Elias Hj Idris
        Angkara nafsu... mesjid diperindahkan bukan untuk peribatan, tapi pengiktirafan
Oleh: Warga Prihatin
with Indra Utama Nasution and 4 others

Konspirasi terbesar ekonomi dunia yang menghancurkan sosial dan kemanusiaan 

Darah kita meluap, hati kita dihembus dengan haba emosi untuk 'berjihad' dengan nyawa. Menumpahkan darah juga kita sanggup demi mempertahankan Islam yang diratah dan diserang di sebahagian ruang dunia kononnya itulah 'senjata kemusnahan' Yahudi kepada orang Islam.Namun, kita lupa, Nabi telah memperingatkan kita tentang 'senjata terbesar' dalam konspirasi ekonomi yang memusnahkan Islam secara total dan menjadi 'hamba' mereka selama-lamanya. Baca terus dan anda akan hayatinya. Mengapa ramai yang sanggup mahu syahid bermandi darah sedangkan jihad yang lebih besar melawan riba kita kesampingkan sahaja seolah-olah ia enteng. Tidaklah enteng jika Nabi saw memberi amaran khusus tentang pengharaman riba pada khutbah terakhir baginda.

Hari ini kita mampu untuk beli sebuah rumah RM500,000 hanya dengan pinjaman. Kita ukur kemampuan kita bergaji RM5,000 sebulan dengan pembayaran bulanan. Lalu kita nampak kita mampu menanggung hutang itu. Lalu kita bayarlah rumah itu untuk tempoh 40 tahun. Setelah 40 tahun, jumlah bayaran yang kita langsaikan ialah RM1,500,000. RM1 juta ialah faedah yang diambil oleh bank itu sendiri.

Sistem riba menjadikan barang bertambah mahal. Ini kerana kos tambahan dari sistem riba dalam seluruh rantaian sistem produksi juga sebab pertambahan demand akibat keghairahan 'nafsu' membeli yang tidak berdasarkan kemampuan saku tapi kemudahan berhutang.

Kita rasa itu biasa saja, bukan?

Tahukah kita, jika tiada riba di dalam dunia ini, rumah yang kita beli itu mungkin hanya bernilai RM30,000 sahaja. Nanti dulu, gaji kita pula mungkin mampu sampai RM10,000 (pada nilai bukan pada kertasnya).

Kali ini, kita akan mengupas topic “bosan” ini yang jarang orang nak hiraukan sangat. Ramai orang tidak tahu pun, riba itu disebut sebagai dosa ke-empat terbesar selepas menyengutukan Allah, sihir dan membunuh. Berzina dengan ibu sendiri juga dosanya tak sebesar dosa riba.

Hari ini, jabatan agama Islam menangkap penzina dan dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman, tetapi mengapa riba yang menjadi dosa ke-empat terbesar dalam Islam tidak pula ditangkap? Malah, ia dibiarkan berleluasa di semua peringkat.

Mungkin ada yang mengatakan yang kita sudah tidak terlibat riba lagi, dan kita menggunakan 'sistem ekonomi Islam' dan sistem perbankkan Islam. Perlu diingatkan, daripada pengertian riba yang sebenarnya - sistem perbankkan Islam juga hanya menukar nama dan memperkenalkan akad tanpa perubahan sebenar dalam 'kekejaman' hal kewangan. Hari ini kita pasti akan keliru dengan sistem perbankkan Islam yang menawarkan pinjaman perumahan RM500,000 dan bayar semula RM1,500,000 berbanding pinjaman konvensional yang sedikit terbuka dengan spekulasi pasaran yang secara purata mungkin lebih rendah dan kadang-kadang (atau jarang-jarang) lebih tinggi daripada yang berbentuk Islamik.

Sebab itu, perbankkan Islam kini menjadi agenda ekonomi dunia, di mana ia lebih menguntungkan dari sistem konvensional. Contoh, seperti ayam yang disembelih dengan 'betul teknik'nya oleh Ah Seng dan juga ayam yang disembelih oleh Pak Karim yang baca Bismillah. Itu sahaja bezanya. Secara teknikal ia sama cuma secara kulit ia kelihatan Islamik. Malah kadangkala cara sembelihan dan pengurusan karkas Ah Seng mungkin jauh lebih bersih dan selamat.

Jadi sebelum ada yang bersilat, melatah dan mengeluarkan komen-komen yang buruk tanpa membaca habis artikel ini, mari kita tunjukkan mekanisma bagaimana riba ini bisa  menghancurkan manusia.

Riba adalah agenda penjajahan dan perhambaan moden
Hari ini, seorang bayi yang dilahirkan telah tertulis hutang piutangnya. Seorang lelaki dewasa yang dikatakan 'merdeka' telahpun berhadapan dengan hutang pelajaran, kad kredit dan hutang kenderaan bermotor. Berapa ramaikah yang masih bebas daripada riba? Jika mahu ditangkap oleh jabatan agama Islam kerana kesalahan melakukan riba, pastinya tidak cukup penjara untuk disumbatkan pesalah-pesalahnya.

Penjelasan secara teknikal 

 
Hari ini, kita berbelanja bukan mengikut kemampuan saku, tetapi kita berbelanja mengikut kemampuan kita mampu bayar balik sebelum kita 'mati! Natijahnya, seorang lelaki biasa akan mula komited dengan hutang  seperti hutang kereta (9 tahun atau selama-lamanya kerana sentiasa akan beli kereta baru), hutang rumah pula (40 tahun / sampai mati), hutang kahwin (5-10 tahun), Hutang belajar (5-15 tahun) dan hutang kad kredit.


Semua ini membuatkan 'kita menjadi orang terjajah', bukannya orang yang benar-benar merdeka. Kita tak mungkin mampu untuk berlepas diri dari segala kekangan hutang itu sehingga kita terpaksa bekerja selama-lamanya untuk membayar hutang yang kita mulakan pada usia kita 20-an.

Lihat di sini dengan tenang. Jika tanpa riba, kita bergaji RM3,000 dan kita mampu berkereta setakat yang bernilai RM10,000 sahaja. Pengeluar kereta juga akan mengeluarkan kereta pada pasaran mampu dengan kadaran RM10,000 sebuah kereta. Maka kita akan menabung atau berkongsi wang untuk sampai ke jumlah RM10,000 dan pergi ke kedai untuk membeli, bayar dan bawa pulang kereta tersebut dengan senang hati.

Insurans pun memadai dengan 'third party' sahaja. Insurans ;first party'tidak jadi wajib melainkan atas kesedaran pemilik untuk insurankan kereta mereka. Apabila insurans sudah tidak wajib, maka ia satu pilihan yang mampu kita buat dan insuran juga akan jadi rendah premiumnya kerana kita ada pilihan.

Tidak seperti sekarang, insuran 'first party' jadi wajib maka berapa sahaja mereka nilaikan… kita wajib bayar tanpa banyak soal. Itu juga cabang riba, satu perniagaan secara paksa, menindas dan mengambil untung berlebihan.

Dalam kes itu, kita akan berbelanja mengikut kemampuan saku, tetapi apabila riba diperkenalkan maka kita yang bergaji RM3,000 cuma mampu membayar kembali pinjaman sehingga ia menjangkau RM50,000. Maka penjual kereta juga bertindak mengikut situasi pasaran yang orang sudah mampu memiliki kereta yang bernilai RM50,000. Maka harga kereta juga akan jadi sebanyak itu.

Itu tidak termasuk lagi perlaksanaan riba dalam semua lapisan. Sebutir skrew di sebuah kereta yang sepatutnya bernilai RM10,000 itu juga dikilangkan oleh sebuah kilang yang 'meminjam bank' untuk modal pengeluaran mereka. Lalu, kos riba itu ditanggung secara efek domino dalam keseluruhan rangkaian bekalan. Pengilang enjin pula akan beli skru dan nut dari kilang itu secara hutang. Dan hutang itu juga ada kos nya. Walaupun tidak dinyatakan dalam bentuk peratusan, logiknya jika bekalan kita 'beli tunai' pasti dapat diskaun lagi. Sebenarnya ia bukan diskaun, tetapi itulah harganya yang sebenar. Jika debeli secara hutang atau ‘consignment’ ia akan jadi tinggi sedikit harganya. Itu juga berlaku riba.

Ia tidak termasuk lagi kes kilang enjin itu yang terpaksa meminjam bank juga untuk mengilang engin. Kalau nak didalami lagi, cuba gali sampai ke lombong besi yang menggali besi untuk dibuat skru tadi. Riba berlaku dalam segala lapisan dan kosnya akan terus dibawa ke hadapan.

Ia bermakna bahawa riba berlarutan dalam semua rangkaian bekalan. Maka, kereta yang sepatutnya berharga RM10,000 dengan kos pembuatan RM7,000 akan meningkat kos pembuatannya menjadi RM30,000 dan dijual pula pada harga katalah RM50,000 mengikut kadar kemampuan pasaran membuat pinjaman, bukan berdasarkan kos pembuatan sebenar. Oleh kerana tiada pilihan, riba itu sudah menjadi 'sistem ekonomi', maka kita terpaksa memakan riba itu juga. Sedangkan, Allah swt sudah katakan bahawa pemberi dan penerima riba kedua-duanya sama sahaja - masuk neraka.

Larangan riba adalah pesanan terakhir Nabi saw

Dalam khutbah wida, Nabi saw telah menyatakan larangan terhadap riba secara spesifik. Tidak pula ada larangan dosa-dosa lain seperti makan babi, minum arak atau yang lain-lain lagi. Namun riba itu Nabi saw sebut secara spesifik. Jika ia tidak penting, pasti Nabi saw juga tidak menyatakannya pada khutbah baginda tersebut di Arafah semasa 'haji wida' Baginda saw.

Nabi saw  tahu, riba ialah senjata pemusnah 'senyap'. Ia telahpun diamalkan oleh orang Yahudi sendiri dalam proses urusniaga jahilliyah sedangkan ia adalah larangan Allah saw yang dinyatakan dalam kesemua kitab Allah daripada Taurat sampai kepada Al-Quran. Hatta, pengharaman riba turut berlaku dalam agama Kristian pada Era Medieval tetapi mengapa kini kita sudah tidak merasakan riba itu tidak berdosa sepertimana zina?

Jika kita katakan kita tiada pilihan, nanti bakal ada yang katakan bahawa mereka yang berzina juga tiada pilihan kerana perkahwinan menjadi semakin sulit? Dosa riba lebih besar dari zina. Perkahwinan pula untuk mengelakkan zina, tapi berapa ramai pula yang terpaksa ambil 'pijaman'  dengan riba untuk berkahwin?

Mekanisme kemusnahan secara senyap

Hari ini, kita yang kononnya merdeka dan menikahkan anak gadis kita sendiri sebagai walinya telah hilang 'kemerdekaan' yang menjadi salah satu daripada syarat sah seorang wali. Sedangkan kita belum pun merdeka daripada hutang. Kita sentiasa merasakan kita tidak boleh nak mati pada hari ini kerana kita masih ada hutang yang tidak mahu kita wariskan kepada anak-anak dan isteri. Maka kita sudah jadi manusia yang tidak bersedia untuk dipanggil Allah swt. Langsung, kita menjadi manusia yang tidak tahu rindukan Allah!

Hari-hari kita akan bangun untuk pergi bekerja dari pagi sampai ke malam 'juga untuk membayar hutang'. Kita kata kita 'cinta Allah swt', tetapi sdalam sehari kita hanya beri Allah 25 minit sahaja (5 minit untuk setiap waktu). Mungkin ada yang rajin sikit, mereka berikan 1 jam sehari untuk Allah. Sedangkan baki masa itu digunakan untuk mengejar wang ringgit untuk membayar hutang kepada 'tuan' kita.

Bukankah taraf itu sama seperti seorang hamba? Berapa ramai di antara kita yang belumpun gaji masuk ke akaun, tetapi telah ada bahagian orang lain daripada pendapatan berkenaan. Hutang rumah, hutang kereta, hutang kahwin, hutang ceti, hutang kad kredit, hutang belajar dan macam-macam lagi.
 *Dari sini, adakah masa untuk kita membangunkan ummah?
 *Bilakah masa untuk kita perkasakan Islam?
 *Adakah lagi baki masa untuk kita melaksanakan sunnah?

Ataupun kita hanya dipanggil bersolat di masjid dan surau sehari semalam sebagai wacana pembangunan umat? Bilakah solat berjemaah kita itu mampu untuk menjadi satu disiplin aktual gerak kerja yang memajukan Islam atau hanya sekadar ritual tanpa perlaksanaan?

Mengapa pula masjid kini berkunci pada masa bukan waktu solat? Mengapa masjid Nabi dan masjid komuniti sekitar Madinah dahulu bukan sekadar tempat solat?

Kenapa masjid sekarang ini dilihat hanya cantik, tetapi sekadar menjadi lapangan solat? Di manakah peranan perekonomiannya?
Di mana baitulmal?
Di mana fungsi social?
Di mana fungsi pembinaan umat?
Di mana fungsi pembangunan keluarga?
Di manakah segala fungsi mesjid yang dahulu ada dalam mesjid, tetapi mesjid hanya menjadi pusat solat. Jika tidak dikunci pada waktu malam hari akan jadi pusat zina bagi mereka yang nak cari port selamat melampias nafsu.

Semua berada dalam hutang dengan kadar kemampuan 'palsu'. Mereka tidak punya kemampuan saku, tetapi menjengah 'pusat riba' untuk mengetahui berapabanyakkah mereka layak untuk berhutang?
Golongan berhutang adalah salah satu dari golongan 'asnaf' menurut Al-Quran dan layak menerima zakat. Jika dikira begitu, hari ini kita kebanyakannya di Malaysia ini adalah terdiri daripada golongan asnaf yang layak menerima zakat! Jika apa yang terjadi pada kita hari ini adalah yang haq, maka kita akan menzalimi baitulmal yang terpaksa memberikan kita bantuan zakatnya. Siapa pula yang akan membayar zakat jika kesemuanya adalah termasuk ke dalam kategori 'penghutang'?


Ataupun, pada zaman Nabi saw dahulu tiada orang berhutang. Jika adapun yang berhutang adalah golongan yang sangat terdesak. Itupun mereka berhutang kerana lapar dan keputusan makanan. Inilah orang yang layak menerima pembelaan baitulmal dan tergolong dalam 8 kategori asnaf.

Konspirasi paling halus

Selagi Islam belum pupus, selagi itulah musuh Islam akan terus cuba menghancurkan Islam. Tidakkah kita belajar bagaimana 'Skim Ekonomi Ponzi' yang dilaksanakan oleh USA telah menumbangkan gergasi ekonomi ini? Krisis Ekonomi Sub-Prima yang disebabkan juga oleh hutang dan riba yang dilaksanakan secara sistemik.
Kita pula, disebabkan ingin nak ikut model kejatuhan itu, 'household debt' (hutang isi rumah) di Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Seterusnya, kita tahu apa akan berlaku pada kita nanti.

Jalan penyelesaian untuk melawan riba

Kami dalam satu komuniti kecil ini telah 90% bebas daripada riba. Kami bangunkan model baitulmal kami sendiri dalam komuniti yang kecil ini. Wakaf dilaksanakan sebagai satu perkongsian pintar yang mana pewakaf tidak kehilangan haq, tetapi bertambah kaya dari segi akses kepada perbendaharaan baitulmal kami. Kami berharap, baitulmal yang ada kini mampu memberikan satu reformasi besar dalam perekonomian.

Hari ini, baitulmal hanya menjadi tempat orang miskin meminta bantuan zakat. Mengapakah itu sahaja fungsinya? Mengapakah tidak seperti yang berlaku pada zaman Nabi saw dahulu yang mana fungsi baitulmal ialah seperti rangkuman fungsi-fungsi berikut (dalam dunia moden); sebagai

-  bank negara;
-  pemungut jizyah (cukai);
-  pusat zakat dan infaq;
-  pusat wakaf;
-  amanah/wasiat;
-  national treasure/perbendaharaan;
-  kementerian kewangan;
-  kementerian pembangunan usahawan;
-  kementerian industri dan perdagangan antarabangsa;
-  insurans
-  kementerian perdagangan dalam negeri dan hal-ehwal pengguna;
-  pusat kebajikan masyarakat;
-  pusat perangkaan ekonomi; dan banyak lagi fungsi yang kini masih tiada.

Oleh sebab itu, apabila BAITULMAL yang dahulu menjadi satu nukleus kemajuan perekonomian Islam kini tercantas fungsinya menjadi sangat minor dan tidak mampu mengubah apa-apa dan tidak mampu membendung riba yang kini menjadi darah daging kita.

Kami telah melakukannya selama 8 tahun. Kami akan bebas dari riba 100% dalam 1-2 tahun lagi. Itupun daripada hutang-hutang lama pengasas kami yang dilakukan sebelum kami memulakann baitulmal kami sendiri.

Namun kami tidaklah sekaya baitulmal di luar yang boleh secara terang-terangan mempromosikan pembayaran zakat di saluran mereka. Kami hanya menerima zakat dari kalangan pengasas-pengasas kami yang 20 orang ini dan juga beberapa individu-individu lain yang sanggup menyumbang tanpa kami janjikan dengan pengecualian cukai pendapatan.

Walaupun tidak kaya dari pembayar zakat, kami telahpun menyemai sedikit itu dalam perniagaan dan pendidikan anak-anak kami sehingga perkembangan perniagaan kami mampu untuk seiring dengan keperluan pendidikan mereka. Dan anak-anak kami yang telah keluar dari universiti pula mampu kembali dan memajukan lagi perniagaan kami di sini.

Sebenarnya, memang ada cara dan jalan keluar daripada kemelut riba, tetapi soalnya,
berapa ramaikah yang mahu menjengah Al-Quran apabila mereka menghadapi masalah?
Jika ada pun, berapa ramai pula yang memahami maksud ayatnya?

Berapa ramai pula yang melaksanakan penyelesaian yang Allah swt berikan dalam Al-Quran itu?
Atau kita hanya sekadar mengeluh tanpa ada usaha melakukan islah. Kita jadi seperti anjing yang menyalak-nyalak hingar kerana ada paku di tempat tidurnya, tetapi tidak pula mahu berganjak dari tempat tidur berpaku itu.

Fikirkan semula… kita ini 'hamba' Tuhan atau 'hamba' tuan?

0 Responses