Elias Hj Idris

Pengantin yang tidak menjaga auratnya!
10


KAWAN-kawannya yang datang bertandang masih ramai yang belum puang. Seorang demi seorang mereka memeluk dan mencium pipi sebelum itu. Mereka paling girang dengan saat yang berbahagia itu.

“Tahniah, Nita pada hari yang berbahagia ni,” Nurul Asyira yang pertama sekali menyuarakan kata hatinya. “Ketepikan mana-mana yang kau rasa tak selesa... usah dok ingat.”

Nur Anita menjeling. Kenapa begitu ucapan dan nasihatnya pula?

Congrate, Nita. Kau dah lepas, tapi err... kami ni belum tau lagi,” sahut Sarah pula.

“Yeah... aku pun gitu. Semoga kau berbahagia,” jelas Sharmaine sambil memeluk temannya itu.

Cuma dia tertanya-tanya kenapa Kak Watie yang berjanji akan hadir di majlis itu masih tidak nampak bayangnya?
Selepas upacara bersanding dan makan pengantin, sementara berehat di anjung Nur Anita diberikan tugas pula. Dia berdebar-debar lagi apabila disuruh membawa Kamarul Izzat untuk diperkenalkan kepada seluruh ahli keluarga yang ada. Dia menurut dan sambil tersenyum simpul seorang demi seorang Nur Anita perkenalkan kesemua anggota keluarga yang ada. Dia membawa Kamarul Izzat ke ruang tengah hingga terus ke dapur. Dalam masa yang sama dia masih mencari ibunya....

Di ceruk dapaur sana Nur Anita memperkenalkan suaminya itu kepada Mak Lang yang tidak pernah berkisah untuk melawa. Dia sedang menyiapkan hidangan kuih-muih di dapur. Sementara Leita pula ditemui ketika sedang duduk di balik pintu bilik tengah dengan muncung seperti cencorot. Macam budak-budak, detik hatinya. Sementara itu Maheran dan Kak Bedah duduk berbual-bual dalam bilik tersebut. Mereka sedang berbaring di tepi katil.

Semua mata mengiringi mereka sambil berbisik sesama sendiri. Semua anggota keluarga berhimpun ramai riuh-rendah dan berbual mesra. Mereka turut diusik juga.

“Lepas ni kena bawa abang tu ke rumah ‘nda pula, Nita!” kata Mak Uda yang tinggal di Jugra.

“Boleh aii... apa salahnya,” sahutnya sebaik bersalam dan berpeluk kemudiannya.

Kamarul Izzat tunduk sambil bersalam dengan ahli keluarga lain yang duduk di luar bilik tengah itu. Dalam pada itu Nur Anita sendiri pun tidak pasti bilakah masanya untuk mereka berdua ke sana? Namun akan dicuba juga buat memenuhi hajatnya. Lagipun jika sampai ke Jugra bererti dia akan terpaksa ke Bandar juga. Ada ramai lagi saudara-mara sebelah ayahnya di sana.

“Kena balik awal ni. Tugas dah selesai... pengantin pun dah tak suka kita dok ganggu deme...,” Pak Uda pula bersuara. Mengusik. "Ari dah nak berlabuh... senja mendatang."

Nur Anita menjeling sambil tersenyum.

“Hahh... malam ni jenuh la berhujan ye!” Pak Ngah pula mencelah. “Ujan tak berpokok....”

Nur Anita kehairanan. Tidak faham. Sedangkan hari nampak terang benderang. Awan di langit pun jarang-jarang, tetapi Pak Ngah kata jenuh berhujan. Hujan tidak berpokok.... Pasti ia bahasa kiasan mereka yang telah lama makan garam dalam hidup berumahtangga.

“Jenuh le nak nyambut lembing alang kan pulang ke dayang,” Pak Uda pula menambah lagi. “Dayang di muka pintu dok kirai rambutnya tersenyum riang....”

Nur Anita seakan-akan faham akan maksudnya. Terasa benar betapa tebalnya wajahnya menahan malu. Namun apa yang dapat dilakukan, selain daripada tersengih. Dia menjeling Kamarul Izzat yang masih asyik tersengih sambil tunduk bersalam.

Masing-masing jelas gembira dengan penyatuan mereka. Itulah suara-suara nakal mereka yang telah sekian lama terlebih dahulu merasai nikmat berumahtangga.

Setelah segala-galanya selesai mereka pun duduk sebentar di ruang tamu. Ada upacara beramah-tamah pula di kalangan keluarga terdekat. Pak Lang, Pak Ngah begitu juga dengan Mak Teh, Mak Cik dan Mak Su turut tidak ketinggalan. Ia diselangi oleh suara mengusik lagi. Semuanya cenderung kepada peristiwa yang paling ditunggu-tunggu, iaitu peristiwa indah di malam pengantin.

Kemudian, Nur Anita memberi isyarat bermohon diri untuk masuk ke dalam bilik. Terasa benar penat dan lesunya badan. Dengan pakaian pengantin yang tebal, dia rasa berbahang. Jadi Nur Anita mengambil kesempatan untuk melepaskan lelah dengan berbaring.

"Halau dulu sesiapa yang ada dalam bilik tu," kedengaran suara memberikan arahan.

Kawan-kawannya sudah ada di luar berbual-bual ringan. Nurul Asyira, Sharmaine dan Sarah pun akan pulang selepas itu. Mereka berkemas barang-barang yang dibawa majlis khatam dan seri pengantin sebelumnya.

Akhirnya, Nur Anita tertidur dek keletihan. Sebenarnya, itu baru permulaan. Dia harus tidur kerana pada malamnya nanti akan ada banyak lagi upacara, termasuk majlis makan malam. Ramai lagi kenalan dan para jemputan bukan Melayu yang akan datang. Ada lagi orang-orang kenamaan yang akan hadir di mana ada upacara bersanding dan merenjis juga.

Roy dan Jeff telah menjadi orang asing buat dirinya


MALAM itu maka bermulalah segala-galanya. Nur Anita berasa cukup gementar apabila malam semakin lewat. Para tetamu dan kenalan rapat sudah semakin beransur pulang. Nurul Asyira, Sarah, Sharmaine, Rosmaniza serta yang lan-lain telah pun pulang. Ibu-ibu saudara menyuruh Nur Anita segera masuk ke bilik tidur.

“Tak baik biarkan Izzat tu sorang-sorang...,” jelas Mak Njang.

Nur Anita hanya tersengih. Sebenarnya, dia sedang cemas. Nur Anita berasa bimbang. Takut. Badannya menggeletar seram-sejuk dan diselangi oleh bermacam-macam perasaan yang datang menghimbau. Dia benar-benar pasti yang dianya bakal meninggalkan alam remajanya di tangan Kamarul Izzat pada malam itu. Lebih mendebarkan lagi sebab Nur Anita memang tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki sebelumnya. Lelaki biang jauh sekali. Nur Anita hanya pernah tidur bersebelahan dengan Jeff. Ada sekali... itupun lama dulu. Di waktu itu Jeff sekadar memeluk dan mencium dahinya. Itu sahaja.

Dan kini dia pun akan terpaksa merelakan segala-galanya. Nur Anita rela diterokai oleh lelaki yang telah berjaya merebutnya dari tangan orang. Yeah... best man win, kata orang.

“I luv you, honey...,” bisiknya di tepi telinga lantas membuatnya kegelian. Bulu romanya meremang dan jantungnya semakin berdebar. Mula-mulanya kencang dan ia semakin mengencang.

Apa yang menjadi idaman Kamarul Izzat selama itu turut dinikmatinya bersama dengan indah sekali. Walaupun dia takut-takut, gementar dan tidak tentu arah pada mulanya namun tidak lama kemudian Nur Anita jua yang terus tenggelam. Nur Anita tenggelam di lautan asyik; terenang-renang yang tidak tercapai ke tepian. Dia lemas, akhirnya di tangan lelaki yang luas berpengalaman dan sehebat Kamarul Izzat.

Segala yang menjadi bahan usikan suara-suara nakal di luar sana pada petangnya itu sudah mula menjadi kenyataan. Malah tidak dapat dibayangkan langsung erotik melulut yang bersarang di segenap penjuru lubuk jiwa. Apatah lagi untuk dicoretkan. Tiga kali diharungi, namun ia masih belum cukup dirasakan. Nur Anita masih mendambakan banyak lagi sehingga dia terlena kelesuan. Terkapai di pantai lautan nan luas dan buas.

Rupa-rupanya, itulah permulaan buat segala-galanya dalam hidup itu. Persepsinya telah mula berubah. Begitu rupanya, apabila hubungan asyik itu dilakukan selepas bernikah. Ia jauh berbeza daripada kebanyakan mereka yang dikenalinya. Kalangan teman-teman yang telah mengalami hubungan perasaan nan asyik itu sejak belum mereka disatukan. Hasilnya, selain daripada dosa yang menimbun mereka melalui malam pengantin yang tawar dan hambar. Banyaknya, kepincangan dalam kehidupan berumahtangga atau perceraian yang menunggu di ambang pintu.

Itulah kesannya apabila Nur Anita berjaya mengelak daripada pujuk rayu dan kecek Kamarul Izzat sebelumnya. Segala bujukan hatinya agar dapat menyayangi Kamarul Izzat selama itu telah dapat ditunaikan pada malam itu. Dan akhirnya, Nur Anita sudah terlupakan Roy atau Jeff. Secara tiba-tiba sahaja mereka itu sudah menjadi orang asing di sudut hatinya.

Pada waktu subuh, apabila tersedar jaga Kamarul Izzat mengulangi keindahan yang telah mereka lalui sebelumnya. Mereka bersama-sama melayari bahtera laju hingga jauh ke tengah samudera. Mereka berdayung dan akhirnya terhempas jua di pantai kenikmatan yang tiada taranya. Mereka sama-sama terkapai. Dia selop dibuatnya - seselop gadis 'pelacur' kelas atasan itu.

Cuma dia berasa agak hairan. Lagak Kamarul Izzat seakan-akan orang yang telah cukup biasa.... Anduhnya menjadi belaka. Dengan bijak laksana hutan dara itu diteroka, dibajak dan bijak sekali cara dia melagangnya. Nur Anita tertanya-tanya jua.

Dua kali Izzat mengulanginya di pagi itu. Pada masa yang sama persepsi Nur Anita terhadap lelaki itu telah berubah sama sekali. Dia sudah mulai tidak meragui kasih sayangnya. Nur Anita sudah tidak pedulikan sesiapa jua yang pernah hadir dalam kehidupan Kamarul Izzat sebelumnya. Sebaliknya, dia cuba untuk mula tanamkan dalam hati dan kuat percaya bahawa Kamarul Izzat adalah satu-satunya lelaki buat pelindung dirinya.

Diserahkan seluruh jiwa dan raganya. Kemudian dibiarkan dirinya diratah semahu-mahunya. Dan di awal pagi itu Nur Anita berasa begitu yakin dan ceria sekali untuk menghadapi hari muka. Dia sudah tidak berasa ragu dan bimbang. Malah ketika Kamarul Izzat pergi mandi, dia hanya mampu menitiskan air mata. Dia rasa berdosa kerana sebelumnya menaruh rasa sangsi dan diselimuti oleh kecurigaan yang kemas membalut terhadap lelaki itu.

Akhirnya, Nur Anita sematkan kemas di hatinya dan berjanji bahawa dia tidak akan begitu lagi. Dia berazam untuk mencurahkan segala-galanya buat Izzat, suaminya yang seorang itu!

Inikah yang didambakan oleh seorang wanita?


MEREKA keluar untuk bersarapan ketika jam sudah pun menunjukkan pukul 10.00 pagi. Kaum keluarga sudah ramai menunggu untuk menemani makan pengantin. Sebenarnya mereka telah pun makan terlebih dahulu. Masing-masing sekadar bersiap-siap untuk meraikan pengantin bersarapan pagi. Pak Lang, Pak Ngah, Mak Teh, Mak Cik dan Mak Su serta jiran tetangga sudah lama datang bertandang. Sejak pagi lagi mereka sudah ada di situ. Mereka bergembira dan bergelak ketawa sesama sendiri. Masing-masing nampak teruja sekali melihat kemunculan pengantin dua sejoli.

Sesekali jelingan mata nakal mereka singgah pada rambut Nur Anita yang masih belum cukup keringnya. Sekali lagi kedua-dua pengantin tidak lepas daripada diusik kerana bangun lewat. Terasa juga Nur Anita akan dosa dan malu kerana meninggalkan solat subuh pada pagi itu. Namun dia hanya mampu untuk tersipu-sipu. Malunya usahlah dikira.

Namun di sebalik usikan itu dia rasa cukup berbangga.

Dia berbangga kerana menjadi seorang isteri. Dia bangga kerana Kamarul Izzat telah memberinya keyakinan dan cahaya untuk mengharungi dunia rumahtangga, sesuatu yang begitu asing buat diri sebelumnya.
0 Responses