Elias Hj Idris


Oleh: Majdan Dagang (Harakahdaily)


Krisis Perak yang dilupakan


Tsunami Politik Mac 2008 merobah sama sekali landskap politik Malaysia. Salah satu negeri yang tumbang ialah Perak. Barisan Nasional menang 28 kerusi daripada 59 kerusi dewan undangan negeri. Baki 31 kerusi lagi dimenangi oleh DAP 18, PKR 9 dan PAS 6.

Ketika itu Pakatan Rakyat belum wujud. Walaupun memenangi kerusi terbanyak Umno-BN tidak boleh membentuk kerajaan melainkan salah satu daripada parti pembangkang sedia mengadakan ikatan dengannya. Tidak dapat dipastikan adakah berlaku rundingan antara Umno-BN dengan salah satu parti pembangkang untuk membentuk kerajaan campuran?

Pada ketika itu PAS dan PKN telahpun mengadakan tahalluf secara rasmi sementara DAP tidak terbabit.

Walau bagaimanapun secara umumnya ketiga-tiga parti pembangkang itu telah cuba mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam menghadapi Umno-BN. Oleh itu, secara tidak rasmi ketiga-tiga parti ini terpaksa bergabung bagi menghalang BN daripada berkuasa.

Oleh sebab undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak yang tidak membolehkan bukan Melayu menjadi MB, maka DAP secara automatik terpinggir. Tinggal calon daripada PKR dan PAS. Ketika itu Lim Kit Siang dengan nada keras menolak calon MB daripada PAS!

Namun, beliau akhirnya terpaksa mengalah apabila DAP Perak membantah tindakan LKS dan mereka bersetuju menerima andainya calon PAS terpilih.

Memang benar, akhirnya sultan memilih Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS menjadi MB baru Perak. DAP dan PKR terpaksa menerimanya walaupun menang lebih banyak kerusi. Maka bermulalah era Pakatan Rakyat dalam barisan pembangkang. Di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kedah turut diterajui oleh MB yang baru bukan daripada Umno-BN. Kelantan pula terus kekal di bawah PAS.

Namun, 11 bulan kemudian kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang. Kita amat yakin jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ini tidak ada kena-mengena dengan kelemahan Majlis Syura Ulamak atau Presiden PAS!

Sosok yang menjatuhkan kerajaan Perak pada ketika itu ialah dua “barua” daripada PKR dan seekor “barua” lagi daripada DAP. (Nota: sila rujuk kamus dewan untuk mengetahui maksud barua!).

Soalnya, siapakah yang merancang rampasan kuasa dan kejatuhan ini. Semestinya jari dituding kepada Umno-BN!

Namun, dari sisi lain kita perlu ingat, adakah PKR dan DAP rela rakannya yang paling kecil (6 kerusi ADUN!) menjadi ketua? Jika kerajaan ini terus kekal sehingga PRU seterusnya, PAS pasti akan mendapat reputasi dan persepsi yang baik daripada rakyat dan... rakan tahalufnya itu sedar akan hal tersebut. Jadi sebelum PAS dapat membina reputasi dan persepsi ini, biarlah mereka hilang sebuah negeri. Sementelahan kambing hitamnya pun telah berusaha siang-malam menghulurkan lehernya  untuk disembelih dan dituding jari –  itu Umno-BN. Jadi mereka relakan saja Perak tumbang!

Namun, ini hanyalah imaginasi dan khayalan penulis. Kita percaya PKR dan DAP adalah parti yang baik-baik dan tidak akan mengkhianati rakan tahallufnya. Maklumlah, di dalamnya ramai mereka yang alim-alim, maksum dan mengikuti acuan pemerintahan Umar Abdul Aziz!

Siapa abang besar dalam Pakatan Rakyat?

Dari segi kekananan, PAS merupakan parti yang paling lama dalam Pakatan Rakyat dan memiliki ahli yang paling istiqamah dalam perjuangan. Parti ini secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1951. DAP pula pada 18 Mac 1966 sementara PKR pada 4 April 1999 (... ketika itu Parti Keadilan Nasional).

PAS memerintah Kelantan sejak pilihan raya umum yang pertama selepas merdeka, iaitu sejak tahun 1959-1978 dan 1990 hingga sekarang. DAP memerintah Pulau Pinang sejak 2008 sehingga sekarang sementara PKR membentuk kerajaan campuran dengan PAS dan DAP di Selangor sejak 2008 hingga sekarang.

PAS pernah menang di Terengganu pada tahun 1959 sebelum rakan tahalluf dan adunnya menjadi “barua” dan melompat parti. Kali kedua PAS menang di Terengganu ialah pada tahun 1999, tetapi kalah dalam PRU 2004 apabila gelombang biru yang diketuai oleh Tun Abdullah Badawi melanda.

Gelombang 2004 juga hampir menenggelamkan PAS di Kelantan apabila hanya menang majoriti dua kerusi!

Pada pru2008 juga PAS menang di Kedah lalu membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PKR seperti yang dilakukan di Perak.

Walaupun PAS mempunyai sejarah yang tidak kurang hebatnya, itu tidak menjadikan mereka mendabik dada lalu mahu menjadi abang besar dalam Pakatan Rakyat. Dengan pengalaman sejarah ini tidak menjadikan PAS angkuh dan mengambil kesempatan daripada rakan-rakan tahallufnya. PAS tidak mengugut rakan tahalluf jika ada mana-mana pendapatnya yang tidak disetujui.

Islam mengajar ahli dan pimpinan PAS agar sentiasa tawaduk dan berpegang kepada prinsip Islam – walau dalam apa jua situasi. Sikap jujur ini merupakan kekuatan dan juga kelemahan PAS. Tetapi seperti yang ditegaskan oleh pimpinan bahawa PAS rela kalah kerana berlaku jujur daripada menang melalui khianat.

Buktinya, walaupun Umno-BN bergolak di Terengganu selepas PRU13 lalu, PAS tidak mengambil kesempatan mencuri adun daripada musuhnya apatah lagi daripada rakannya sendiri. PAS tegas berpegang kepada prinsipnya.

Gembira melihat rakan tersungkur!



Selepas PRU12, PAS mempunyai MB di tiga buah negeri, iaitu Kelantan, Kedah dan Perak. Sementara DAP hanya di Pulau Pinang dan PKR pula di Selangor. Secara umum tentulah PAS dilihat lebih berpengaruh dalam Pakatan Rakyat. Keadaan ini membuatkan PAS lebih dominan dalam apa-apa jua rundingan dan tuntutan!

Tentunya, situasi sebegini bukanlah sesuatu yang amat disenangi oleh 'orang' yang mahu merebut jawatan perdana menteri. Jadi, kekalahan PAS di Kedah dan Pakatan Rakyat di Perak merupakan satu berita gembira. PAS sudah dilihat tidak dominan; tolak tepi saja punca kekalahannya, tetapi sudah ada modal yang besar untuk mereka melemahkan dominan PAS dalam Pakatan Rakyat – termasuk isu kekalahan PAS di Pengkalan Kubor baru-baru ini.

Krisis Selangor menjadi medan terbuka untuk terus menekan PAS apatah lagi apabila parti tersebut  tidak mengikut kemahuan mereka. Dan ini bukanlah kali pertama PAS bertindak demikian. Projek 16 September, cadangan nama ketua menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat menang, PRK Kajang adalah di antara tindakan yang tidak dipersetujui oleh PAS – dan kemuncaknya ialah apabila PAS dipaksa bersetuju dengan calon MB pilihan tahalluf!

PAS kini bukan sahaja menghadapi musuh politik tradisi, iaitu Umno malah rakan dari dalam Pakatan Rakyat dan lebih malang lagi apabila terdapat ahlinya yang wala’ kepada parti yang menentang hudud (i.e undang-undang jenayah Islam).

Sejarah tahalluf

Sejarah tahalluf politik di Malaysia memang begitulah sifatnya. Sekitar satu atau dua penggal sahaja ia dapat bertahan, kemudian setiap parti akan membawa haluan masing-masing. Sejak zaman Parti Negara pimpinan Dato' Onn pada tahun 1959 yang bekerjasama dengan PAS sehingga berjaya menawan Kelantan dan Terengganu. Tidak sampai sepenggal tahalluf tersebut telah berakhir.

Kemudian sekitar tahun 1990 terbentuk pula Angkatan Perpaduan Ummah yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Parti Melayu Semangat 46 (S46), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM), dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA). Kesemua parti ini terdiri daripada ahli-ahli yang terdiri daripada 'ummah' (umat) Islam....

Pada masa yang sama S46 telah menyertai Gagasan Rakyat yang terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Namun, riwayat APU tamat pada tahun 1996 apabila S46 dibubarkan.

Kemudian wujud pula Barisan Alternatif (BA) bagi menghadapi PRU pada tahun 1999 selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada Umno atas tuduhan meliwat.

BA terdiri daripada empat parti pembangkang terbesar, iaitu PAS, DAP, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Di antara persetujuan bersama yang dicapai ialah setiap parti dalam BA tidak akan bertembung sesama sendiri.

Namun, pada pada 21 September 2001, DAP mengumumkan pengundurannya daripada BA.
Dalam PRU 2004, BA terus mengekalkan tahallufnya, iaitu PAS, PKN dan PRM. Namun calon PRM telah menggunakan logo PKN kerana kedua-dua parti tersebut masih dalam proses penggabungan.

BA kalah teruk dan PAS kehilangan Terengganu. Kekalahan BA dalam PRU ini menjadi bukti bahawa tidak semua tahalluf dapat menjamin kemenangan!


Dalam menghadapi PRU 2008, PAS hanya bertahalluf dengan PKR (gabungan PKN dan PRM) sementara DAP bergerak sendirian. Dengan tidak dijangka, Umno-BN telah kehilangan majoriti 2/ 3 dan hilang banyak kerusi.

Pembangkang mendapat banyak kerusi kerana rakyat marah kepada Umno-BN yang begitu angkuh pada ketika itu – kesan daripada kemenangan besar mereka dalam PRU 2004. Bukan disebabkan pembangkang kuat!

Kemenangan itu juga telah memaksa parti-parti dalam kalangan pembangkang membentuk Pakatan Rakyat. Namun, kebangkitan Pakatan Rakyat pada PRU 2013 tidak lagi sehangat PRU 2008 dan Umno-BN kembali menawan beberapa kerusi dan negeri.

Berdasarkan sejarah ini, biasanya kerjasama di antara parti-parti pembangkang tidak mampu bertahan lama. Hal ini berlaku disebabkan perbezaan ideologi dan matlamat parti masing-masing. Kecualilah jika PAS mahu meninggalkan perjuangan Islamnya!

Pakatan Rakyat di mata rakyat

Krisis jawatan Menteri Besar Selangor sebenarnya telah menunjukkan wajah sebenar parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Rakyat melihat bahawa Pakatan Rakyat tidaklah sebaik yang cuba digambarkan. Belum pun lagi dapat memerintah Malaysia mereka sudah bercakaran sesama sendiri berebutkan jawatan. Belum lagi dapat memerintah Malaysia mereka sudah mengamalkan nepotisme dan kronisme (politik suku-sakat n karib-kerabat). Belum lagi memerintah Malaysia sudah terbit belang dan angkuh masing-masing.

Belum lagi dapat memerintah Malaysia masing-masing sudah pandai dan cukup berani mempertikaikan ulamak.

Kita perlu ingat, bahawa kekalahan teruk Umno-BN pada pru 2008 adalah 'suara hati' rakyat terhadap sebuah keangkuhan. Mungkin ada yang sudah lupa bahawa ketika rakyat disuruh berjimat cermat, pada masa yang sama pemimpin dilihat berbelanja begitu mewah.


Perkara yang sama bakal menimpa Pakatan Rakyat. Ketika mereka dihidangkan dengan keburukan kronisme dan nepotisme (suku-sakat dan karib-kerabat), pemimpin Pakatan Rakyat pada masa yang sama dilihat melakukan nepotisme dan kronisme.

Jangan marahkan rakyat jika tidak memilih Pakatan Rakyat lagi dalam pilihanraya yang akan datang!
0 Responses