Elias Hj Idris
Bukti-bukti Sejarah Empayar Bernua Siam Islam Kedah

Sejarah negeri Kedah Darulaman banyak dilindungi oleh campurtangan penjajah Inggeris dan Thai pada awal abad ke-17 dan 18 dahulu sehingga menyebabkan banyak bukti sejarah negeri itu menjadi tidak selari dengan bukti-bukti yang mula dijumpai semula pada hari ini. Pada masa yang sama penemuan makam Sheikh Abdul Kadir ibni Hussain Syah Alirah bertarikh 904 Masihi di Tanjong Inggeris, Langgar dan penemuan batu bertulis Ibnu Sirdan bertarikh 213 Hijrah di celah-celah longgokkan batu candi oleh Dr Othman Md Yatim membuktikan bahawa agama Islam tiba jauh lebih awal dari tarikh 1400 Masihi, tahun yang dikatakan Islam mula tiba ke Melaka.

Penjajah Thai pasti mempunyai muslihatnya apabila mereka membakar naskah Hikayat Merong Maha Wangsa (Merong Maha Wongser). Tindakan itu diambil oleh tentera raja Buddha Thailand, iaitu Rama V Chakri Sokho Thai Chulalongkorn (Chula Luang Khun) pada tahun 1876 Masihi selepas mereka berjaya membunuh Raja Maha Besar Benua Siam Islam Kedah, Sultan Jaafar Mad Azam Syah ibni Sultan Syed Alang Alauddin di Gurun Kedah. Sayangnya nama baginda dan ayahanda baginda berdua tidak terdapat dalam sejarah Kedah, negeri yang pernah diperintah oleh mereka sebagai Raja Besar. Nama Sultan Syed Alang Alauddin yang bergelar Panglima Bukit Gantang ada tercatat dalam sejarah Perak namun peranan dan sumbangan baginda telah dikecilkan.

Sultan Syed Alang Alauddin bergelar Panglima Bukit Gantang telah memerintah Benua Siam (mengikut buku Konvensyen Sejarah Kedah) dari tahun 1839-1862 yang turut mencangkupi wilayah Perak pada hari ini. Baginda adalah putera sulung kepada Sultan Mudzafar Syah III Ibni Khalifah Syarif Abu Bakar Syah, Raja Siam Ligor Nambang yang meliputi Kedah dan Perak. Sebelum menaiki takhta sebagai Raja Besar Benua Siam, baginda Sultan Mudzaffar Syah III ini pernah menjadi Raja Kemboja Cempakasari (bergelar Po Chan) dan kemudiannya sebagai Raja di Kuala Kangsar. Nama sebenar baginda adalah Koya Long. Gelaran Koya mungkin asing bagi kita hari ini namun di Georgetown, Pulau Pinang masih ada sebuah masjid yang diberi nama Masjid Koya.

Pembakaran naskah Hikayat Merong Maha Wangsa pada tahun 1876 ada tercatat di dalam buku ‘Sejarah Kedah Sepintas Lalu’ sementara catatan dari James Low yang mengatakan Rama V Chakri Sokho Thai Chula Luang Khun memerintahkan agar hikayat tersebut hendaklah dibakar habis habisan agar segala tulisan yang berunsur agama Islam dan dakwah Islamiah ini segera dimusnahkan.


Kenapa Hikayat Merong Maha Wangsa dibakar?



Kerajaan di Asia - menunjukkan kawasan pemerintahan Siam Islam Kedah

Di dalam naskah Hikayat Merong Mahawangsa ada tercatat bahawa negeri Siam Lancang telah dibuka oleh Podiset Sayyidina Jamalull Alam Badrul Munir, iaitu anakanda kepada Raja Merong Mahawangsa yang beragama Islam. Sekaligus ia turut menafikan bahawa bangsa Siam bukanlah bangsa Thai yang ada pada hari ini kerana kedua-dua bangsa ini bertutur dalam dua bahasa yang berbeza. Pendek kata, jika bahasa menunjukkan bangsa, jika dilihat orang-orang Siam beragama Islam sementara orang Thai (dari puak Sukothai) pula beragama Buddha.

Dalam tahun 1767, ibu negeri Benua Siam Islam Ayuthia telah ditawan oleh puak musuh yang beragama Buddha. Raja atau pemerintah mereka, Rama I adalah dari bangsa Sukothai yang beragama Buddha. Ini berbeza dengan situasi sebelumnya di mana Ayuthia adalah sebuah kerajaan Islam yang diperintah oleh raja-raja Siam Islam. Ini yang cuba disembunyikan oleh sejarah menyebabkan sejarah negara kita dan sejarah orang-orang Melayu dari rumpun Siam menjadi tidak tepat.

Hari ini kita dapati sejarah menjadi kucar-kacir apabila orang-orang Thai di Thailand pula mengakui yang mereka itu adalah orang Siam padahal raja mereka adalah dari bangsa Sukothai yang menjajah negeri Siam bermula dari Rama I Yotfa Chulalok. Memang asalnya mereka orang Siam - rakyat negara Siam,  tetapi hari ini mereka telah dijajah oleh Raja Rama Thai, bukan Raja Siam yang beragama Islam seperti pada zaman Ayuthia. Dengan sebab itu, apabila penguasaan mereka telah menyeluruh, mereka menukar nama negeri Siam kepada Thailand bersempena dengan nama suku kaum mereka.

Sekiranya diberi peluang, mungkin seluruh semananjung turut ingin diThaikan oleh mereka. Langkah Inggeris menukar nama Semenanjong Malaka (jajahan Siam Islam) kepada Semenanjong Tanah Melayu adalah bagi menghentikan kemaraan tersebut bagi menjaga kepentingan ekonomi mereka seperti bijih timah, ladang getah, lombong emas dll. Ada kemungkinan apabila Raja Thai berkuasa di Ayuthia, kemudiannya Bangkok mereka berhak kepada keseluruhan wilayah yang dahulunya berada di bawah Benua Siam Islam. Sedangkan mereka lupa tentang perbezaan agama itu!

Kesemua maklumat ini jika dianalisa dengan teliti ada tercatat dalam buku 'Undang-Undang Kedah' yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur dalam tahun 2005, hasil selenggaraan Mariyam Salim. Undang-Undang Kedah merupakan manuskrip asal perlembagaan bagi Benua Siam Islam Kedah. Ia mula ditulis berperingkat-peringkat semenjak tahun 222 Hijrah bersamaan tahun 812 Masihi. Buku tersebut mula ditulis di zaman Saidina Ali Wa Maulana Jamalul Alam Badrul Munir (anakanda Podiset) yang berkerajaan di Acheh Darul Salam. Sebagai sebuah perlembagaan negara ia pasti di buat pembetulan demi pembetulan mengikut kehendak dan keperluan dari semasa ke semasa.

Teks asal tulisan jawi 'Undang Undang Kedah' ini telah tersimpan sekian lama di perpustakaan ‘School Of Oriental And African Studies (SOAS) London’, pada nombor rujukan MS 40329 dalam bentuk microfilm dan ia telah dibawa balik ke Malaysia untuk diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.


Siapa Syarif Abu Bakar Syah, Yang Di Pertuan Yang Maha Mulia?

Di muka surat 42, ada tercatat;
“Dan, kebesaran Syarif dan menteri pada masa membaca surat utusan, duduknya di atas panglima negeri. Pada masa itu (d)ialah raja”.

Di muka surat 43 ada tercatat;
“Adalah adat segala hamba raja itu dipersalini oleh Syarif dan menteri kerana kanun Datuk Besar Kota Star adanya”

“Daripada hijrah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan iaitu TAHUN HA (1788 M) pada dua puluh delapan haribulan Safar, hari isnin, bahawa pada ketika itu maka adalah titah Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Keatas jemala Datuk Bendahara (Koya Long Sultan Mudzafar Syah III Kedah anakanda kepada Raja Siam Ligor Nambang ) menyuruh muafakat dengan segala pegawai-pegawai mengaturkan segala adat pada fasal menyatakan aduran hamba Allah Taala”.

Nama Syarif yang dimaksudkan ialah Syarif Abu Bakar Syah, Raja Siam Nambang Ligor Ibni Khalifah Sultan Muhiyuddin Mansor Syah Chau Pija Sitamrat yang bersemayam di istana Kota Palas, Pulau Langkawi. Kita juga mengetahui terdapat gelaran yang tidak lagi digunakan hari ini iaitu Yang Dipertuan Yang Maha Mulia dan Syah Alam Yang Maha Mulia. Inilah gelaran bagi Raja Besar Benua Siam. Sebagai Raja besar dan Ketua agama Islam mereka turut menggunakan gelaran Khalifah dan Maulana.
Di muka surat 17 tercatat;

“Hijrat al Nabi sallallahu alaihi wasalam pada seribu tujuh puluh delapan tahun, tahun Dal, pada bulan/Rabiulawal, hari Isnin, zaman hadirat Maulana Syah Alam semayam di Kota Palas pada ketika itu bahawa titah Syah Alam Yang Maha Mulia pada segala pegawai yang tua-tua suruh perbuat undang-undang.”

Kota Palas kini dinamakan Padang Mat Sirat yang bertempat di Pulau Langkawi, Kedah dan makam baginda masih lagi dikenali sebagai makam purba, padahal baginda adalah Raja Besar Benua Siam seperti yang tercatat dalam 'Undang-Undang Kedah' sebagai bukti bertulis. Papan tanda pada makam purba (konon dikatakan kubur seorang wanita) di Pulau Langkawi itu harus ditukar dengan maklumat terkini dan diperelokkan bersesuaian dengan seorang raja besar yang bergelar maulana. Dulu, makam baginda ditimbus dengan tanah untuk mengelakkan daripada dimusnahkan oleh gabungan tentera Thai dan Burma yang menyerang Pulau Langkawi.

Di muka surat 26-27 pula tercatat;

“.. raja segala hamba itu, adatnya disalin Seri Perdana Menteri daripada hukum kanun Datuk Besar Kota Star masa itu”.

Raja segala hamba bermaksud raja yang besar berbanding rakyatnya dan adat resamnya disalin/ditulis oleh Seri Perdana Menteri yang sememangnya ditugaskan untuk berbuat demikian.

“Sebermula banyak emas ditempa Bunga Emas, dihantar ke Benua Siam Dua Puluh Emas masa Raja dahulu-dahulu, pada masa Sultan Muhammad Jiwa tambah sepuluh emas sebab sukar ia ditempahnya itu.”

Dari bukti catatan di atas dapat kita fahami bahawa Sultan Muhammad Jiwa (1710-1778) hanyalah berjawatan sebagai Paduka Seri Perdana Menteri, bukan sebagai Sultan Kedah. Seterusnya di muka surat 40 dicatatkan pula;

“Maka adat ini daripada raja-raja dahulu sampai pada marhum naga (Sultan Rijaluddin) turun pada Datuk Besar, turun kepada Datuk Seri Paduka Tuan Tuha, turun kepada Datuk Maharaja Encik Yusuf dikurnia Paduka Marhum Kimbang akan datuk maharaja segala adat ini dan suatu dikurnai kepada Datuk Seri Bongsu, iaitu Datuk Paduka Seri Perdana Menteri Anak Bukit. Tamat”.

Di muka surat 27-28 tercatat;

“Maka pada zaman Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah Ibni Sultan Abdullah Mukaram Syah naik kerajaan pada tarikh seribu dua ratus dua puluh dua tahun Alif (1812 Masihi ) dilebihkan tinggi bunga emas dan bunga perak sebab baginda sampai sendiri mengadap Raja Maha Besar Benua Siam”.
Peta Tahun 1851 menunjukkan kerajaan Siam, bukan Thailand.
Kedah sebagai pusatnya ditulis sebagai 'Quedah' dan Malaya menjulur hingga ke Tenasserim (Burma).

Raja Maha Besar Benua Siam pada tahun 1812 Masihi ialah Raja Siam Ligor Nambang Khalifah Syarif Abu Bakar Syah, Yang Dipertuan Yang Maha Mulia Benua Siam Kedah. Pada masa itu baginda bersemayam di Istana Kota Meang Kuang mukim Wang Tepus dalam daerah Kubang Pasu Kedah Darul Aman. Perkataan Meang Kuang ialah bahasa Siam yang bermaksud, ‘Negara Luas’. Negara luas yang dimaksudkan di sini tidak lain dan tidak bukan ialah Benua Siam Islam Kedah.

Jika diambil kira bukti yang terdapat di muka surat 51 dalam buku dokumentasi ‘Konvensyen Sejarah Negeri Kedah, 1981’ ada tercatat;

“Bagi seorang Seri Paduka Raja Laksemana pula tugasnya sebagai ketua tentera laut dan semasa di laut dia berkuasa penuh”.

Laksemana yang dimaksudkan itu ialah Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah Ibni Sultan Abdullah Mukaram Syah. Pada masa peperangan itu angkatan laut Kedah Darul Aman dikatakan musnah semasa melancar siri pemberontakan menentang Siam pada tahun 1839 Masihi. Siam yang dimaksudkan di sini ialah kerajaan Siam Islam itu, bukannya tentera Thai dari Bangkok.

Catatan penulisan J.F. Agustin bertajuk, ‘Kemusnahan Angkatan Laut Kedah Darul Aman’ ada menceritakan dengan lebih terperinci dalam buku “Kedah Darul Aman Dari Segi Sejarah”, jilid 5, Ogos 1971 muka surat 16-18.

Dari buku Sejarah Warisan Mahawangsa Kedah, di muka surat 1 ada tercatat seperti berikut;

‘Dalam tahun 1837, James Low melaporkan bahawa beliau telah menerima sebuah manuskrip Sejarah Kedah yang disebutnya sebagai ‘Kedah Annals Termed Merong Mahawangsa’ dari Sultan Ahmad Sajoodin Halim Shah (Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II - 1804’).

Beginikah caranya bagi seorang Raja Laksemana Ketua Tentera Laut Kedah, Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah yang hanya dilantik oleh Maharaja Benua Siam Islam cuba menggunakan manuskrip sejarah Kedah, Hikayat Merong Mahawangsa yang direka semula olehnya untuk menipu pihak Inggeris kononnya beliaulah Sultan Kedah Darul Aman. Padahal dalam tahun 1837 beliau telah diusir oleh tentera Raja Benua Siam Islam Ligor dan duduk dalam buangan di laut.

Realitinya, dalam tahun 1837 negeri Kedah Darul Aman belum wujud. Ia hanya sebagai sebahagian wilayah Benua Siam Islam sahaja. Dengan menipu dan mendapat pengiktirafan pihak Inggeris pada tahun 1839, Seri Paduka Laksemana Ketua Tentera Laut Kedah telah menyusun siri pemberontakan menentang Raja Maha Besar Benua Siam Kedah, iaitu Sultan Syed Alang Alauddin Syah Panglima Bukit Gantang ibni Sultan Mudzafar Syah III Kedah.

Dari Buku Sejarah, “Cempaka Sari, Sejarah Kesultanan Negeri Perak”, M.A Fawzi Basri memetik fakta dari tulisan Winstedt dan manuskript Riwayat Negeri Perak, muka surat 22;

“Sultan Mudzafar Shah III Kedah meninggalkan Berahman Indera Balai Besar, Alor Star Kedah dan bersemayam di Kuala Kangsar. Manakala Raja Alang Putera Raja dari Kedah menjadi bendahara” (Bendahara Kedah atau Raja Muda ialah Raja Siam Songkhla, Paduka Seri Sultan Syed Alang Alauddin, Panglima Bukit Gantang).

Pada tahun 1862 Long Jaafar, putera kepada Raja Siam Songkhla Sultan Syed Alang Alauddin Panglima Bukit Gantang menaiki takhta Benua Siam Kedah yang bergelar Sultan Jaafar Madazam Syah. Ini adalah berikutan kemangkatan Syed Alang Alauddin di Istana Kuning Berahman Indera, Alor Star. Sebelum itu Sultan Jaafar telah menjadi Raja Larut Matang merangkap Bendahara Benua Siam Kedah dan di sana baginda dikenali sebagai Long Jaafar (raja daerah juga yang digelar penghulu sebagaimana penghulu Kayang di Perlis). Mengikut 'Undang-Undang Kedah' jawatan Bendahara adalah juga Raja Muda. Jadi tidak hairanlah jika ada catatan sejarah yang mengatakan Long Jaafar hanyalah penghulu atau orang kaya... akan tetapi penghulu yang bagaimana? Sudah pasti bukan penghulu seperti yang ada pada hari ini.

Benua Siam Islam Kedah

Apabila Long Jaafar menaiki takhta kerajaan Benua Siam Islam, tempat baginda sebagai Raja Larut Matang telah digantikan oleh Ngah Ibrahim. Bukti bertulis di muka surat 21 buku yang sama ada tercatat;

“Bagaimana pun dalam tahun 1862 Masihi Sultan Jaafar memberikan jawatan menteri itu kepada Cik Ngah Ibrahim iaitu anak seorang pembesar yang bergelar Paduka Setia, Orang Besar Enam Belas. Tuk Paduka Setia iaitu pengapit kepada Panglima Bukit Gantang.” Rujuk Winstedt, History of Perak rujuk muka surat 43, halaman 145.
12 Responses
  1. Anonymous Says:

    Aslamualaikum

    Saya amat berminat membaca tentang Kerajaan Benua Islam Kedah. Kalau ianya benar, bermakna sejarah yang kita pelajari selama ini adalah sejarah yang dipalsukan.

    Sesesungguhnya kebenaran akhirnya akan muncul dan kepalsuan itu akan hilang lenyap. Tapi bilakah ia akan berlaku? Siapakah yang akan membongkarnya? Wallahualam


  2. Ia sudah ada dlm 'Undang-undang Negeri Kedah', tapi pihak yg ada skrg enggan berganjak drp status-quo yg ada demi kepentingan peribadi (kedudukan yg sedia ada!).

    Sejarah yg ada ni dh ditulis semula krn kepentingan (tipu je) - supaya jgn ditunjuk kehebatan k'aan Melayu lama @ Islam.


  3. Ligor Says:

    salam,

    berkenaan kesultanan Syarif Abu Bakar Syah, Raja Siam Nambang Ligor. adakah asal nya dari pemerintahan raja2 Ligor.

    saya sedang menyelidik tentang salasilah Ku Meh dan isteri nya Ku Timah, Ku Mahkib dan isterinya Ku Sah. asal di pekan Nakhon Sithammarat berdekatan masjid, kota lama dan stesyen keretapi Nakhon tempat ibu saya dilahirkan.


  4. Unknown Says:

    salam zakk kalau tak silap saya Ku Din tu cucu Tunku Bisnu yang di bunuh dgn dicampak ke laut dalam tahun musuh berbisik...


  5. Unknown Says:

    Salam Saudara Zakk kalau tak silap saya Ku Meh tu adalah anakanda kepada Tunku Bisnu yang mangkat dibunuh deangan dicamapk ke laut oleh puak burma pada zaman musuh berbisik


  6. Dahlea Al-Saadi Says:

    Saya teruja dengan sejarah kedah siam ni..


  7. tqpidin Says:

    alhamdulillah.

    saya mohd hafizudin bin hamzah. bin che wan nik. bin awang kechik. bin mat diah.

    saya adalah keluarga dari wan mat saman negeri kedah. daripada keluarga besar sultan

    kedah.

    asal usul yang kabur telah di gelapkan. hitam .

    keluarga pemerintahan sultan daripada ligor( nakhon si tammarat). merupakan satu

    penderitaan zaman berzaman. beratus tahun lari dari kekejaman penjajah daripada

    pelbagai negara thai, inggeris, dan laksamana sultan ahmad tajuddin dan

    seorang gabenor sultan di kedah yang bernama sultan muhammad jiwa.

    sekarang sudah ada rujukan.

    buku undang-undang kedah.

    tapak kerajaan kedah di pusat arkeologi sungai bujang dan sungai mas, sungai petani

    kedah.


  8. khairy rezza Says:

    berikan aku sepersalinan pdf undang undang kedah


  9. Syahid Says:

    .https://keep.line.me/s/Lb8uYYKl0c45XfYhErKpES9VipJoa6sXmUwle-HBC7I

    Web: almawaddah.info

    Salam wa rahmah

    Kepada;

    Yang dihormati para akademik, para rektor universiti dan para mufti.

    Tan Seri/Datuk Seri/Datuk/Datin/ tuan/puan

    Tajuk: "Penukaran al-Qur'an dangan mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai asas agama Islam oleh para Mufti Malaysia adalah "un-Islamic" . Rencana ini adalah bagi tujuan kajian dan renungan.
    Sila layari laman: almawaddah.info
    Tidakkah Islam itu rahmatan li -l-Alamin?
    Terima kasih.

    Daripada;
    Pencinta al-Qur'an sebagai asas agama Islam di Malaysia.
    Kuala Lumpur
    Malaysia.


  10. Unknown Says:

    Orang orang yang di dalamnya istiqamah-nya Allah akan membuktikan sejarah yang sebenar tentang bangsa melayu yg kelam dek akibat pembenaman sejarah orang2 Melayu yang dihakis penjajah laknatullah dan talibarautnya sial thai laknat..


  11. Unknown Says:

    Asslmkm,saudara2 seislam,patutnya ada penulisan sejarah yang baharu,nyata kebenaran,fakta kerana ini adalah sjrh tampuk pemerintahan kerajaan di kepulauan Melayu khasnya dan perlu ditulis semula segala kesongsangan dan penipuan besar terhadap sejarah masyarakat melayu islam dan siam serata dan penduduk nusantara dan ia adalah bukti islamnya masyarakat Melayu Nusantara.Sewajarnya sejarah yang benar ini patut dihebahkan kepada menteri2 pelajaran dan orang2 besar kerajaan di Malaysia diatas kesadaran penduduk yang ditimpa batu tanpa disedari atau lalai.Hendaklah penulisan baharu sejarah Malaysia mengemukakan tentang Kerajaan Na Gara Kedah Pasai Ma sebagai kerajaan palaing utama di nusantara...sekian,saudara disini memohon ampun jika ada terseloka, asslmkmw.b.t..Moga perubahan dipermudah Allah sw.t


  12. Di kampung kami letak nya Makam Yang di pertua Syariff Abu Bakar Syah,
    Dan beberapa kubur lain yg pernah di ceritakan oleh Allahyarham Tengku Nai Lobg Kassim di dalm bloq arwah "ANAI ANAI".