Elias Hj Idris
"Mungkin Haji Elias mahu membuat ujian mengenai strategi Gerak Saraf yang ditugaskan kepadanya; samada masih berkesan atau tidak selepas beliau telah lama menyepikan diri dalam tugas aktiviti Gerak Saraf.

    Menurut beliau dalam postingnya yang lepas-lepas, beliau terlibat secara aktif dalam tugasan Gerak Saraf semasa Pilihanraya 2008 di Perak, dan hanya kembali aktif di Puchong atas permintaan Pengarah JPrD. Oleh kerana telah lama tidak aktif di Puchong, maka pastinya beliau sedia maklum bahawa masalah di Puchong dan kawasan di Perak tentulah berbeza dari segi geography, budaya dan sikap warganya.

    Selepas ini besar kemungkinan Haji Elias akan menukar haluannya ke Puchong Utama samada ke arah Ketua Penerangan atau penulis ini sendiri pula. Maka kita yang berada di Barisan Pertma Puchong Utama perlu bersiap siaga dalam menghadapi serangan dari Haji Elias. Namun Haji Elias perlu sedar bahawa beliau akan berhadapan dengan musuhnya yang lengkap, kemas dan pasu samada di segi pertahanan mahu pun serangan udara, laut dari darat."

-  para_jump101 airborne
Jangan tersilap terjun & terjah sudah la...

Sebenarnya teman tidak suka terlibat dalam polemik murahan, terutama apabila timbul tuduhan-tuduhan separa masak, berdolak-dalih kemudian menafikan apa yang telah dihamburkan. Ia hanya memaparkan sifat keanak-anakkan dalam cara berpolitik di era caca-marba ini.

Ia selari dengan pesanan YDP PAS Kawasan kelmarin ketika melancarkan Gerak Kerja Pilihanraya di Pusat Bandar Puchong; jangan ada rasa riak dalam perjuangan kelak orang ramai akan beranggapan bahawa kita adalah jenis yang tidak baik; yang tidak dapat diharapkan menterjemah harapan dan dambaan mereka dalam politik tanah air.

Sebenarnya, rencah politik di Puchong ini teman dah lalui sejak zaman reformasi, apabila Anwar dilucutkan jawatannya, ditahan secara gestapo oleh anggota UTK di rumahnya, kemudian digedebik oleh KPN setengah mati ketika dalam tahanan di bawah tanah Bukit Aman; telah berjaya menggerakkan kesedaran ramai tentang kezaliman pemerintah yang telah lama berakar secara diam, tetapi cukup mengancam.

Di luar teman ikut terlibat dengan gerakan reformasi itu dengan turut serta dalam kebanyakan demonstrasi pada setiap Sabtu di Kuala Lumpur. Kemuncaknya adalah di Lebuhraya KESAS dekat tol di Jalan Kebun apabila ribuan kenderaan tersekat di mana demonstrasi diadakan - sebaik kami (Hj Suri meletakkan Mercedes beserta Abang Zali dengan vannya dan teman dengan Wira) menyekat laluan kenderaan yang menghala ke Shah Alam dari pelabuhan.

Di Puchong, teman turut menghadapi situasi merimaskan apabila 10 bulan permohonan keahlian PAS teman dipengap oleh PAS Kawasan atas alasan teman 'membahayakan' gerakan Islam di sini. Puncanya, apabila teman berjaya menggerakkan 5-6 orang kawan gedebe (ada yang kaki samseng. Ramai yang melihatnya sebagai pelik!) untuk bersama PAS menaikkan bendera paling besar di tepi Lebuhraya LDP - di pinggir Kampung Seri Puchong.

Bendera bersaiz 7' x 12' itu teman cantumkan kain tidak cukup bidang bersama isteri yang telah sekian lama tidak menyentuh mesin jahitnya di rumah. Merungut-rungut dia kerana kerja remeh dan susah itu. Namun berkat kesabaran bendera itu berjaya kami naikkan di penjuru rumah arwah Haji Mat Noor dengan menggunakan tiang setinggi 40 kaki.

Bendera besar PAS - lambang kemegahan!

"Ooo... kita berjuang bukan dengan bendera," jebik mereka yang berkenaan di PAS Kawasan. Dan... dalang berasa selesa apabila permohonan & sijil keahlian teman itu terus dipengapkan.

Namun alhamdulillah, arwah Hj Sani bekas calon PAS di PRU90 yang hanya mendapat 259 undi dan 1,600 undi pada PRU95 meminta teman isikan borang lain untuk beliau bawa terus ke ibu pejabat PAS. Sekejapan, ia lulus - no. ahli 622865 (daftar terus - ada 2 keping sijil ahli!) dan satu lagi sijil teman dengan no. ahli 566025 melalui PAS Kawasan.

Pada waktu itu Puchong, Serdang dan banyak kawasan lain adalah sinonim dengan totok umno/bn. Orang ramai, usahkan untuk memasang bendera PAS di rumah - di pokok yang jauh dari rumah pun mereka tidak berani. Akan ada 'kaki pukul' umno yang sedia bertindak pada bila-bila masa sahaja.

Kesan daripada bendera besar itu kemudiannya, nampak ketara sekali perubahan dan penerimaan ramai terhadap PAS. Tanpa sedar merecup-recup naik bendera PAS di serata pokok di merata-rata jalan kampung. Kemudian sudah ada yang berani mengibarkan bendera di kereta masing-masing (menjelang pilihanraya 1999). Di beberapa buah rumah, termasuk rumah panjang di tepi Mesjid Al-Istiqomah juga sudah mula terpasang bendera bertuah itu. Juak-juak umno mula tenggelam punca dan merah muka.

Apabila bendera besar di tepi lebuhraya itu berkibar megah - ia telah menarik perhatian mereka yang lalu di sepanjang lebuhraya itu. Maka mencurah-curah datang ucapan tahniah dari PAS Kawasan lain - sejauh Kedah ke PAS Kawasan Puchong. Orang ramai semakin menunjukkan penerimaan mereka. Kemudian, baru PAS Kawasan sedar bahawa kewujudan bendera itu membawa impak besar dalam perjuangan.

Kegetiran yang sama berulang - bukan 10 tahun kemudian, tetapi 13 tahun apabila teman baru berjinak-jinak dengan PAS Kawasan apabila dilantik menjadi Ketua Gerak Saraf pada Mac 2011. Nama teman kembali didaftarkan oleh Setiausaha ke paspuchong-net@yahoogroups setelah menyepi lebih 10 tahun (sebenarnya ada cubaan menyisihkan teman di waktu itu dari PAS Kawasan. Puncanya... perlukah dijelaskan?

Banyak pihak, sama tidak senang atau tidak bersedia menerima corak atau cara pendekatan teman dalam perjuangan. Orang perjuangan tidak mengambil banyak masa dalam melaksanakan sesuatu misi - tidak bersedia dengan perkara remeh-temeh atau dengan fe'el lebih banyak bercakap daripada bertindak.

Pertama sekali melalui mailing-list berkenaan teman tegur tentang kecenderungan untuk mengubah kepimpinan PAS Kawasan oleh pihak-pihak oportunis yang ada dalam parti di sebelah sini. Bacaan yang dapat dibuat ialah kerana mereka hanya mendambakan kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang; menjadi calon dan mengaut habuan tersedia kepada penyokong sekiranya usaha mereka itu berjaya. Maka agendanya adalah 'Maukan perubahan!' Untuk apa atau perubahan dalam bentuk apa, teman sendiri pun tidak pasti?

Kesannya tetap ada apabila perhimpunan berlangsung, kumpulan yang mahukan perubahan itu kalah teruk. Cuma ada dua orang juak mereka yang berjaya meletakkan diri ke dalam saf pimpinan sebagai AJK. Pesaing jawatan utama - YDP dan Timbalan YDP serta Naib Presiden kecundang; pun ada tuduhan kononnya, peti undi itu tidak diawasi oleh mereka yang berwibawa - macam PRU pula!

Timbalan YDP dan YDP - Ust Soffiean Ismail

Kesannya, mungkin sudah ada yang mula membuka mata dengan kelancangan teman menulis dalam mailing-list berkenaan. Pada masa yang sama teman menegur apa yang patut ditegur sikap dan keadaan dalam parti yang didapati tidak kena dengan corak dan kewajaran gerakan Islam. Kali ini golongan yang mungkin merasai diri mereka itu rabai (seperti dalam agama Yahudi), pendeta (agama kuno) dan ustaz dalam PAS yang tidak menjaga adab ketika berkhalayak.

Kesannya, ia sama seperti mencetuskan bunga api ke atas minyak yang sedang mula terpanas. Dengan hanya sedikit 'spark' ia sudah mula dan mudah meletus. Maka timbul beberapa polemik kepartian di atas ketidak-sediaan mengubah status-quo yang ada; sifat keterbiasaan! Ada sesetengahnya yang berasakan bahawa merekalah yang paling banyak berjasa terhadap parti. Jadi, siapalah teman untuk menegur!

Seorang ketua kampung melenting, diikuti ketua IT yang sudah berani mempersoalkan gerak kerja teman dalam parti - kerja-kerja sensitif (gerakan propaganda dan bawah tanah). Ia adalah di luar bidang kuasa mereka dan secara eksklusif berada di bawah budi bicara teman dalam menentukan cara dan corak ia hendak dilaksanakan.

Ini teman pelajari ketika zaman belum merdeka (1955/6), ketika Inggeris sibuk memerangi gerila komunis ketika era kemerdekaan sudah berada di depan pintu. Hampir setiap minggu (di kampung teman - Perak) Inggeris menaburkan risalah dengan kapal terbang yang menyeru agar 'pengganas' komunis yang bergerak cergas di dalam hutan itu menyerah diri.

Namun selang 2-3 hari kemudian, pihak komunis menyebarkan risalah tentang perjuangan 'murni' mereka dalam membebaskan tanah air ini daripada cengkaman penjajah - sebagai jawapannya. Sebaik bangun tidur, risalah sudah bertebaran di serata laman rumah - dan sebagai kanak-kanak, teman mengutipnya jadi bahan koleksi (tanpa mengerti apa-apa sebab masih belum bersekolah dan tidak tahu membaca!). Hanya ayah yang membacakan isi kandungannya - yang didapati memang murni tujuan perjuangan mereka itu - membebaskan tanah air (Ia berkait rapat dengan kepalsuan yang ada di sebalik pengisytiharan Undang-undang Darurat, Jun 1948 itu).

Pada masa itu PAS Kawasan ini memang dilihat sebuah gerakan Islam yang santai dan sambil-lewa dalam perjuangan. Ini teman perhatikan sejak mula mendekatinya. Dalam banyak keadaan teman dan beberapa orang kawan menjadi sukar dalam mengetengahkan agenda pembelaan dalam urusan penduduk. Malahan dalam setiap mara-bencana; banjir, umpamanya yang melanda penduduk Kampung Seri Puchong - pernah 9 kali dalam setahun (1997) PAS Kawasan seakan-akan tenggelam punca!

Seterusnya, PAS didapati kelu apabila berhadapan dengan tindakan serakah umno/bn di dalam kampung - dari segi penipuan dan tindakan khianat - songlap wang bantuan banjir, bayaran sukat tanah dan masalah geran. Untuk mendapatkan sesuatu keputusan kita kena tunggu 2-3 minggu sebelum PAS Kawasan dapat bermesyuarat - itupun teramat payah untuk menyatakan keputusan yang maksudnya terarah kepada 'ya'!

Pada masa yang sama penduduk di 7 kampung tradisi Puchong ini dihadapkan dengan ketidak-adilan sikap juak-juak dan pemuka umno, menekan dan mengambil kesempatan terhadap orang ramai, masalah sosial yang membarah dan tidak terbendung di kalangan remaja serta sikap tidak bertanggungjawab majlis perbandaran yang mula ghairah mengenakan penduduk kampung - cukai pintu! Ia direstui umno kerana peluang 'makan' yang ada di dalamnya. Kemudiannya, timbul pula isu perampasan mesjid oleh umno melalui JAIS. Dan... PAS jelas nampak terkapai-kapai.
1 Response
  1. Anonymous Says:

    Syok sendiri