Elias Hj Idris
Kita telah membicarakan marhalah pertama dalam menempuh tingkat-tingkat perkembangan tasauf.

ii) Empat Tingkat Perkembangan Tasauf

Ia bahagian ibadat, bahagian limpahan dan bahagian mahabbah. Ia adalah syarat utama buat seseorang masuk dan mula merasainya. Ada 2 syarat - mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap al-Quran dan sunah Nabi saw. Kedua-duanya itulah yang dinamakan tariqat atau jalan tasauf yang mesti ditempuh oeh setiap pencinta dan penggemarnya.

(Nota:  Sebenarnya, tingkat-tingkat perkembangan tasauf ini telah dibincangkan dalam 'Beza Nafsu Orang Awam & Wali' sebelum ini; yang meliputi nafsu ammarah, lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiah, mardhiah dan nafsu insan kamil (ada 7 maqam di mana dua yang terawal itu adalah golongan yang tidakkan mencium bau syurga). Hanya dari tingkat nafsu mulhamah sahaja baru seseorang itu sampai ke tingkat penyucian jiwa yang cemar.

Perbincangan di bawah idea yang sama ini adalah untuk membolehkan kita menilai sudut pandangan yang berlainan oleh tuk guru yang juga lain).

Kedua-dua tingkat pengetahuan yang tinggi itu mesti ditempuhi dengan 4 marhalah - perjalanan (jarak yang jauh!).

a) Marhalah amal zahir
Proses mendekatkan diri

b)  Marhalah amal batin (muraqabah diri)

Amal batin ini atau proses mendekatkan diri kepada Allah swt dengan selalu mengingatiNya sambil mendekatkan diri ini dapat dilakukan dengan menyucikan akhlak, menyucikan hati, membersihkan ruh, memerangi nafsu dan memperhatikan jalan peperangan dengan nafsu, memakai akhlak yang mulia, sambil memakai sifat-sifat yang baik dan mengikut sifat Nabi saw dalam setiap hal.

Ia adalah tugas-tugas dalam marhalah kedua yang menetapkan usaha bukan sedikit. Ia melibatkan seluruh lapangan kerja batin yang berkait dengan ruh kita.

c)  Marhalah melatih diri

Ia disebut juga dengan nama riyadhah atau mujahadah, iaitu proses melatih diri dengan mendorong diri itu dengan sekuat tenaga dalam memerangi kehendak nafsu. Inilah yang disebut oleh baginda saw, "Raja'na minal jihadil-asghar ilal jihadil-akbar", iaitu kita kembali daripada perang yang kecil kepada perang yang lebih besar.

Perang besar itu adalah melatih diri dalam melaksanakan segala hasil daripada kemenangan itu, memeliharanya untuk mencapai kemenangan yang lebih tinggi. Dalam masa yang sama jangan sekali-kali melakukan kesalahan dan kerosakan dalam memelihara segala kemenangan yang telah dicapai supaya jangan timbul sebarang unsur kehancuran dari mana-mana sudut kemenangan berkenaan. Ia merosakkan.

Kemenangan dicapai di lokasi baru, tetapi kebejatan berlaku di lokasi lama yang ditinggalkan. Buat diri seseorang, ia seumpama gali lubang tutup lubang - bergelumang dengan kerja yang sia-sia.

Jihad besar bermaksud melakukan jihad lahir-batin untuk menambah kuat kekuasaan ruhani dan jasmani bagi pembebasan jiwa dari segala kekotoran duniawi. Hasilnya kelak, jiwa akan semakin suci, bersih dan mengilap sehingga mustahiqlah ia dalam mendapatkan segala pengetahuan hakiki mengenai  Allah saw dan kebesaranNya.

Biasanya, bagi mereka yang telah mencapai ke tahap ini, iaitu hakikat alam dan rahsia-rahsianya itu telah tercetak di dalam jiwanya itu sedikit demi sedikit dengan dimasuki nur Ilahi. Di waktu itu, maka bermulalah keterbukaan akan keindahan alam ini dengan pelbagai hal yang 'halus' dan rahsia.

Perasaannya akan semakin tipis, semakin siap sedia mengetahui apa sahaja yang terlintas ibarat kompas yang hidup atau radar yang mengetahui apa sahaja yang ada di sekeliling. Dia mula menikmati suatu kelazatan dan nikmat rasa yang tinggi dengan memperoleh nur taqwa di dalam jiwanya. Kemudian ia akan diikuti oleh kasyaf hati. Kemudian menyusul lagi lalu terbuka hijab sedikit demi sedikit sehingga sampai kepada ar-ridha dan cahaya yang maha tinggi.

d)  Marhalah fana' kamil

Ia mencapai ke taraf fana' habis

Ia juga memberi makna fana' habis, iaitu jiwanya telah sampai kepada martabat syuhudul haqqi bil-haqqi, iaitu melihat Yang Hak itu dengan kebenaran. Kemudian terbuka dengan terang pelbagai rahsia alam yang selama ini tersembunyi daripadanya. Kemudian terbuka pula rahsia-rahsia Rabbani lalu datanglah secara berturut-turut Nur dan kasyaf ke dalam dirinya.

Dia lalu memperoleh nikmat paling besar, iaitu kelazatan ruhaninya dalam mendekati Tuhannya. Kemudian dia akan berasa senang dan damai dalam berkhalwat mendekat ke hadrat Tuhan Yang Maha Esa.

Pun begitu marhalah keempat itu belum tamat di situ lagi. Cuma kita yang tidak terdaya untuk menukilkan dalam bentuknya - kerana ia sudah tidak bisa untuk dihuraikan melalui tulisan ataupun dengan lisan. Ia telah melewati daerah kemampuan untuk menceritakan keindahannya.

Akal manusia dan khayalnya sudah tidak dapat sampai ke sana - di mana pencinta Tuhannya akan dapat melihat Tuhan dengan mata hatinya. Di sana dia akan dapat melihat apa yang tidak pernah dilihat oleh mata; mendengar akan apa yang tidak pernah didengar serta tidak pernah terlintas oleh mana-mana hati manusia.

Namun marhalah ini penuh dengan bahaya walaupun ia paling mulia, tinggi dan suci jika tidak mendapat perlindungan dan peliharaan oleh Allah swt. Ada waktu-waktunya kita mendapati kalangan ahli tasauf yang hilang ingatan apabila tiba ke marhalah ini. Ada yang tergelincir di tengah jalan yang dilaluinya - jatuh kepada apa yang telah ditakdirkan Allah untuk dirinya.

Namun bagi sesiapa yang telah sampai ke tahap ini dan tetap berjalan di tengah-tengah jalannya maka dia akan mendapat rahmat melakukan ibadat yang tetap - mendapat musyahadah dengan Yang Maha Tinggi. Dia akan mendapat rahmat tetap tenggelam karam dalam mencintai dan dicintai oleh Allah swt. Dia mendapat ruh yang akan memeliharanya dan menjadi imam dari alam ini.

Sahl at-Tasatturi, imam besar sufi berkata, "Ada seorang yang solat di lapangan. Di waktu dia keluar dari solatnya turut serta sejumlah besar malaikat yang merupakan beberapa buah gunung besar kerana dek banyaknya mereka. Malaikat-malaikat itu bubar dari solatnya dengan disaksikan olehnya sendiri."
 

Ini adalah sebahagian daripada orang yang telah mencapai ke taraf marhalah keempat ini sehingga apabila dia solat di kawasan lapang banyak sekali para malaikat yang ikut serta. Apabila selesai mereka pun beredar dengan disaksikan sendiri oleh sang sufi itu.

Pun begitu ada lagi sufi bertaraf tinggi yang lain seperti kata Imam Besar Muhyiddin Ibnul Arabi dengan ibarat, "Ada seorang yang solat di satu lapangan. Solatnya diikuti oleh sejumlah besar malaikat yang berupakan beberapa gunung kerana dek banyaknya. Orang itu keluar meninggalkan solatnya dari tempat itu tanpa diketahui oleh seorang pun dari kalangan malaikat berkenaan kerana mereka tidak tahu ke mana dia telah pergi?"

Inilah taraf yang paling tinggi dan tidak termampu untuk dihuraikan; apabila para malaikat pun hingga menjadi tertanya-tanya! Ia boleh dikira sebagai marhalah kelima dek kerana terlalu tinggi darjat yang Allah swt kurniakan. Sekadar itu sahaja yang dapat diungkapkan bagi perjalanan seseorang yang ingin mencapai ke taraf sufi - dengan melalui empat marhalah atau perjalanan.

Ini adalah tingkat-tingkat perjalanan sang sufi selain daripada maqam-maqam yang telah dibincangkan di bawah tajuk 'Beza Nafsu Orang Awam & Wali'.
0 Responses