Elias Hj Idris
Watak bohsia yang terkandung dalam novel 'AKU BOHSIA' adalah picisan daripada sebuah kisah besar dalam novel 'BUNGA BUKAN SEMUSIM' - BBS (761 muka surat) yang berlegar di sekitar satu watak pemuda baik yang bertukar menjadi gigolo. Orang baik yang bertukar menjadi jahat berpunca daripada dendam yang tak kesudah.

'AKU BOHSIA' cuma disiapkan dalam masa dua minggu - untuk sebuah novel berketebalan 180 muka surat. Maka ia dinamakan novel picisan. Dengan status demikian nama samaran pengarang sahaja yang diletakkan sebagai 'aku' - aku itulah ganti nama pertama bagi Anne Natasha Nita.

Sebenarnya, itulah senggang masa yang ada di waktu menyiapkan novel 'BUNGA BUKAN SEMUSIM'. Tika galak diterap tentang kehidupan gigolo, tiba-tiba muncul idea bohsia yang datang mengganggu di celah-celahnya - mengganggu kelancaran kisah gigolo ternama di ibu kota. Jika tidak dikawal ia mampu mencacatkan urutan cerita tersebut - yang ada perkaitan sifatnya dan bercampur-baur. Kedua-duanya adalah sampah masyarakat. Jika tidak dipisahkan, kisah si gigolo itu akan menjadi terlalu panjang, rumit dan merimaskan tumpuan. Jadi elok jika ia digarap secara bersendiri dalam ruang litupnya - bohsia.

Lihat http://ikanlepu.blogspot.com/p/karya-bunga-bukan-semusim.html .

                         Bahana bila sang gigolo baru nak jadi manusia semula...

'BUNGA BUKAN SEMUSIM' (membawa erti bahawa cinta itu bisa datang banyak kali) adalah sebuah novel yang berkisar di sekitar lorong kehidupan seorang gigolo yang tiada batas sempadan. Jika dipecahkan ia mampu menghasilkan ratusan slot drama atau jika diangkat ke filem mungkin (tak) mampu buat 'pecah panggung'! Soalnya, adakah production house yang usahkan mampu, berani pun tidak rasanya untuk keluar daripada kepompong mereka yang sedia ada. Cerita drama atau filem yang sekadar memperbodoh dan merosakkan bangsa dengan segala cerita tahyul dan tidak masuk dek akal. Lakon gaya elitis, tapi pembawaan wajah sebiji muka 'felda'!

                        Apa kata jika watak gigolo itu dimainkan oleh aktor ini?

Ia memang sudah dirangkakan sedemikian rupa (sama seperti novel-novel tebal yang lain) biar mudah ia diadaptasi ke drama atau filem; di mana dalam novel ini watak utamanya itu bisa menjadi kaki pukul kesan dendam lama yang membara. Dia merosakkan setiap yang bernama wanita dek kerana kecewa yang membenih bibit kesan dendam apabila kekasih hatinya waktu di kolej dahulu dipadankan dengan orang lain. Dan hasilnya, dia bersedia untuk dilanggan pula oleh isteri-isteri orang serta mak-mak datin yang kesepian. Di sini letaknya 'kebodohan' mereka yang bernama 'gigolo'.

Bukan ada satu laluan yang mudah apabila menjadi manusia jahat di atas muka bumi ini. Mudah sahaja sifir kehidupan yang Allah swt lakarkan buat hamba-hamba-Nya sejak di Azali lagi. Anaknya dicolek oleh orang-orang 'kingpin' dadah yang hanya mahu dia menjadi pelari dadah daripada seberang sempadan; di mana dia menonjolkan dirinya hebat dalam pengendalian 'high powered car' dan menyamar. Pun begitu, dia tetap tidak terlepas daripada terkait dengan wanita - seorang model ternama ikut menjadi temannya ke sana - Natasha!

Dalam melakarkan babak-babak intim, erotik dan obscene sebenarnya tidak perlu kita paparkan 'scene' buka seluar atau menanggalkan bra si wanita. Cukup hanya dengan coretan kata-kata dalam bentuk 'body language' atau memaparkan kata-kata, '... dia terus berdayung dengan megah menuju ke tengah!' Tutup cerita. Orang sudah tahu akan maksudnya. Barulah karya seperti ini tidak dicap sebagai karya lucah atau SX18. Namun ia tetap menarik dan mendebarkan. Itulah yang berlaku kepada novel "KEHILANGAN" (554 muka surat) yang mampu meraih dua anugerah kebangsaan daripada Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (National Book Council), Kementerian Pendidikan. Itulah anugerah 'Novel Terbaik 1994' dan 'Suntingan Terbaik 1994'.

                     'KEHILANGAN' yang telah meraih dua anugerah kebangsaan

Dan... watak gigolo dalam novel ini telah menghadapi kesukaran yang teramat banyak sebaik insaf, untuk kembali menjadi seorang 'manusia' semula.

Pertama, isterinya yang sarat mengandung anak kedua telah meninggal dunia di rumah ketika dia sedang asyik berfoya-foya dengan seorang wanita lain di Pulau Phuket sana. Matinya kerana tersangkut uri. Apabila kembali ke rumah, cuma terdapat sebuah nota ringkas sahaja yang terselit di 'grill' pintu rumahnya;

'Anakku Kamal Hanafi,
seluruh isi rumah ada di kampung.
Pulang segera!


... ditulis oleh Ustaz Khamis, jam 2.00ptg sedangkan jam di tangannya telah menunjukkan pukul 7.00 petang'.

Dia tertanya-tanya kenapa nota itu mesti ditulis oleh bapa mertuanya? Kenapa tidak isterinya? Lagipun seminggu sebelum itu isterinya tidak pun memberitahu yang dia akan pulang ke kampung.

Dia bergegas memandu pulang ke Ipoh, ke rumah bapa mertuanya itu. Di sepanjang perjalanan dia asyik tertanya-tanya kenapa dia dipinta pulang segera?

Semakin dihampiri rumah itu terasa benar akan kelainannya. Hatinya berdebar-debar. Sebaik dia menghentikan keretanya di hadapan rumah, ibu dan bapa mertuanya telah sedia menunggu di muka pintu. Pada riak di air muka mereka jelas tidak membayangkan kegembiraan. Sementara itu di dalam, ramai orang yang kebanyakannya berketayap sedang menjamu selera.

"Apa khabar ayah, emak?" Kamal Hanafi menghulurkan tangannya bersalam dengan ibu dan bapa mertuanya. Kemudian dia bersalam dengan ibu dan ayahnya.

"Baik... masuklah dulu, Kamal," sahut Ustaz Khamis sambil mengiring menantunya masuk ke dalam rumah.

Beberapa mata menoleh kepadanya sambil berpandangan sesama sendiri. Dia duduk di suatu penjuru selepas bersalaman dengan beberapa orang ayah saudara isterinya yang duduk dekat dengannya. Sementara itu Ustaz Khamis menyuruh isterinya membawakan air minuman untuk menantunya. Sambil itu mata Kamal Hanafi berpindah dari satu penjuru ke satu penjuru rumah. Kemudian dia memerhatikan wajah-wajah mereka yang ada dalam rumah itu.

Dia dapat merasakan kelainannya. Sersekali dia terciumkan bau kapur barus dan hatinya mulai rasa tidak sedap. Debarnya yang sejak tadi masih tidak berkurang, sebaliknya menjadi-jadi. Dia tidak sabar untuk mengetahui duduk perkara. Apatah pula anaknya pun tidak kelihatan.

"Mmm... mana Azie, ayah?" tiba-tiba Kamal Hanafi bersuara bila tidak sesiapa pun yang bercakap tentang isterinya.

"Minum dan makan dulu. Kamal pun baru sampai dari jauh," sahut Ustaz Khamis lembut dan bersahaja. "Nanti kita bercerita."

Kamal Hanafi tidak puas hati. Dia menoleh kepada ayahnya yang duduk agak jauh di tepi pintu menuju ke bilik.

"Ayah... apa maknanya ni?"

Pak Mat tidak berkata apa-apa selepas menoleh kepadanya. Begitu juga dengan ibunya yang duduk di lorong menghala ke arah dapur. Beberapa orang kanak-kanak melintas untuk keluar selepas mereka makan. Begitu juga dengan beberapa orang tetamu yang tidak dikenali memandang kepadanya.

"Kau ke mana hilang sampai berhari-hari ni, Kamal?" tiba-tiba meletus suara ibunya tidak sabar-sabar. Nadanya jelas mengandungi rasa kesal yang tidak terhingga.

"Out station," jelasnya sambil tunduk. Dia mencapai gelas minuman lalu diteguknya. Dia tidak berani menyebut pergi ke Phuket bersama Nina Kamariah.

"Makan... makan dulu," bisik Ustaz Khamis yang duduk bersila di hadapannya.

Kamal Hanafi menolak. Dia tidak berselera untuk makan. Apatah pula keadaan dalam rumah itu seperti sedang menyembunyikan sesuatu daripadanya.

"Saya dah baca nota ayah tu," jelas Kamal Hanafi beralih menatap bapa mertuanya yang masih bersahaja. "Apa yang pentingnya, ayah?"

Dia menjeling kepada ayahnya yang tidak menghiraukan pertanyaan itu. Pak Mat lebih suka kalau besannya yang sendiri yang memulakan cerita. Dia sedar anaknya yang bersalah dalam soal tersebut. Malah dia sendiri pun rasanya tidakkan tertebus kesilapan yang telah dilakukan.

"Begini...," kata Ustaz Khamis lalu membetulkan duduknya. Itupun setelah menantunya agak tenang. "Norazila dah tak ada... dia dah kembali menemui Tuhannya."

Kamal Hanafi tersentak. "Apa?"

Seketika itu juga kedengaran suara Mak Cik Kiah dan Mak Melah mengongoi.

"Pagi tadi... Mak Nab yang menghadapnya seorang diri," jelas Ustaz Khamis lagi sambil memandang kepada Pak Mat yang tidak bersuara. Orang tua itu tunduk sambil jarinya bermain bulu tikar rumput alas duduknya.

"Macam mana boleh jadi begitu?"

"Dia bersalin... anaknya selamat. Perempuan... ada kat dalam bilik tu," jelas Ustaz Khamis dengan tenang.

Kamal Hanafi terdiam. Dia tunduk sambil tangannya digenggam kemas menahan sebak yang mula menyerang di dalam dadanya.

"Tak sempat bawa ke klinik... Mak Nab pun tak tau nak buat macam mana. Dia cuma dapat selamatkan budak tu saja," jelas Ustaz Khamis.


Suasana sunyi sepi dan semua mata tertumpu kepada Kamal Hanafi yang masih tunduk. Perlahan-lahan air matanya berderai jatuh di atas tikar rumput alas duduknya. Semakin lama semakin galak air jernih itu meleleh dari kelopak matanya dan terus berderai tanpa dipedulikannya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak dapat menahan sebak dan rasa sedih yang bertalu-talu datang menyerang. Dia sedar akan kesilapannya, tetapi segala-galanya sudah tidak berguna lagi.

"Di mana arwah tu sekarang ni, ayah?"

"Dekat maghrib tadi kami dah sempurnakan," sahut Pak Mat dengan suara yang tegas. Tumpuan perhatian beralih kepadanya. "Kami pun tak tau bila kamu balik... jadi tak dapat nak tunggu."

"Azie... kau pergi sayang," bisik Kamal Hanafi sambil menggelengkan kepalanya. Kemudian kedengaran sedu yang cuba ditahan-tahan.

"Mengucap la, Kamal. Dah takdir untuk dia begitu," kedengaran Ustaz Khamis memujuk.

Kamal Hanafi menggeleng lagi. Dia terus tunduk tidak dapat untuk bersuara. Sambil itu rasa pilunya semakin mengasak di benaknya membuatkan air matanya terus mengalir bertalu-talu. Baru itulah kali pertama dia menyebut kata sayang kepada arwah isterinya. Itulah wanita yang tidak dipedulikannya sejak beberapa lama. Tanpa sedikit pun dia menghargai pengorbanan dan kesetiaan seorang isteri. Malah dia tidak sedikit pun rasa bersalah di atas sikapnya selama ini yang mempersiakan isterinya.

Dia lepas bebas ke mana sahaja yang disukainya. Dari seorang wanita ke seorang wanita yang memerlukannya. Dia membiarkan Norazila kesunyian dan bersendirian tinggal di rumah. Dan isterinya pula tidak pernah bertanya atau menegurnya biar berapa lama pun dia tidak pulang ke rumah. Malah hingga ke akhir hayatnya Norazila tidak pernah mengesyakki akan kebuasan suaminya di luar dengan sebegitu ramai wanita lain.

Kini Norazila sudah tiada. Norazila sudah pergi bersama penderitaannya di samping kesabaran yang tiada tolok bandingnya. Dia pergi membawa bersama hatinya yang suci murni tanpa rasa sangsi terhadap suaminya. Dan pemergiannya juga adalah di atas pengorbanannya demi melahirkan seorang anak buat suami yang paling dicintainya.


Hilang sudah kegagahan seorang lelaki gigolo sepertinya. Selepas melihat anaknya yang baru dilahirkan serta mengucup anak lelakinya dia terus ke tempat persemadian arwah isterinya.  Sepanjang perjalanan itu dia tidak dapat menahan rasa sedih yang tidak terkira. Air matanya terus berjurai diamuk rasa kesal terhadap perbuatannya sendiri, membuak dalam dadanya. Dia terlalu mengikutkan perasaan yang tidak terkawal. Dek kerana dendam dia telah mengorbankan seorang insan yang tidak berdosa, yang murni hatinya. Norazila tidak mengerti apa-apa di sebalik dendamnya yang membara. Akhirnya, dendam itu juga yang memakan dirinya sendiri.

Sesampai di sana dia hanya dapat melihat butir-butir tanah merah yang menimbun di pusara isterinya dalam gelap malam yang sunyi itu. Hanya dengan bertemankan sebatang lilin yang liut apinya itu seketul, seketul tanah merah itu diramasnya. Rasa kesalnya datang bertalu-talu. Air matanya sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Dia tahu biar menangis air mata darah sekalipun arwah isterinya tidak akan kembali lagi. Malah titisan air matanya itu akan lebih menyiksakan roh arwah isterinya di sana, tetapi dia tidak dapat menahan perasaannya. Puas dikuatkan hatinya dan mengucap berkali-kali, namun sesalan itu terus datang menerjah ke dalam benaknya. Bertambah kesal lagi apabila dia tidak berkesempatan menatap wajah arwah isterinya buat kali terakhir. Dia tidak dapat berkata-kata apatah pula untuk meminta maaf di atas segala perbuatan terkutuknya. Malah buat kali terakhir pun dia tidak dapat mengelolakan sendiri jenazah isterinya untuk disempurnakan.

Kenapa dia harus mengikut Nina Kamariah pergi bercuti di Phuket? Soalan itu yang datang bertalu-talu. Soalan itu yang datang bertalu-talu dan ngongoinya semakin menjadi-jadi. Perlahan-lahan timbul rasa jelik terhadap semua perempuan ysng telah dikenalinya selama ini. Dia mulai benci pada Nina Kamariah, Datin Jasmine, Datin Roxanne, Mohaini, Liza, Nita, Lucy Choo, Suzie malah kepada sesiapa sahaja.

Dia mengeluh dan kembali kepda Tuhannya,

"Wahai Tuhanku,

Cahaya langit-Mu sudah tenggelam
Semua makhluk-Mu sudah tidur
Tetapi pintu-Mu terbuka luas buat memohon kasih-Mu
Aku datang mengadap-Mu, memohon keampunan-Mu
Kasihanilah daku, wahai Tuhan."


Kamal Hanafi terhenti sebentar, membiarkan air matanya yang terus berlinang. Sambil itu dia teresak-esak dek kerana kekesalan yang telah menguasai seluruh jiwa dan raganya.

"Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu, maksiat yang kulakukan bukanlah menentang-Mu. 

Ketika aku melakukan maksiat itu, bukan kerana aku meragui-Mu, bukan kerana mengabaikan seksa-Mu,
Bukan kerana menentang hukum-Mu.
Ia kulakukan kerana pengaruh hawa nafsuku setelah Kau menghulurkan tirai buat menabiri aibku.

Ia titik perubahan dalam hidupnya.

Pun dengan segala maksiat yang membelenggu dirinya, bukan mudah buat Kamal Hanafi untuk berubah tanpa dugaan dan pengorbanan. Paling utama dia kena tinggalkan dunia pengiklanan yang telah mengenalkannya kepada sekian ramai wanita lawa dan ternama. Caranya ialah dengan menjualkan syarikatnya itu walaupun ada beberapa job dan proposal lumayan yang  sedang menunggu.

Syarikat itu dijualkan pada harga RM15 juta walaupun kontrak dalam tangan ada RM15 juta serta prospek baru berjumlah RM15 juta juga. Dia menjual dan mengambil aset syarikatnya sahaja. Janji dia dapat melarikan ingatan terhadap isterinya di mana syarikat itu ditubuhkan pun bersempena dengan perkahwinannya dengan arwah isterinya itu.

"Abang Kamal..." lembut sekali suara itu dan ia memang sudah biasa di telinganya.

Kamal Hanafi menoleh. Dia terperanjat bila melihat gadis bertudung yang dilihatnya sebelum itu berdiri tercegat sambil tersenyum. Dia masih tercengang-cengang sambil memerhatikan sekujur tubuh gadis berbaju longgar yang dikenakan dengan jean warna hitam itu.

"Ni... Tasha la. Abang dah tak kenal ke?" suara itu menegur sambil memperkenalkan dirinya.

Kamal Hanafi tidak menjawab. Dia mengalihkan perhatiannya daripada gadis itu. Timbul kembali perasaan yang menyayatkan hatinya. Kenapa dia harus dipertemukan dengan mereka yang telah menjerumuskannya ke dalam kancah tragedi. Kenapa anak mummy ini yang harus ditemuinya?

"Abang... kenapa ni?" tiba-tiba Natasha hampir lalu berdiri di hadapannya. "Kenapa abang jadi begini, bang?"

"Cukup la Tasha... anggap la abang yang Tasha kenal dulu tu dah tak wujud lagi," pinta Kamal Hanafi tanpa merenung wajah anak gadis yang masih kehairanan.


Natasha masih merenungnya. Sepatutnya, dia yang merayu dan meminta supaya dia dilupakan. Dia yang sepatutnya berasa kecewa di atas apa yang telah dialaminya selama ini. Sepatutnya dia yang mengungkit kenapa Kamal Hanafi harus berkahwin tanpa memberitahunya?

"Sungguh Tasha tak sangka...," Natasha mendengus lalu pergi dari situ.
 

Kamal Hanafi tersentak. Dia terpinga-pinga melihat gadis itu pergi. Dia terus bangun mengekorinya. Langkahnya dipercepatkan seraya menyambar tangan Natasha membuat gadis itu terhenti langkahnya.

"Kenapa ni, Tasha?" Kenapa Tasha cakap macam tu?"

Natasha mendiamkan diri sambil tunduk. Perlahan-lahan Kamal Hanafi memimpinnya kembali ke bawah pohon kelapa itu. Tiba-tiba hatinya tergerak oleh sesuatu kelainan pada diri gadis itu. Siapakah yang mahu melarikan diri dari siapa?

"Cuba Tasha cakap kenapa kata macam tu? Kalau abang salah tadi, abang minta maaf," pujuk Kamal Hanafi sambil memandang tepat ke wajah Natasha yang masih tunduk.

Seingatnya, memang telah lama dia tidak menemui Natasha walaupun telah berkali-kali dia ke rumah mummy sebelum itu. Hampir tiga tahun gadis itu menghilang. Menurut teman-temannya, Natasha menghilangkan diri selepas bercakap di telefon lalu berlari ke dalam bilik dan menangis. Mereka tidak tahu akan sebabnya. Cuma dia disedari hilang begitu sahaja. Cuma pada hari itu baru ditemuinya Natasha.

Puas Kamal Hanafi memujuk, tetapi Natasha masih mendiamkan diri. Kemudian dia menangis sambil menekupkan mukanya.

"Apa ertinya ni, Tasha? Abang tak mengerti...."

"Memang dasar lelaki...," Natasha mendengus. "Lelaki selalu begitu... apabila barang yang diidamkan sudah dimiliki, mereka pergi begitu saja!" Dan tangisnya semakin menjadi-jadi.

"Kenapa ni? Siapa yang Tasha maksudkan?"

"Siapa lagi?"

"Abang?"

Natasha mengangguk.

"Apa yang abang dah lakukan?" Kamal Hanafi brtambah hairan. Seingatnya, dia tidak pernah berbuat apa-apa terhadap Natasha. Dia ada membawanya ke selatan Thailand mengambil bekalan. Itu sahaja. Selepas itu mereka langsung tidak bertemu lagi. Gadis itu menghilangkan diri dari rumah mummy dan terus tidak dapat dikesan.

"Abang tidak mengerti perasaan seorang perempuan...," sahut Natasha dalam esakan yang cuba ditahan-tahan. "Abang tidak faham hati Tasha... tiga tahun, bang! Bukannya tiga bulan atau tiga hari, bang!"

"Maksud Tasha?"

"Hurgh... mudahnya abang buat-buat tak tau!"

"Memang abang tak faham maksud Tasha...."

"Betapa pilunya hati ini bila abang terus saja menghilang... Tuhan saja yang tau, bang!"

"Tasha jatuh hati pada abang masa tu?"

Natasha mengangguk.

"Tasha terus give-up modelling... lari dari dunia yang penuh pura-pura tu semata-mata kerana abang."

"Abang tak tau sampai begitu sekali... err."

"Memang mudah bagi lidah abang untuk berkata-kata," Natasha mengangkat mukanya memandang tepat ke wajah Kamal Hanafi. "Tapi... Tasha ikuti setiap perkembangan abang sejak hari tu...."

Namun begitu Natasha tidak sampai hati memberitahu Kamal Hanafi bahawa dialah orang yang menelefon Noarazila di rumah. Sebenarnya, dialah yang mengganggu dan mencerca Norazila. Bukan bererti dia berdendam dan mahu meruntuhkan rumahtangga orang. Ia didorong oleh rasa kecewanya yang tidak terbendung. Kamal Hanafi berkahwin dengan orang lain!

"Mungkin itu lebih baik buat Tasha... daripada menjadi mangsa perbuatan abang."

"Bagaimana abang boleh begitu pasti?"

"... dan abang mengalami sengsaranya sekarang."

"Maksud abang?"

"Lepas balik kampung... abang kahwin menurut kehendak orang tua abang," jelas Kamal Hanafi seolah-olah Natasha tidak tahu akan perkahwinannya. "Isteri abang tu terseksa batinnya... abang telah mempersiakannya."

"Abang benar-benar pasti dia terseksa?"

Kamal Hanafi mengangguk. "Sehingga dia mengorbankan nyawanya... batinnya dah tak tertahan lagi dek perbuatan abang. Tasha pun tau kan perangai abang yang buruk itu...."

"Maksud abang... errr dia dah tak ada lagi?"

Kamal Hanafi mengangguk. "Hanya dua orang zuriat abang yang ditinggalkannya. Dia pergi ketika melahirkan anak abang yang kedua... sedangkan abang ketika itu mmm...."


Kamal Hanafi menggelengkan kepalanya sambil menarik nafas dalam-dalam. Kelukaannya kembali berdarah bila diingatkan kembali peristiwa yang menyaystkan hati itu.

"Abang di mana ketika itu?"

"Di Phuket bersama Nina... Nina Kamariah."

"Dah lama?"

"Baru tiga bulan...."


"Tasha minta maaf, bang," rayu Natasha perlahan lalu tunduk memerhatikan kakinya yang semakin kerap menguis-nguis rumput yang dipijaknya. Marahnya kembali pudar bila mendengar peristiwa yang telah dialami oleh Kamal Hanafi.

"Sesungguhnya, abang telah berdosa pada semua orang... sebab tu abang cuba berubah sekarang. Abang dah taubat... taubat dari segala-galanya."

"Bagus la kalau abang dah sedar...," sahut Natasha perlahan. 


"Mmm... bagaimana dengan Tasha?"

Natasha menjeling kemudian membuang pandangannya ke tengah laut, pada badai yang bergilir-gilir menghempas ke pantai.

"Sejak itu Tasha bawa diri ke mana saja... ikut kata hati."

"Mmm... macam mana abang boleh hubungi Tasha?"

"Tak ada. Tak ada tempat untuk dihubungi."

"Tempat tinggal?"

"Pun tak ada... Tasha ikut kata hati. Duit pun masih ada lagi, jadi Tasha boleh pergi ke mana saja. "Tak perlu kerja...."

"Tapi... sampai bila?"

"Sampai bila-bila, selagi hati ni belum sembuh...."

"Macam mana kalau abang nak hubungi Tasha nanti?"

"Tak payah... tak payah la, bang."

"Kenapa?"

"Tak ada apa-apa...."

"Tasha yang contact, okey...."

Natasha mengangguk. Kamal Hanafi mengunjukkan sedikit wang untuk belanja poketnya, tetapi Natasha menolak. Dan mereka berpisah di situ. Sejak itu Kamal Hanafi sudah tidak menemui gadis tersebut walaupun puas dia mencarinya. Mengikut rekod pendaftaran, Natasha telah check-out pada petang itu juga. Tiada siapa pun yang tahu ke mana dia pergi?
6 Responses
  1. Ada ke mana2 production house yg berani. Klu setakat cerita 'bodo' yg tersiar kat tv n panggung skrg ni baik simpan dlm lemari aje.


  2. Media pun nampak cam dibeli; menyorok cam cencorot nampak bayang puaka besar di balik tirai panggung.
    Klu ada siar pun... cuba nak jd 'hakim beruk' Bunga je yg berkecai.


  3. Ina Omar Says:

    Cam mana nak dapat buku ni? Online boleh?


  4. Cuba dapatkan drp Creative Enterprise S/B di Bangsar Utama. Dah tak banyak rasanya.


  5. along_wagon Says:

    Median bebenor kome ni Choir..


  6. Anonymous Says:

    Menarik! Ada dalam koleksi saya.