Elias Hj Idris
Oleh:  Muhammad Hamri Ibrahim

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya dan bahasa.  Kepelbagaian ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan istimewa di mata pelancong asing.

Rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina, India dan diserikan lagi dengan masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan, Malanau, Bidayuh dan sebagainya.

Usaha Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengeratkan perpaduan di antara kaum di negara ini, sekaligus mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum.

Inilah antara cabaran besar yang perlu dihadapi oleh pemimpin yang memimpin rakyat pelbagai kaum di sesebuah negara.

Tanpa kita sedari, P76 Teluk Intan yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini merupakan salah satu menifestasi konsep 1Malaysia yang dipraktikkan oleh rakyat Malaysia.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu menyaksikan ketiga-tiga kaum terbesar di Malaysia diberi peluang untuk memimpin masyarakat di Teluk Intan tanpa mengira latar belakang politik mereka.

Seperti yang umum sedia maklum, P76 Teluk Intan mempunyai dua DUN di bawahnya, iaitu N55 Pasir Bedamar dan N56 Changkat Jong.

Seah Leong Peng berjaya memenangi kerusi P76 Teluk Intan manakala Terence Naidu A/L V Raja berjaya memenangi kerusi N55 Pasir Bedamar dan Mohd Azhar bin Jamaluddin berjaya memenangi kerusi N56 Changkat Jong.

Persoalannya, adakah rakyat Teluk Intan masih ingin mengekalkan "trademark" ahli Parlimen 1Malaysia ini dengan memilih Mah Siew Keong sebagai ahli Parlimen yang baru mengantikan Seah Leong Peng pada PRK Teluk Intan nanti?

Hanya rakyat Teluk Intan yang tahu jawapannya.

Jika kita melihat dari sudut pandang yang lain pula, kita akan mendapati bahawa Parlimen Teluk Intan sejak sekian lama telah mempraktikkan konsep 1Malaysia dalam kalangan ahli Parlimen mereka.

Berdasarkan tiga PRU terakhir, P76 Teluk Intan dipimpin oleh ahli Parlimen daripada kaum yang berbeza.

Bermula daripada PRU11 pada tahun 2004, Mah Siew Keong yang juga merupakan calon PRK kali ini memenangi kerusi Parlimen Teluk Intan dengan majoriti 9,836 undi. Pada PRU, berikutnya iaitu di PRU12, M. Manogaran berjaya merampas kerusi P76 daripada Mah dengan majoriti 1,470 undi sekaligus membolehkan beliau menjadi ahli Parlimen di kawasan tersebut. Yang terbaru ketika PRU13 tahun lalu, Seah Leong Peng meneruskan kesinambungan yang dibawa oleh M. Manogaran setelah berjaya mengalahkan Mah dengan majoriti 7,313 undi.


Justeru, pemilihan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon Parlimen P76 Teluk Intan pada PRK kali ini dilihat sebagai suatu inisiatif bagi memecahkan tembok perkauman yang wujud dalam masyarakat di Malaysia secara umumnya dan di Teluk Intan khususnya seperti yang dinyatakan oleh parti beliau sendiri.

Berdasarkan flashback 20 tahun yang lalu, iaitu sejak dari tahun 1995, kawasan P76 Teluk Intan telah melalui lima PRU dan satu PRK dengan kedua-dua parti, DAP dan GERAKAN masing-masing menang sebanyak tiga kali.

Malah jika dikaji sejarah yang lebih lama, DAP menang buat pertama kalinya di Parlimen Teluk Intan, yang dikenali sebagai Teluk Anson ketika itu pada PRU1969 apabila Chan Fu King berjaya mengalahkan calon MCA Dr Ng Kam Poh.

Bagaimanapun, atas faktor-faktor tertentu GERAKAN berjaya memenangi kerusi itu bermula dari PRU1974 dan PRU berikutnya sehinggalah pada PRU1995 di mana calon DAP M. Kula Segaran berjaya memecahkan kemenangan itu.

Fakta ini jelas membuktikan bahawa calon Melayu dari mana-mana parti politik tidak pernah bertanding di parlimen ini sejak sekian lama.

Keterbukaan DAP mencalonkan Dyana di Teluk Intan merupakan suatu tindakan berani dan di luar jangkaan kerana sejak berdekad yang lalu Parlimen Teluk Intan dikenali sebagai kawasan tradisi kaum Cina dan India baik parti kerajaan mahupun pembangkang.

Bertepatan dengan idea 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, DAP yang merupakan parti majoriti Cina telah memilih Melayu sebagai calon mereka sekaligus menjadikan calonnya, Dyana sebagai simbol keharmonian rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Juga secara tidak langsung menggambarkan suasana "Truly Asian" di negara ini.

Sementara GERAKAN yang juga merupakan parti majoriti Cina secara konsisten tetap mencalonkan kaum Cina bagi mewakili parlimen Teluk Intan apabila memilih presiden parti tersebut untuk bertanding di sini.

Yang menariknya, jika Dyana menang di Parlimen Teluk Intan, beliau bukan sahaja merupakan wanita Melayu pertama yang menang di Parlimen berkenaan malah berjaya memecahkan dominasi kaum lain sekaligus menyempurnakan turutan kaum ahli Parlimen 1Malaysia di mana tiga kaum terbesar di Malaysia terpilih secara berturutan menjadi ahli parlimen di kawasan tersebut. Sesuatu yang pastinya sukar dicapai di mana-mana parlimen lain di Malaysia.

Sejauh mana perkara ini dapat dicapai? Hanya penduduk Teluk Intan yang tahukan  jawapannya.

Walau apapun keputusan yang dicapai pada PRK Teluk Intan nanti, penulis menasihatkan agar rakyat Malaysia sentiasa berusaha mengekalkan kedamaian dan kesejahteraan di negara Malaysia yang tercinta ini dengan mengamalkan sifat hormat-menghormati dan toleransi di antara satu sama lain. Jauhkan sebarang bentuk provokasi dan sentimen yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum yang sudah lama terjalin.

Semoga konsep 'Unity in diversity' mampu diaplikasikan dengan jaya dalam masyarakat majmuk di Malaysia. – 26 Mei, 2014.

* Penulis merupakan penggerak kepada GenTRA, sebuah badan yang mempromosikan minat, mewujudkan suasana pembelajaran bersama dan memperkasakan anak-anak muda dibidang sosial dan politik semasa.

Di bawah ini adalah cara Dyana menyantuni para pengundi - tua dan muda tanpa mengira bangsa dan asal keturunan mereka.


0 Responses