Elias Hj Idris
Roy bekerja di pelantar minyak


3



Menurut katanya dia sedang dalam perjalanan untuk kembali semula ke pelantar. Dia baru tiba untuk bermalam di Kuala Lumpur sebelum mengambil helikopter untuk kembali ke pelantar pada keesokan paginya.

“Err... boleh ke kita jumpa?”

Nur Anita terdiam. Dia nampak serba salah.

“I boleh datang ambil you kat sana,” jelas Roy dengan bersungguh-sungguh. “I datang dengan teksi.”

“Jangan ! Jangan...,” Nur Anita melarang.

Kak Bedah yang sedang berkemas di tepi dapur terperasan. Dia memasang telinga sambil memberi signal kepada Abang Leman yang sedang mencuci aquarium di tepi laluan ke ruang tamu.

“Kenapa?”

“Tak ngapa. Err... tunggu sahaja kat depan pintu masuk ke Pasar Budaya tu.”

“Pukul berapa? I cadang nak ajak you pergi makan ni.”

“Takpe... sekitar jam 5.00 petang. Kita jumpa kat sana.”

Sambil itu banyak juga perkara menarik untuk dilihatnya di Pasar Budaya nanti. Bekas pasar besar Kuala Lumpur itu masih mengekalkan identitinya sejak dibuka tiga puluh tahun yang lalu oleh kerabat diraja Negeri Sembilan. Kini ia telahpun dijual. Namun ia masih menjadi tempat penggemar barangan cenderamata, barangan antik dan masih menjadi tempat tumpuan para pelukis potret serta kaki lepak juga.

Di sana nanti Nur Anita bercadang mahu mengajak Roy makan di tingkat bahagian atas. Tempatnya lebih tersorok. Bimbang juga kalau-kalau ada nanti dia dilihat oleh sesiapa yang kenal dengan keluarganya atau yang kenal dengan kawan-kawan Kamarul Izzat. Maklum sahajalah dia sudah bukan Nur Anita yang dahulu lagi. Dia sudah pun memiliki status baru - menjadi tunangan orang.
Adalah tidak manis buat seorang tunang pergi berpacaran dengan seorang lelaki lain, bekas buah hati lamanya pula. Selain daripada akhlak, ia jelas bertentangan dengan budaya dan agama juga. Dia sepatutnya berusaha keras membina acuan kasih sayang yang tuntas terhadap lelaki yang telah diterima untuk menjadi nakhoda dalam hidup masa depannya.

Kini, dia sedang berlagak bagaikan seorang isteri yang cuba berlaku curang! Jika pergi menemui tunangan sendirian pun dilarang oleh agama, inikan pula pergi menemui seseorang yang sahih tidak mempunyai apa-apa hubungan yang sah dari segi syara’. Namun itulah yang dilakukannya.

Nur Anita hanya mengambil teksi selepas ayah menghantarnya ke stesen bas di Klang. Abang Leman mengelak sebab dia tahu adiknya itu hendak pergi menemui Roy, seorang kawan lama dari Ipoh. Dalih Abang Leman untuk tidak menghantar Nur Anita ke stesen itupun sudah memakan masa. Akhirnya, Pak Bandar terpaksa memandu kereta menuju ke bandar ikut jalan tepi sungai buat menghantar anaknya itu.

Nur Anita agak lewat kerana semasa tiba di situ pun jam sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Dia ternampak dari jauh Roy yang begitu sabar menunggu. Dilihat temannya itu duduk di atas batu berdekatan dengan kawasan tempat letak kereta. Roy membelakangkan jalan besar tempat teksi yang banyak berhenti. Matanya meliar, tentu sedang tercari-carikan kelibat Nur Anita yang terlewat sampai.

Apabila hampir, Nur Anita tidak terus menegur. Dia berdiam diri buat beberapa ketika di sisi Roy, tetapi agak terkebelakang membuatkan jejaka itu tidak pula terperasan. Dia memerhatikan sahaja gelagat temannya; masih tenang dan sabar sekali. Dalam keadaan begitu Roy tidak pun mengeluh.

Sebaliknya, Nur Anita pula yang berasa amat bersalah. Beberapa kali pula Roy mengesat peluh dan mengibas-ngibas baju biru denimnya yang tebal itu.

Pastinya ini bukan Roy

“Haii!” Nur Anita menyapa.

“Heiiii!” teriak Roy terus bangun sambil menoleh. Dia seakan-akan terperanjat. Dia terpegun memerhatikan Nur Anita sambil merenungnya dari atas hingga ke bawah. Dia seakan-akan tidak percaya apabila melihat Nur Anita yang telah banyak berubah.

“Eh, tak sangka. Tak sangka....”

Roy menggeleng.

“Err... apa yang tak sangkanya? Biasa saja.”

“You’re so beautiful, honey!”

Nur Anita bungkam. Hatinya segera terusik. “Jangan la cakap macam tu....”

“Yeah... really. You’re so beautiful.”

Nur Anita hanya mampu tunduk. Sambil dia tersipu-sipu. Hatinya terusik apabila dipuji sampai begitu sekali. Pujian yang amat didambakan oleh seseorang yang bernama wanita.

Selepas berbual-bual seketika, Roy mengajaknya ke MacD di bangunan Dayabumi - yang terletak di seberang sana sungai. Nur Anita menolak pada mulanya tidak mahu makan di tempat seperti itu. Bising, katanya. Namun dia beralah jua lalu menurut dan mereka menyeberangi jambatan yang merentangi Sungai Klang itu menuju ke tempat yang dimaksudkan.

Selepas memesan burger ikan dan air tebu untuk dua orang mereka memilih tempat duduk di belakang sekali, agak ke ceruk sedikit. Tempatnya agak terlindung dari perhatian orang.

Mereka berbual-bual. Roy yang paling banyak bercerita tentang tempat kerjanya. Dia bercerita bahawa dia telah pandai memasak. Dia belajar memasak daripada tukang masak yang disediakan.

“Err... balik kali ni dapat juga belajar memasak dengan mak,” jelasnya dengan manja. “Belajar masak gulai ikan jenahak.”

“Err... mak cik, apa khabar?” terpacul dari mulut Nur Anita.

“Mmm... dia sihat-sihat saja,” sahut Roy sambil merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ia satu soalan yang hambar berbanding dengan soalan-soalan kebiasaannya apabila mereka bertemu. Nur Anita selalunya riang sekali dan begitu ghairah bertanya tentang ibu dan anggota keluarganya di Ipoh.

“Kenapa you renung I camtu?” Nur Anita mencebik.

“Errmm... takde apa-apa!” Roy mengelak.

“Errmm....”

“Kenapa?” Nur Anita seakan dapat menelah apa yang bersarang di lubuk hati temannya itu. Direnung ketul burger di tangan Roy yang baru sedikit ditobeknya.

“Takde apa-apa?”

Nur Anita nampak Roy tunduk. Apabila disebut tentang keluarga mungkin dia teringatkan ayahnya. Pak Cik Duni sudah tiada. Dia terbunuh ketika runtuhan bangunan kondominium di Hulu Klang hampir dua puluh tahun yang lalu. Orang tua itu benar-benar teraniaya apabila pergi di situ untuk menjemput seorang kenalan. Keretanya telah dihempap oleh bangunan yang tumbang secara tiba-tiba sewaktu tengahari rembang.

Ia tumbang ketika azan sedang berkumandang jam 1.10 tengahari.

Itu sebab ada seorang pengasuh yang didapati selamat memegang al-Quran bersama dengan seorang anak kecil. Sementara ibu-bapa kanak-kanak itu terkorban beserta dengan empat puluh sembilan orang yang lain. Anak dan menantu bekas Timbalan Perdana Menteri yang beristerikan orang Brazil itu juga turut terkorban.

Untung pada petang itu satu mesyuarat kabinet hendak diadakan pada jam 2.00 petang di Jabatan Perdana Menteri. Jika tidak, pasti ada dua orang menteri dan seorang timbalan menteri akan turut menjadi korban.

Sudah bukan rahsia lagi apabila masing-masing ada menyimpan mata airnya di situ. Bangunan yang terkenal sebagai tempat pelarian bagi orang-orang besar itu biasa menyimpan terlalu banyak rahsia. Apabila tumbang, ia turut menyimpan segala rahsia berkenaan. Maka kesemua matair itu pun turut tertanam sama di bawah runtuhannya. Selepas sembilan hari runtuhan berlaku baru gerakan menyelamat dilakukan secara sungguh-sungguh apabila bantuan tiba dari Jepun dan Perancis.

Kejadian runtuhan itu merupakan satu peristiwa yang cukup memilukan buat negara. Ia bagaikan satu episod yang bertujuan untuk menyembunyikan sesuatu di bawah runtuhan itu. Tentunya skandal dan kes maksiat orang-orang tertentu. Dengan melambat-lambatkan bantuan adalah dipercayai dengan tujuan biar sekelian mangsa yang terperangkap itu mati dahulu. Mereka mati bukan kerana kecederaan, tetapi kerana tidak makan untuk satu tempoh yang lama.

Aneh sekali bagaimana bangunan setinggi empat belas tingkat yang terletak di cerun bukit itu tiba-tiba sahaja tumbang walaupun tiada ribut ataupun hujan yang turun. Cuaca waktu itu terang benderang. Hasilnya, seluruh negara terpegun dan dikejutkan oleh peristiwa yang tidak diduga.
Ia telah menimbulkan begitu banyak persoalan dan cerita misteri di sebaliknya. Ada sebuah kereta warna biru muda yang sedang diangkat oleh kren seperti yang tersiar dalam berita utama tv itu turut menyimpan ceritanya. Ia adalah milik seorang perempuan simpanan kepada seseorang yang amat dikenali. Nur Anita tahu siapakah gerangannya?

Itu kisah dua puluh tahun yang lalu, ketika mereka masih belum tahu apa-apa tentang kehidupan ini. Kini Roy telahpun berusia dua puluh lima tahun, dua tahun lebih tua daripada Nur Anita.

Sambil berbual-bual, tiba-tiba Roy meletakkan ketul burger di tangannya lalu cuba mencapai tangan Nur Anita. Tetapi, gadis itu segera mengelak sambil merenung tajam. Roy tersentak lalu menarik tangannya kembali dan terdiam. Kemudian dia tersenyum, tetapi hambar dan tawar.

Siapa yang rasa bersalah, sedangkan sebaliknya, Nur Anita pula yang tidak berani untuk menentang renungan bekas teman sekolahnya itu. Dia pula yang terkelu untuk membalas senyuman tawar dek muka yang serasa tebal dan gabai itu.

Roy berasa aneh dan seakan tertanya-tanya, sedangkan selalunya Nur Anita tidak begitu. Adakah ia kesan daripada ceramah-ceramah agama yang tersiar di tv? Dia juga pernah mendengar radio tentang perihal aurat dan sentuhan kulit lelaki-wanita. Dan pada masa yang sama Roy juga seolah-olah sedang terciumkan sesuatu berkait dengan sikap yang begitu asing buat bekas teman sekolahnya itu.

“Okey... okey, I minta maaf.” Roy mengalah.

Nur Anita sekadar menggeleng. Dia menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan. Dia menjeling lelaki yang berada di hadapannya, kemudian menggeleng.

Roy mengajak Nur Anita pergi menonton wayang, tetapi gadis itu menolaknya juga. Dia memberi alasan dengan mengatakan yang ayah menyuruhnya pulang awal. Namun tanpa banyak helah, Roy menurut sahaja.

“Okey... no problem,” jelasnya sambil mengangkat bahu.

“Roy... I'm sorry!” jelas Nur Anita pendek. Perlahan sahaja suaranya tanpa berani menentang renungan mata temannya itu.

Selepas duduk seketika di bawah pokok tepi sungai itu Roy menghantar Nur Anita ke stesen teksi. Dia menyewakan sebuah teksi untuk Nur Anita terus sahaja pulang ke rumah.

Di hujung telinganya kedengaran Roy menyebut perkataan yang selalu didambakannya sebelum itu; “I miss you...” ketika Nur Anita baru hendak melangkah masuk ke dalam teksi tersebut. Dia hanya tersenyum sambil melambainya sehingga hilang dari pandangan.

Di sepanjang perjalanan itu hatinya asyik membuai dan sering sahaja berkecamuk. Dia tunduk sambil menumbuk-numbuk dahinya perlahan. Dia menggeleng beberapa kali. Gundah. Sesal. Hiba. Sayu. Kesemuanya datang menerjah bertalu-talu. Dan sekejapan kemudian air matanya pun berlinangan.

Dia membiarkan sahaja lelehan air jernih yang suam-suam terasa itu membelah pipi yang putih kemerahan itu lalu menitis di atas ribaannya. Dia mula menahan sebak yang membuku di dalam dada. Ada serupa jeritan yang membekam di dalamnya. Seluruh anggota badan menggigil apabila sekuat hati dicuba untuk mengawal perasaan yang sedang membuak.

Oh Tuhanku, bisiknya perlahan. Sekuat manalah jiwa yang kerdil ini buat menghadapi kemelut yang bersarang, rengeknya tanpa menghiraukan pakcik drebar yang sesekali melihatnya melalui cermin pandang belakang.



SEJAK tiba di rumah lagi, keadaan seperti tidak menyebelahinya. Dilihat muka Abang Leman masam. Kak Bedah pun sekadar menegur ambil ada sahaja. Kemudian ia menjadi lebih tidak kena apabila malam menjelang. Nur Anita jadi serba salah.

Sebaik mula duduk di meja makan lagi Kak Bedah, Abang Leman dan ibu asyik menjeling kepadanya silih berganti. Mereka tidak bersuara, tetapi menjamu selera dengan lamunan masing-masing. Cuma Pak Bandar sahaja yang tidak ambil hirau. Malam itu Kak Bedah masak lemak pisang muda dengan ikan duri kering. Ada ikan haruan bakar cicah air asam, kegemaran Nur Anita.

Namun dia tidak berselera.

“Nape... tak lalu makan ke?” Abang Leman menegur.

Nur Anita tersentak apabila mendengar teguran itu. Bagaikan halilintar yang membelah bumi; seakan-akan ada sesuatu yang ingin disampaikan. Dia tidak berani menjeling walaupun hanya dengan ekor matanya. Nur Anita cuma tunduk sambil menyuapkan nasi dengan malas - putus selera dibuatnya.

“Kamu tau tak kedudukan diri kamu tu sekarang?” Abang Leman mula bersyarah.

“Hee... makan dulu kalau nak apa-apa pun?” tegur Mak Cik Encom sambil menjeling Pak Bandar yang tidak berkata apa-apa.

“Ni... tak reti bahasa. Nak conteng arang kat muka keluarga dah ni,” Abang Leman semakin keras suaranya. Gagau nasinya pun sudah semakin rakus walaupun isinya sudah tidak sebanyak mana.

Nur Anita memang takut dengan abangnya yang seorang itu. Dia selalu kecut perut jika abang yang tengah itu mula bersuara. Garang. Dia jauh berbeza daripada abang-abangnya yang lain. Abang Fuad boleh dibawa berunding dalam apa jua perkara. Abang Din pun begitu walaupun dia adalah abang yang tua dalam keluarga. Dia jarang ambil kisah tentang hal keluarga mereka di rumah itu.

“Alaa... biarkan la. Bukan kita tak kenal dengan budak tu,” celah ibunya melembutkan. “Sejak zaman sekolah dulu lagi... kat rumah ni la dia melepak bila time cuti.”

Nur Anita berasa lega. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang membela. Cuma dia tidak pasti dengan ayah yang tetap nampak biasa. Keadaan itu tidak memberinya apa-apa kesan. Jika tidak masakan ayahnya sudi menghantarnya ke stesen teksi sebelumnya. Ayah terus juga makan dan mengambil lauknya. Memang ayah pun suka makan masak lemak buah pisang muda dengan ikan kering itu.

“Kamu pergi mana tadi?” Abang Leman mendengus. “Nak aku cakapkan pada tunang kamu?”

Aduii... sporting la sikit, abang oii! dia seakan menjerit di dalam. Abang Leman menjeling tajam.

“Pergi mana?” desaknya lagi.

“Kami pergi makan kat Dayabumi,” sahutnya perlahan.

“Pastu?”

“Tak ke mana-mana? Duduk kat benteng di tepi sungai tu, sembang-sembang.”

Kali pertama dia terpaksa menjawab bagaikan soalan yang datangdaripada pegawai penyiasat polis dalam kes rompakan sahaja layaknya.

Cuma itulah untungnya mereka dalam keluarga. Setiap jawapan mudah diterima dengan bersangka baik. Mereka memang diajar untuk tidak sekali-kali bercakap bohong. Jadi, Abang Leman menerima penjelasan itu dan suaranya semakin mengendur.

‘’Kamu dah jadi tunang orang... dah tak boleh keluar dengan orang lain lagi,” jelas Abang Leman sambil duduk tegak. Dia merenung tepat kepada Nur Anita yang duduk bertentangan. “Mana nak taruh air muka kita kalau orang tau semua ni?”

Dan seperti selalu Nur Anita tidak akan menjawab untuk mempertahankan diri walaupun jika dia berasakan yang dirinya itu berada di pihak yang benar sekalipun. Baginya, abang adalah abang. Segala katanya adalah perintah, buat pengganti ayah.

Cuma dia agak lucu, kisah abangnya yang termengandungkan anak India dekat kedai di belakang rumah itu bukankah perbuatan yang menconteng arang ke muka keluarga? Di mana nak ditaruh air muka keluarga?
0 Responses