Elias Hj Idris

Surat untuk rakyat Mesir dari penjara

WAHAI bangsa yang bangkit mendukung revolusi yang teguh berdiri, ALLAH telah tentukan revolusi kita yang diberkati, iaitu Revolusi 25 Januari (2011) menghadapi pelbagai kesukaran hingga ke kemuncaknya. Namun ALLAH telah sediakan untuknya rijal-rijal (wira-wira) yang sebenarnya.
Wira-wira yang terdiri dari lelaki dan wanita. Mesir berbangga dengan mereka di hadapan seluruh umat di dunia.

Wahai wira-wira yang merdeka, teruskan perjalananmu di atas landasan tsaurah* secara aman, dengan keteguhan laksana bukit, keazaman laksana guruh kerana tsaurah kamu pasti menang dengan pertolongan yang sangat dekat dan cepat. Inilah keyakinanku kepada Allah.

Dan di belakang kamu majoriti rakyat yang sangat ramai menunggu supaya kamu sediakan untuk mereka suasana tsaurah, untuk mereka dengar gemanya selepas dunia menyepikan suaranya di pentas pemilihan ketua inqilab (kudeta) sebagai Presiden.

Mereka mahu supaya rakyat membisu, namun mereka ditempelak dengan kesedaran rakyat yang akan membuat ubun-ubun mereka tersungkur.

Maka hendaklah kamu bersatu, jangan berpecah-belah dan jangan bertelagah, nanti kamu akan gagal, kehebatan kamu akan musnah. ALLAH menjadi saksi, sesungguhnya aku tidak mengabaikan sebarang usaha, tidak menyimpan tenaga dalam melawan kefasadan (kerosakan) dan kejahatan, kadang-kadang dengan menggunakan undang-undang dan beberapa kali melalui proses thaurah.

Kadang-kadang tindakanku tepat dan kadang-kadang tersilap. Namun aku tidak pernah mengkhianati amanah kamu kepadaku dan tidak akan melakukan pengkhianatan sampai bila-bila. Aku mengorbankan usiaku menghadapi kejahatan mereka dan aku akan terus begini selama usiaku masih berbaki.

Wahai syabab (pemuda) Mesir yang mendukung revolusi, sesungguhnya kamu telah mengkagumkan dunia dengan ketabahan kamu meneruskan tsaurah kamu. Dan kamu pada hari ini dan esok adalah masa depan tanah air, malah kamu itulah sebenarnya tanah air.

Tsaurah ini tertambat pada keazaman kamu. Aku yakin bahawa kamu akan mengangkat panji-panjinya dan akan menjulang ke puncaknya yang agung.

Maka, ingat tsaurah dan tsaurah. Sabar dan sabar wahai pemuda yang hebat. Demi ALLAH, sesungguhnya aku seolah-olah sedang melihat beberapa generasi selepasku sedang bercerita kepada anak-anak mereka bagaimana kesabaran kamu, lalu kamu menang, bagaimana pengorbanan kamu, lalu kamu berjaya mempertahankan tsaurah kamu.

Sesungguhnya setiap bangsa yang merdeka tidak mengiktiraf rejim inqilab (kudeta) yang banyak melakukan jenayah kerana tsaurah rakyat Mesir berterusan berpegang kepada prinsip silmiah (aman) yang tiada bandingan. Orang-orang yang merdeka di seluruh dunia tidak akan mengiktiraf apa yang dibangunkan oleh orang yang batil di atas kebatilan.

Akhirnya, tetapi bukan yang terakhir, aku ingin tegaskan kepada rakyat Mesir yang unggul: Hendaklah tsaurah kamu serta matlamat kamu yang tinggi sentiasa terletak di hadapan mata kamu.
Sesungguhnya darah syuhada', rintihan orang-orang yang luka dan cedera serta pengorbanan mereka yang terpenjara sekali-kali tidak akan disia-siakan selama tsaurah ini dipikul oleh rijal yang tidak pernah melupainya, yang sentiasa menjulang panji-panjinya, yang beriman kepada prinsip-prinsipnya dan berbaris di sekelilingnya sehingga matlamatnya terlaksana semuanya.

Ketahuilah bahawa jalan ini sukar. Tetapi aku yakin pada ketulenan logam-logam kamu dan keseimbangan jiwa kamu. Aku yakin kepada pertolongan Allah 'Azza wa Jalla untuk kamu.
Semoga ALLAH berkati kamu untuk tanah air kamu, umat kamu selagi kamu berada di atas jalan ini.


Sumber terjemahan: http://goo.gl/0zRXUz

Sempena perlantikan Fattah As-Sissi laknatullah menjadi presiden.
0 Responses