Elias Hj Idris
SOLAT JAMA'

Jamak ertinya menghimpunkan dua solat ke dalam satu solat.
Solat yang boleh dijamakkan ialah solat zohor dengan asar dan maghrib dan isyak.
Jamak terbahagi kepada 2 bahagian; iaitu

Jamak Takdim
Solat zohor dijamakkan dengan asar dalam waktu zohor dan solat maghrib dengan isyak dalam waktu maghrib. Syarat jamak takdim;

i).  Hendaklah dimulakan solat pada waktu yang pertama seperti Zohor kemudiannya diikuti dengan asar dan maghrib kemudiannya isyak.
ii).  Niat jamak dalam solat yang pertama pada permulaan takbiratul ihram.
iii). Berturut-turut (muawwalat) antara solat yang pertama dengan solat yang kedua.

Jamak Ta'khir
Solat zohor dijamakkan dengan asar dan dilakukan dalam waktu asar dan solat maghrib dalam waktu isyak. Syarat jamak ta'khir;

i).  Hendaklah diniatkan di dalam hati pada waktu yang pertama di mana dia bakal menangguhkan solatnya hingga ke waktu yang kedua.
ii).  Masih berada dalam musafir hingga selesai kedua-dua solat.

SOLAT QASAR

Qasar ertinya memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat sahaja.
Solat yang boleh dipendekkan ialah solat zohor, asar dan isyak sahaja.

Syarat-syarat sah solat qasar ialah; musafirnya tidak bertujuan maksiat. Perjalanannya melebihi 2 marhalah, iaitu 60 batu / 96.6 km.
*  Diniatkan qasar solat ketika takbiratul ihram. Tidak boleh mengikut imam yang sedang solat sempurna (tamam).
*  Mengetahui solat qasar itu menjadi harus baginya.
*  Mengetahui tempat yang hendak dituju, jika tiada tujuan atau matlamat tidak sah qasarnya.
*  Tidak boleh qada qasar solat yang ditinggalkan semasa di tempat kediamannya, tetapi solat yang ditinggalkan semasa dalam musafir boleh diqada'.
*  Masih berada dalam musafir hingga selesai solatnya.

Contoh niat bagi solat qasar adalah seperti berikut (solat zohor);
"Sahaja aku solat fardhu Zohor dua rakaat qasar kerana Allah taala".

Hal-hal yang berkaitan dengan jama' dan qasar.

Apabila seseorang itu bermusafir lebih daripada dua marhalah maka dia harus melakukan solat qasar dan jama' sekali. Ertinya dia boleh menjama'kan di antara kedua-dua solat dan mengqasarkannya sekali. Walau bagaimanapun, dia boleh melakukan di antara satu yang berikut:
-  menjama'kan dua solat fardhu tanpa qasar.
-  menjama'kan dua solat fardhu dan qasar.

Ada 2 kaedah yang boleh digunakan melalui cara ini;
Niat jama' taqdim dan qasar :

i). 
Solat zohor dan asar:
"Sahaja aku solat fardhu zohor dua rakaat qasar serta dijama'kan dengan asar kerana Allah Taala."


Mengerjakannya dengan azan dan diiringi iqamat.
Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi tanpa menangguhkan (kecuali mengambil wuduk) dan berniat pula seperti berikut:
  "Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala."

ii).  Solat maghrib dan isya':
 "Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat serta dijama'kan ke dalamnya isya' kerana Allah Taala."
Solat maghrib itu tidak boleh diqasarkan (dipendekkan).

Cara melaksanakan jamak taqdim maghrib-isya' sama dengan niat jama' taqdim zuhur-asar. Setelah memberi salam kemudian bangun dan iqamat dan berniat seperti berikut;
 "Sahaja aku solat fardhu isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala."

Niat jama' ta'khir dan qasar:
i).  Solat zohor dan asar:
 "Sahaja aku solat fardhu zohor dua rakaat qasar serta dijama'kan dengan asar kerana Allah Taala."

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut;
  "Sahaja aku solat fardhu asar dua rakaat qasar kerana Allah Taala."

ii). Solat maghrib dan isya':
  "Sahaja aku solat fardhu maghrib tiga rakaat dijama'kan dengan isya' tunai kerana Allah Taala."

Selepas memberi salam, maka iqamat sekali lagi dan berniat semula seperti berikut;
 "Sahaja aku solat fardhu isya' dua rakaat qasar kerana Allah Taala."

0 Responses