Elias Hj Idris
Jika manusia sedia memerhati dan berfikir, dia akan dapat menyingkap betapa godaan jin dan iblis serta melihat segala hasutan yang cuba dibisikkan. Dan manusia akan terfikir betapa pelik sikap dan perangai makhluk Allah yang dilaknatkan itu.

Lantaran di dalam hidup ini, seseorang itu pasti telah mengalami satu tempoh keraguan yang merosakkan. Dari lubuk hatinya terkeluar persoalan tentang hidup-mati, pahala dan dosa, syurga dan neraka malah tentang tujuan penciptaan manusia dan sebab-sebabnya.

Dia akan terfikir tentang permulaannya dan pengakhiran yang bakal dilalui. Di sana dia akan terjebak ke dalam satu pertentangan yang kuat dengan apa yang pernah didengar atau yang diijtihadkan mengenai dorongan-dorongan iman, bukti-bukti pentauhidan Tuhan dan sebab-sebab penciptaan-Nya.

Memahami keindahan ciptaan Ilahi

Seseorang itu mungkin pernah mengalami satu tempoh keraguan dan kesangsian yang lama sehingga kehidupannya menjadi kusut-masai. Sebenarnya keraguan itu adalah godaan syaitan dan bisikan jin terhadapnya. Kemudian sebaik sahaja fikirannya kembali tenang dan siuman serta sedia memerhatikan keadaan sekeliling, akal dan ilmunya secara fitrah akan dapat menentang kekufuran serta menolak keraguan itu.

Maka syaitan itu akan menggodanya secara bersungguh-sunguh pula sehingga menakutkan; Di manakah Allah? Bagaimana kamu boleh mempercayai sesuatu yang kamu tidak dapat singkap dan melihat? Mengapa Allah boleh terlindung? Mengapa ada orang yang dilahirkan kaya dan bernasib baik?

Kekayaannya semakin melimpah-ruah, sedangkan kamu menjalani hidup miskin papa-kedana, dan begitu memerlukan pertolongan! Kenapa seorang pemuda boleh mati, sedangkan dia baru sahaja dapat membantu dan membela kedua-dua orang tuanya yang hidup melarat? Kenapa dan mengapa?

Sekiranya seseorang itu terus bermain dengan lamunan-lamunan syaitan itu, bahana keraguan itu akan semakin menebal. Keadaannya akan menjadi semakin buruk dan bahayanya tambah menebal. Dia hanya akan selamat jika dicubanya selidik dan meminta bantuan daripada mereka tentang pengalaman-pengalaman lalu, nescaya dia akan menemui bukti-bukti kewujudan Allah swt secara paling jelas melalui keadaan sekeliling yang dapat diperhatikan.

Setiap hari matahari terbit tepat pada waktunya dan beredar mengikut laluan yang telah ditetapkan. Kemudian, tenggelamnya juga tepat pada waktunya juga - di tempat yang sama. Bulan pun begitu apabila muncul dengan bentuk tertentu. Ia jadi semakin besar dengan seimbang dan akhirnya menjadi bulan purnama. Kemudian ia mengecil kembali sedikit demi sedikit pada kadarnya juga kembali menjadi bulan sabit... dan kemudiannya terus menghilang.

Peredaran matahari pula tidak pernah lambat sehari pun. Sementara bulan tidak pun pernah mengubah peredarannya walaupun sekali. Bukankah itu semua dapat diperhatikan dengan mata kepala sendiri? Bumi yang terapung-apung di angkasa sambil berputar itu pula tidak jatuh ke mana-mana? Ia tidak terumbang-ambing tanpa ditopang oleh sesuatu apa pun? Pusingannya teratur, peredarannya sungguh rapi dan hakikat mengenainya teramat aneh.

Bintang yang berkelipan tetap berada di tempatnya sejak zaman berzaman. Bilangannya tidak terkira banyaknya. Bentuknya besar dan mempunyai kecepatan tanpa pernah berlaga sebiji pun walaupun terletak hampir antara satu sama lain.

Undang-undang manakah yang mengaturkannya? Hukum-hakam apakah yang menguasainya? Siapakah yang mencipta undang-undang dan hukum peraturan itu? Kuasa apakah yang bisa menundukkan seluruh kejadian alam?

Malah manusia itupun siapakah yang menciptanya? Andainya manusia tidak terdaya mencipta yang lain, siapakah yang memeliharanya sewaktu berada dalam kandungan ibu yang tidak punya air dan udara; tanpa cahaya matahari dan makanan, tetapi segala-galanya cukup bekalan yang menggantikan bahan-bahan tersebut.

Kanak-kanak lahir dengan suatu kuasa dan hikmat yang luar biasa. Dari si ibu mengalir pula susu yang sesuai untuk bayi; kuantiti dan kepadatan kandungan susu itu berubah mengikut tumbesaran bayi berkenaan agar selari dengan pertumbuhannya.

Apabila bayi itu mati, susu itu boleh terhenti dengan tiba-tiba. Dan apabila si bayi itu mula bergantung kepada makanan, makan aliran susu itu tehenti dengan sendirinya. Siapakah yang mengalirkan susu itu? Siapakah yang menentukan kepadatan kandungan, jumlah aliran dan pemberhentiannya apabila ia tidak diperlukan?

Pada batang tubuh manusia itu; penglihatan, pendengaran, ciuman dan rasa, tidur-jaganya, gerak dan diamnya, makan dan hadamnya, tulang dan rambut, setiap sel dan otot siapakah yang menjadi dan menentukan fungsinya?

Kemudian lihat pula bumi dengan tumbuh-tumbuhannya yang berpunca daripada tanah dan air yang sama menghasilkan tumbuhan yang manis, masam dan pahit, halus dan kasar, putih dan hitam warnanya serta cantik dan hodohnya, licin dan berduri. Daripada tumbuh-tumbuhan itu juga keluar hasil sayur-sayuran, buah-buahan, biji-bijian dan berjuta jenis, rupa, bau, rasa dan warna.

Kesemuanya menjadi rezeki kepada manusia; dan siapakah yang mengeluarkan dan memerintahkannya? Siapakah yang menyediakan kesemua jenis dan rupa yang berlainan itu agar sesuai dengan kehendak dan keperluan setiap manusia?

Binatang dan burung-burung, hama mempunyai alamnya tersendiri dengan keanehan yang tidak pernah terfikirkan. Inilah bukti yang paling tepat dan memuaskan untuk meyakini kewujudan Allah swt dan qudrat-Nya akan ternyata apabila diperhati dan difikirkan tentang satu lagi kejadian; iaitu semut.

Bagaimanakah rupanya tulang si semut? Berapa benarkah dagingnya; berapa banyak pula darahnya dengan sistem saraf yang berselerak di seluruh tubuhnya. Demikian halus dan rapi sekali kejadiannya. Demikian juga dengan makhluk bernyawa lain yang sangat takut kepadanya.

Seterusnya, ada lagi makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Malah ada yang tidak dapat dilihat dengan teropong pembesar sekalipun. Ada yang dapat dirasai kesannya, tetapi tidak dapat dilihat kehadirannya. Masing-masing mempunyai alam tersendiri; dengan mengalami hidup dan mati. Kesemuanya adalah tanda dan bukti kewujudan dan keagungan Allah swt.

Demikian halnya jika difikirkan tentang hakikat kekayaan dan kemiskinan, manusia akan mendapati segala yang hidup itu dibina oleh hidup itu sendiri. Andai semua manusia menjadi kaya, siapakah pula yang akan bekerja dan membekalkan segala kemudahan penghidupan kepada manusia lain?

Siapakah yang akan bercucuk-tanam dan menuainya? Siapakah yang akan menjual dan membelinya? Siapakah pula yang akan menyediakan makanan dan menyiapkan pakaian?

Siapakah pula yang akan melayani orang-orang tua dan pesakit? Siapakah yang akan membina serta membersihkan jalan raya dan memadamkan kebakaran? Dan banyak lagi siapakah... siapakah itu! Sebaliknya, jika semua manusia miskin, siapakah pula yang akan memberikan mereka pekerjaan dan membayarkan upahnya?
Mati itu satu proses evolusi; berpindah dari satu bentuk kehidupan
kepada satu corak penghidupan yang lain

Seorang pemuda akan mati pada waktu yang ditentukan sama seperti matinya seorang kanak-kanak dan orang tua. Namun mati bukanlah satu pengakhiran di mana manusia yang mati itu akan lenyap hilang begitu sahaja. Sedangkan mati itu adalah satu proses evolusi di mana manusia itu berpindah daripada satu bentuk kehidupan kepada satu corak penghidupan yang lain.

Setiap yang berlaku ke atas seseorang itu tiada sesiapa pun yang tahu hikmahnya kecuali jika dia tahu akan rangkaian sebab-sebab yang berlaku sebelum dan sesudahnya. Ia bagi meyakinkannya bahawa apa yang berlaku itu pasti berlaku pada waktu dan ketikanya; tidak cepat dan tidak lambat sedikit pun!

Banyak sekali bukti, tanda-tanda dan hakikat yang cukup mengkagumkan. Semuanya itu terkumpul untuk memaparkan dengan jelas dan tegas tentang hakikat pertama dalam hidup ini, iaitu kewujudan Allah swt; keagungan, kebijaksanaan, qudrat dan rahmat-Nya yang tidak terhingga.

Pun begitu, dalam keadaan manusia berjaya mengatasi iblis, syaitan dan jin dalam kesemua hal ini, binatang laknat ini masih mahu mencabarnya lagi. Mereka gerakkan persoalan jika wujud satu kuasa yang agung yang mengatur dan memberi rahmat mengapa tidak segala keistimewaan itu terbahagi kepada beberapa tuhan?

Malah setiap tuhan itu pula akan mempunyai keistimewaan masing-masing dalam tugas-tugas tertentu. Dan yang mana satukah pula tuhan yang mesti diikut?

Namun segala cabaran tersebut tidak akan menimbulkan sebarang keraguan pada diri manusia yang berakal dan punya fikiran. Sewajarnya, setiap yang ada dalam wujud itu menunjukkan kepada ketauhidan, keesaan penciptaan, keesaan yang asal, keesaan wujud, sistem yang satu dengan pentadbiran yang satu.

Mungkinkah ada satu tuhan lain yang telah mendahului segala pekerjaan? Mengapa masing-masing tuhan itu tidak mengatasi yang lain mengikut keistimewaan dan kedahuluannya dalam wujud? Malah mengapa pula tidak kelihatan kesan pertikaian di antara tuhan-tuhan berkenaan?

Langit dan bumi tidak rosak. Semuanya kekal seperti keadaannya yang sediakala. Malah ia terus kekal begitu, tetap berada dalam genggaman Yang Maha Esa; yang tunggal, tidak beranak-pinak, tidak diperanakkan dan tidak ada satu pun yang setanding dengan-Nya.

Namun syaitan itu tetap tidak akan berputus harap. Malah dia akan menimbulkan keraguan yang lain pula.

Mengikut ajaran agama apakah kamu menyembah Allah? Malah apakah bukti kebenaran agama Allah? Apa pula bukti kebenaran semua agama?

Adakah tidak timbul kemungkinan para Rasul dan Nabi-nabi itu sebenarnya ahli ijtihad yang mengejar pangkat kebesaran dengan menganjurkan suatu sistem penghambaan dengan menyebarkannya atas nama Allah?

Mungkin mereka juga mengejar pangkat kebesaran dengan berkata bahawa mereka adalah orang-orang suci di sisi Allah; bercakap atas nama Allah dan memanggil-Nya, dan Allah pun menurunkan wahyu kepada mereka.

Adalah jelas bahawa para Rasul dan Nabi-nabi itu tidak pernah pun mengakui diri mereka lebih daripada hamba Allah yang lain. Mereka dan hamba-hamba yang lain sama menjalani kehidupan yang biasa. Malah ada di antara mereka yang lebih menderita. Sedangkan agama tetap menganjurkan kebaikan kepada sesama manusia. Sedangkan agama cuma menyeru untuk beribadat kepada Allah semata-mata dan mengakui sekelian Rasul dan Nabi itu adalah hamba dan Pesuruh-Nya.

Jadi dengan segala bukti yang terbentang luas di depan mata, mengapa manusia harus tergoda dan tertipu dengan bisikan-bisikan iblis, syaitan dan jin laknat yang tidak berkuasa apa-apa?
0 Responses