Elias Hj Idris
Oleh Alyaa Alhadjri

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mungkin boleh menutup telinga daripada segala persoalan yang disuarakan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tentang pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Namun kritikan paling tajam berhubung isu itu disuarakan dari dalam Barisan Nasional sendiri.
Walaupun dengan perkembangan baru-baru ini, 1MDB kekal sebagai syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, dan tanggungjawab terhadap kerugian dana awam masih lagi terletak di atas bahu Najib selaku Menteri Kewangan.

Dalam satu wawancara eksklusif bersama Sarawak Report, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menyatakan rasa tidak gembira dengan pengumuman terbaru oleh Ketua Pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

“Penjelasan (oleh Arul Kanda) itu tidak mencerahkan apa-apa kepada kita,” katanya seperti dipetik. "Saya nak tahu bank mana yang menyimpan wang itu. Jumlahnya berbilion dolar, kamu mesti simpannya di mana-mana bank. Saya tidak tahu di mana wang itu berada – ia adalah sebahagian daripada ketelusan.”

Arul Kanda dilantik selepas CEO terdahulu, Mohd Hazem Abdul Rahman meletak jawatan secara mengejut minggu lalu. Arul baru-baru ini mengumumkan, IMDB telah menebus semula pelaburan US$2.32 bilion dalam sebuah dana berdaftar di Kepulauan Cayman.

“Selaras dengan komitmen Pengerusi Lembaga Pengarah dalam kenyataan bertarikh 23 Desember 2014, 1MDB mengesahkan telah menebus sepenuhnya US2.32 bilion yang dilaburkan di Kepulauan Cayman,” katanya seperti dipetik The Edge Financial Daily.

Laporan itu turut menyatakan, 1MDB sebelum ini menebus US$1.22 bilion, 60 peratus daripada dana yang dilaburkan. Ia kini telah menebus US$1.10 bilion, iaitu baki daripada jumlah US$2.32 bilion yang dilaburkan pada asalnya.

Kata Arul Kanda lagi, dana kontroversial itu berasal daripada pembayaran semula pinjaman kepada PetroSaudi pada tahun 2011 dalam bentuk nota Murabahah. Ia berikutan pengguguran perjanjian usahasama yang dibuat sebelumnya.

“Nota itu, yang dibayar kembali secara penuh beserta faedah, dan kemudiannya dilaburkan dalam sebuah dana di bawah penyeliaan Lembaga Kewangan Cayman.

“1MDB berharap penebusan dana ini menyelesaikan isu yang berbangkit berkenaan isu ini,” kata Arul Kanda seperti dipetik.

Namun, menurut laporan Sarawak Report, Mahathir menyatakan beliau tidak boleh menerima penjelasan tersebut.

“(Penjelasan itu) terlalu cetek…Saya persoalkan penubuhan 1MDB dan bagaimana ia diuruskan. “Mereka (pengurus) datang berjumpa saya, tetapi mereka tidak dapat jelaskan bagaimana wang itu diraih, mengapa loji kuasa dibeli dengan harga yang begitu tinggi dan tentang komisen yang dibayar kepada Goldman Sachs,” katanya.

Mahathir menjadi pengkritik utama dalam BN ke atas dana pembangunan strategik itu. Beliau setakat ini tetap tidak yakin dengan apa-apa penambahbaikan yang dibuat.

Menurut Sarawak Report, ia mungkin kerana Mahathir dipercayai memiliki maklumat dalaman yang menimbulkan persoalan serius terhadap integriti pelaburan dana tersebut.

“Saya tidak fikir ia mempunyai apa-apa fungsi. Inilah perbezaan saya dengan kerajaan. Saya tidak fikir kita perlu mempunyai dana seperti ini.

“Kita baik-baik sahaja tanpa badan dana itu… mula-mula mereka mendapatkan wang untuk dipinjam kepada (Petro)Saudi, kemudian mereka letakkannya dalam dana lindung nilai (hedge fund). Kerajaan tidak sepatutnya terlibat dalam dana lindung nilai,” kata Mahathir seperti dipetik.

Beliau juga menyatakan apa yang selama ini dibangkitkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat - kurangnya ketelusan dalam struktur keseluruhan bagaimana wang rakyat diuruskan?

Keperluan untuk bersikap telus dalam pengurusan dana awam tentunya menjadi pengajaran “pahit” untuk Najib. Ia akan terus memberikan masalah kepadanya jika gagal meyakinkan salah seorang pengkritiknya yang paling lantang, iaitu Mahathir.
0 Responses