Elias Hj Idris
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيم


Maha Suci Allah yang menciptakan seluruh alam dengan berpasang-pasangan. Setiap sesuatu darinya menyempurnakan segala TaqdirNya,

Apabila kita bicarakan tentang 'rahsia' Adam a.s maka tidak akan sempurna tanpa menyentuh 'rahsia Hawa yang merupakan sebahagian dari Adam a.s. Walaupun kelihatan usaha dalam memadamkan kebenaran ini, namun mereka tidak akan berjaya.

Apakah hikmahnya kejadian Hawa? Adakah penciptaannya memenuhi hajat Adam a.s? Mengapa Hawa dijadikan berasingan?

Apa rahsianya maka kejadian Hawa itu dikemudiankan? Apakah rahsianya maka Hawa dijadikan penuh dengan kelembutan? Mengapa tidak dia dijadikan seperti Adam a.s yang gagah dan kasar kulitnya?

Rahsia Pertama:  Hawa diciptakan daripada tulang rusuk Adam a.s
Firman Allah :
يَـأَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِى خَلَقَكُمْ مِّن نَّفْسٍ وَحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَآءً وَاتَّقُواْ اللَّهَ الَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِ وَالاٌّرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً

"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam a.s) dan yang menjadikan daripada (Adam a.s) itu pasangannya (isterinya, iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat... kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." -  An-Nisa, 4: 1

Perhatikanlah baik-baik bahawa kisah kejadian manusia ini dibahagikan kepada 2.

Pertama: Permulaan kejadian manusia, iaitu ciptaan Adam a.s daripada tanah dan daripada Adam a.s itu diciptakan pula Hawa.

Para ulama mufassirin memahami kata nafsan wahidah pada kata
خَلَقَكُمْ مِّن نَّفْسٍ وَحِدَةٍ - dari jiwa yang satu sebagai merujuk kepada Adam!

Sementara zaujaha pada lafaz
وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا menunjukkan kepada Hawa.

Kedua: Kejadian manusia seterusnya adalah hasil hubungan dan cantuman benih Adam a.s dan Hawa a.s. di mana mereka melahirkan zuriat keturunan lelaki dan perempuan.

Apabila Allah Ta'ala menyatakan ...
وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَآءً ...yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan.

Seterusnya para ulama mufassirin juga mentafsirkan kalimat Allah ...
"...dan darinya (ADAM) diciptakan HAWA" sebagai tulang rusuk ADAM.

Pegangan ini dikuatkan dengan hadis sahih,

Sabda Rasulullah saw.

"Saling berpesanlah untuk berbuat baik kepada perempuan, kerana mereka diciptakan dari tulang rusuk, sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang paling atas. kalau engkau luruskan tulang rusuk yang bengkok itu, engkau akan mematahkannya, tapi kalau engkau biarkan ia akan tetap bengkok”.     -  riwayat Bukhari dan Muslim

Para ulama-ulama 'arifin billah, seluruh ulama mufassirin di antaranya yang sangat alim dalam ilmu tafsir - AlQurtubi, Tabari, Ibnu Kathir, Jalaluddin As-Sayuthi dll bahkan seluruh ulama yang dipercayai sepanjang zaman telah mengakui hakikat ini berdasarkan petujuk Ilahi yang dikuatkan kebenarannya oleh hadis Nabi saw.

Jadi tidak perlulah dipertikaikan lagi hakikat ini kerana para ulama mufassirin yang sangat alim dan 'thiqah' dalam ulumul Qur'an, sirah Nabawiyyah, ratusan ribu hadis Nabi saw, periwayatan kisah-kisah Nabi terdahulu, Asbabun-Nuzul, Ilmu Nahwu-Sarf, berbagai lughah bahasa Arab dan lain-lain syarat bagi seseorang mufassir. Apatah lagi kenyataan ini dikuatkan oleh ulama-ulama arif billah seperti Shaikh Ibnu Arabiy, Imam Jilani, Imam Ghazali dan lain-lainnya sebagai ulama-ulama ahlus-sunnah yang hebat di sepanjang zaman.

Adalah suatu perkara yang menghairankan beberapa "orang muda" di zaman ini, yang baru membaca beberapa potongan hadis Nabi saw sudah berani cuba mempertikaikan segala keterangan hadis sahih dan keterangan ulama darihal kejadian Hawa daripada tulang rusuk Adam a.s .

Walhal mereka itu (golongan muda) tiada mengetahui segala cabang ilmu Islam dan tidak pula memenuhi syarat sebagai mufassir. Maka perbuatan golongan 'muda' ini adalah mengundang bencana kepada diri sendiri kerana cuba mentafsir Al-Qur'an tanpa memiliki ilmu dan tiada juga menurut 'methodology" mentafsir Al-Qur'an Kalamullah! Akibatnya sentiasalah mereka berada dalam kebinasaan - mereka merosakkan diri mereka sendiri dan merosakkan pula manusia-manusia lain. Wal Iyazubillah!

Sepatutnya kita memerhatikan apakah 'rahsia' tersirat di sebalik penciptaan Hawa daripada diri Adam a.s?

Bagi mereka yang mempunyai matahati akan melihat betapa penciptaan Hawa daripada Adam ini mempunyai terlalu banyak hikmahnya. Salah satu yang dapat diselami adalah dengan terciptanya Hawa daripada Adam a.s bisa mencetuskan hubungan yang sangat rapat dan cinta antara kedua-duanya. Ini terbukti ketika Adam a.s sedar daripada tidurnya, didapati Hawa a.s berada di sisinya lalu timbul keinginan cinta kasih Adam a.s kepada Hawa. Demikian pula timbul perasaan yang sama daripada Hawa a.s kepada Adam a.s. Namun Allah Ta'ala menegah Adam a.s daripada menghampiri Hawa a.s sebelum dinikahkan secara sah.

Imam Al-Kabir Syaikh Ibnu Arabiy mentafsirkan penciptaan HAWA dari ADAM dan hubungan cinta kasih di antara keduanya dan hubungan nilai2 spiritual didalam 'cinta' suci ini dengan cinta kasih Ilahi didalam penciptaan makhluknya dalam suatu metafora yang sangat menarik!.

"Allah Ta'ala menciptakan insan daripada sifat KasihNya. Dia sangat rindu pada insan-insan yang dikasihiNya. Dia ingin supaya mereka mengenaliNya dan kembali kepadaNya. Imam Al-Kabir menyatakan bahawa ini adalah kerinduan Allah Ta'ala pada DiriNya sendiri!

Allah Ta'ala mengeluarkan dari lelaki sebuah wujud pada citranya yang disebut wanita dan kerana wanita tersebut muncul pada citra lelaki; sang lelaki merasakan kerinduan yang mendalam kepadanya sebagai suatu kerinduan pada dirinya sendiri. Sedangkan sang wanita turut merasakan kerinduan pada sang lelaki sebagai seorang yang rindu pada yang merinduinya."

(Fusus Hikam -Ibnu Arabiy)


Ihsan: rafie1357 (TKO)
2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Masih selamat orang muda yg baru baca beberapa kerat Hadis.
    Tersesat melarat orang tua kutei yg maseh bertarekat songsang.


  2. Syariat, hakikat, toreqat n ma'rifat merangkumi ilmu dlm Islam. Jika ditinggal satu drpnya, janggal la Islamnya dalam diri - cam kereta yg berjalan dgn sebelah rodanya.