Elias Hj Idris
Fir'aun adalah manusia yang menjadi lambang kejahatan, keangkuhan dan kekufuran. Dia pemerintah Mesir kuno yang paling berkuasa dan kaya-raya. Dengan tentera yang ramai dan tamadun yang hebat, tetapi zalim terhadap rakyat dan mengaku dirinya sebagai tuhan. Dia tidak pernah sakit, sehingga bersin pun tidak. Maka kisahnya telah disebut lebih daripada 60 kali dalam al-Quran.

Laluan masuk ke tempat persemadiannya yang awal di piramid

Selepas dia ditenggelamkan dalam Luat Merah ketika mengejar Nabi Musa a.s, mayatnya disemadikan dalam sebuah binaan hebat bernama piramid. Mayatnya diawet dan dikekalkan ketahahannya melalui teknologi yang masih membingungkan jadi mumia. Selepas ditemui mumianya itu pernah dibawa ke Paris untuk dikaji kemudian dibawa ke muzium untuk dilawati, dan dikagumi sepanjang zaman. Dia diberi sambutan hebat mengalahkan raja-raja di dunia; nama yang cukup gah meskipun sudah mati beribu tahun lama. Tujuannya dibiarkan begitu agar diambil peringatan sebagaimana Allah telah mengekalkan badan dan jasadnya seperti disebut dalam surah Yunus-92;

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ

Maksudnya;
"Maka pada hari ini kami selamatkan jasadmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan kami."

Langit tidak selalunya cerah. Kebangkitan rakyat menentang fir'aun moden, Hosni Mubarak telah menyebabkan rakyat berkumpul di Medan Tahrir, di mana bersebelahan dengannya ialah muzium yang menempatkan pelbagai artifak dan mumia fir'aun. Kekecewaan rakyat dan penderitaan yang sekian lama dipendam telah membuak menyebabkan mereka memecah masuk ke dalam muzium dan memecahkan beberapa mumia fir'aun yang dianggap bersejarah itu.

Sejarah yang dibenci...

Setelah fir'aun moden di Tunisia melarikan diri, kebangkitan rakyat bagaikan domino, kini melanda Mesir pula. Sejauh mana Hosni Mubarak akan dapat bertahan sebagaimana gahnya mereka-mereka yang zalim? Dia menindas rakyatnya sendiri dengan menggunakan pelbagai tipu-helah untuk mengekalkan kuasa. Dia menggunakan tentera dan polis untuk membantai rakyatnya sendiri - termasuk ribuan anggota Ikhwanul-muslimin yang dipenjarakan. Kalau fir'aun ada orang yang menyediakan muzium untuk dilawati apakah ada muzium untuk orang seperti Hosni Mubarak? Di hujung usia dan di hujung senja kekuasaannya, dia amat dibenci oleh rakyatnya sendiri.

Perbanyakkanlah doa Nabi Musa ini semoga fir'aun dan mereka yang sewaktu dengannya akan dapat melihat azab sejak di dunia ini lagi.

وَقَالَ مُوسَى رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَنْ سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَى أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّى يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Maksudnya;
"Musa berkata: Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, Ya Tuhan kami - akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat siksaan yang pedih."


** Tuntutan Pembangkang di Mesir;

i)  Perletakan jawatan oleh Hosni Mubarak;

ii)  Membubarkan parlimen;

iii)  Membatalkan undang-undang darurat;

iv)  Meminda perlembagaan; dan

v)  Perbicaraan yang adil dan telus.

Nota: 
Contoh ini juga dapat dilihat sekeliling kita; kalangan pemimpin negara yang berlaku zalim; kalangan 'orang kaya' yang angkuh dan sombong - mendera pekerja tanpa surat lantikan, kebajikan sakit-demam dan diperhambakan sekehendak hati jua. Dengan rezeki yang Allah swt limpahkan, mereka berbangga dan menyombong diri. Ini pun fir'aun juga - fir'aun moden.

Adaptasi dari; http://ustsaifulbahri.blogspot.com/
0 Responses