuan mendekatkan diri untuk mendapat redho Allah swt dan untuk mengingatkan (zikir) kita semua pada Allah serta RasulNya itu adalah bahagian daripada agama dan dapat diterima.

Sebagaimana hadits Rasul saw:

"Sesungguhnya segala perbuatan tergantung kepada niat, dan setiap manusia akan mendapat sekadar apa yang diniatkan, siapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan Rasul (berhasil),....sampai akhir hadits "(Bukhori).

Hanya orang-orang yang ego, fanatik dan jenis yang mahu menangnya sendiri sahajalah yang mengengkari hal tersebut. Biasanya orang-orang yang mengingkarinya telah mengambil dalil daripada hadis Rasul saw yang berikut:

"Setiap yang diada-adakan (muhdatsah) adalah bid'ah dan setiap bid'ah adalah sesat".

Juga hadis Nabi saw :

"Barangsiapa yang di dalam agama kami mengadakan sesuatu yang tidak dari agama ia tertolak".

Hadis-hadis itu oleh mereka dipandang sebagai pengkhususan hadis "Kullu bid'atin dhalalah" yang bersifat umum, kerana terdapat penegasan dalam hadis tersebut, yang tidak dari agama ia tertolak, jadi itu yang dimaksud dholalah.

Dan dengan dalil hadis tersebut mereka menetapkan bahjawa apa sahaja yang terjadi setelah zaman Rasul saw adalah bid'ah dholalah. Mereka tidak memandang apakah hal yang baru itu baik dan termasuk yang dikehendaki oleh agama atau tidak. Mereka juga tidak mahu mengerti bahawa usaha memperbanyak kebajikan adalah dikira sebagai kebajikan. Jadi ilmu agama sedangkal itupun orang tidak perlu jerih payah untuk memperoleh kebajikan.

Hadis yang mengatakan, bahawa mengada-adakan sesuatu itu adalah masalah pokok agama yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Itulah yang tidak boleh dirobah/ditambahi. Satu perbndingan yang mudah sahaja kita perhatikan di mana ada orang mengatakan bahawa solat wajib itu setiap harinya 6 kali, padahal agama mengatakan 5 kali sehari. Atau orang yang sanggup/kuat puasa wajib pada bulan Ramadan mengatakan bahawa kita tidak perlu puasa pada bulan tersebut tetapi bisa diganti dengan puasa pada bulan Rajab atau lainnya. Inilah yang dinamakan menambahi atau mengada-adakan agama. Jadi bukan masalah-masalah nafilah, sunnah atau lainnya yang tidak termasuk pokok agama.

Telitilah isi hadis Qudsi yang diriwayatkan Bukhori dari Abu Hurairah dibawah ini:

"...Hamba-Ku yang mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku-sukai daripada yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan selagi hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (amalan-amalan atau solat sunnah) sehingga Aku mencintainya, maka jika Aku telah mencintainya, Akulah yang menjadi pendengarannya dan dengan itu ia mendengar, Akulah yang menjadi penglihatannya dan dengan itu dia melihat, dan Aku pun menjadi tangannya dengan itu dia memukul (musuh), dan Aku juga menjadi kakinya dan dengan itu dia berjalan. Apabila dia mohon kepada-Ku pasti Kuberi dan apabila dia mohon perlindungan daripada-Ku ia past Kulindungi".

Di samping itu mereka juga lupa apa yang disebut 'agama' itu bukan hanya masalah peribadatan sahaja. Allah swt menetapkan agama Islam bagi umat manusia mencakup semua perilaku dan segi kehidupan manusia. Di mana kesemuanya itu bisa dimasuki bid'ah baik yang hasanah maupun yang sayyiah.
0 Responses