Elias Hj Idris
Selepas kejadian Adam a.s dan mendapat pasangannya Siti Hawa, dan mendapat penerangan Allah swt mengenai pemeliharaan dan pemberian rahmat serta larangan-larang-Nya agar mereka dapat hidup dalam syurga. Namun kebencian iblis tidak termati begitu dahaja.

Dia meminta Adam a.s melupakan sahaja kisah durhakanya ketika dengan Allah swt. Dia bersumpah akan menjadi penasihat mereka. Namun perlu diingat, sesiapa jua yang menderhaka dan kufur akan perintah Allah, sumpahnya tiada nilai tanpa iman dan kejujuran.

"Dan (kata Tuhan): Hai Adam, tinggallah engkau bersama isterimu di dalam syurga. Dan makanlah kamu berdua akan sahaja yang kamu suka, tetapi janganlah didekati pohon ini, sebab nanti kamu berdua akan termasuk orang-orang yang bersalah. Lalu syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya supaya dibukakan kemaluan keduanya yang bertutup. Dan syaitan mengatakan: Tuhan melarang engkau berdua dari pohon ini, tidak lain supaya engkau kedua jangan menjadi malaikat atau menjadi orang yang kekal. Dan bersumpah kepada keduanya: Sesungguhnya aku ini penasihat bagi kamu berdua." -  al-A'raf: 19-21.

Adam a.s terpengaruh dengan hasutan itu sehingga menimbulkan kemurkaan Allah swt. Balasannya, Allah swt menurunkan darjat mereka lalu dihalau dari syurga. Mereka diturunkan ke bumi menurut jejak langkah iblis terlaknat.

Dalam membuktikan tabiat api yang mendatangkan bahaya dan kebinasaan, iblis sedia menyesatkan seluruh anak-cucu Adam a.s sama seperti yang telah dilakukan terhadap Adam dan Hawa. Dia meminta kepada Allah swt;

"Kata iblis: kerana Engkau telah menghukum aku (tersesat), maka aku akan duduk mengganggu mereka dari jalan-Mu yang lurus. Kemudian itu aku datang kepada mereka dari hadapan dan dari belakangnya, dari kanan dan kirinya; dan tidaklah akan Engkau dapati bahawa kebanyakan mereka menjadi orang-orang yang bersyukur. Tuhan berkata: Pergilah dari tempat ini sebagai orang terhina dan terbuang. Sesiap di antara mereka yang mengikut engkau, tentulah akan Aku penuhi neraka jahannam dengan kamu semua."  -  al-A'raf: 16-18.

Maka seluruh zuriat Adam a.s itulah yang menjadi sasaran godaan iblis dan tenteranya;

"Kata iblis: Khabarkan kepadaku tentang ini (orang) yang Engkau muliakan lebih daripadaku. Demi, jika Engkau berikan tempoh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya aku musnahkan (perdayakan) anak-anak cucunya, kecuali sedikit sahaja."  -  al-Israak: 62.

Tentera iblis, syaitan dan jin tetap berusaha untuk menyesatkan manusia dari segenap penjuru. Manusia digoda supaya makan hasil daripada perbuatan yang haram serta melakukan segala keburukan seolah-olah harta dan anak-anak mereka dikongsikan bersama oleh syaitan.

Mengisi ketaqwaan terhadap Allah dengan membanyakkan amal

Lantaran kesemua hasil daripada perbuatan yang dilarang itu adalah berdosa. Namun syaitan tetap memberikan pelbagai janji yang muluk-muluk dan menarik, sedangkan pada hakikatnya ia hanya untuk mengabui mata manusia sahaja.

Godaan-godaan itupun ada pelbagai cara. Caranya ialah dengan menunjukkan jalan yang menyesatkan dengan pelbagai rupa, memberikan harapan palsu dan tunjuk-ajar yang salah seperti memotong telinga binatang ternak dan menganggapnya sebagai milik berhala yang tidak boleh digunakan oleh sesiapa pun dan tidak boleh dijual-beli.

Demikian dengan cara mengubah ciptaan Tuhan seperti melukis tatu, membedah kemaluan sehingga merobah lelaki kepada perempuan. Kesemua itu adalah dengan janji palsu, sesat lagi menyesatkan.

"Dan demi sesungguhnya, akan kusesatkan mereka dan kuperdayakan mereka dengan angan-angannya, serta kusuruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan kusuruh mereka supaya mengubah makhlkuk Allah. Barang siapa mengangkat syaitan menjadi wali selain Allah, sesungguhnya ia telah merugi dengan kerugian yang nyata."


"Syaitan menjanjikan kepada mereka (dengan umur panjang) dan menyampaikan angan-angan mereka (di atas dunia). Pada hal tiadalah janji-janji syaitan itu melainkan tipuan semata-mata."  -  an-Nisa': 119-120.

Banyak pendapat yang mengatakan jumlah jin juga berbeza. Adakah bilangan jin itu lebih banyak daripada manusia? Namun kita harus sedar bahawa setiap manusia tetap mempunyai kembar jinnya seperti yang tersebut dalam al-Quran;

"Setiap diri yang datang ke muka, masing-masing bersama (malaikat) yang menghalaunya dan (malaikat) yang menjadi saksinya."


"Sesungguhnya, engkau dalam kelalaian (masa dahulu) tentang hal ini, lalu Kami bukakan tutup daripadamu, maka pemandanganmu amat tajam pada hari ini."


"Berkata temannya (malaikat): Inilah apa yang ada di sisiku telah hadir."  -  Qaf: 21-23.

"Berkata temannya (syaitan): Ya Tuhan kami, aku tidak menyesatkan dia, tetapi dialah dalam kesesatan yang jauh."  -  Qaf: 27.

Perlu diingat juga, sesetengah teman itu adalah dari kalangan syaitan. Lihat keterangan Allah ini;

"Dan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana riya' kepada manusia, dan mereka tiada beriman kepada Allah dan tiada pula kepada hari kemudian. Barang siapa yang syaitan itu temannya, maka amat jahatlah temannya itu."  -  an-Nisa': 38.

"Barang siapa yang membuat-buat buta (melihat) peringatan Rahman (Al-Quran). Kami adakan baginya orang jahat (syaitan), lalu syaitan itu menjadi temannya."  -  az-Zukhruf: 36.

Oleh sebab syaitan itu sebahagian daripada jin, maka teman-teman yang selebihnya itu adalah jin. Hadis ada menyatakan bahawa setiap bayi yang lahir mempunyai jinnya yang tertentu. Biasanya ia dinamakan qorin.

Oleh kerana kerja jin-jin menwas-waskan manusia, jadi teman manusia itu juga akan turut menggoda melalui bisikan-bisikan yang menwas-waskan hatinya. Manusia akan cuba menentangnya dengan berjihad menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang dibisikkan.

Dalam pergelutan itu, salah satunya akan dapat mengalahkan yang lainnya. Malah Nabi saw pun apabila ditanya turut mengakui yang baginda pun ada jinnya.

"Aku pun begitu, tetapi Allah menolongku dan menundukkannya."

Godaan syaitan terhadap manusia bertujuan untuk memesongkan mereka daripada jalan yang benar.

"Tiadalah Kami utus sebelum engkau seorang rasul dan tidak pula nabi, melainkan apabila ia bercita-cita (dalam hatinya), maka syaitan menghalangi cita-citanya itu, lalu Allah menghapuskan halangan syaitan itu, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."  -  al-Hajj: 52.

Kitab-kitab Injil yang ada pada hari ini pun turut mengisahkan pelbagai godaan iblis terhhadap Nabi Isa a.s. Ketika Nabi Isa a.a. bersungguh-sungguh beribadat dan berpuasa selama empat puluh hari siang malam sehingga merasai kelaparan.

Iblis datang memintanya supaya menjadikan roti daripada kayu. Isa a.s menjawab, bukan dengan roti sahaja manusia itu hidup, tetapi dengan seluruh kalimat yang keluar dari mulut Tuhan. Kemudian iblis membawanya ke Kota Suci dan mengajaknya ke kemuncak berhala Sulaiman. Dia memujuk agar mencampakkan dirinya ke bawah tanpa ditimpa apa-apa bencana, konon malaikat akan melindunginya daripada terhempas ke batu. Namun Nabi Isa a.s. menolak hasutan itu kerana tidak mahu menguji kehendak dan kemahuan Allah swt.

Perilaku tersebut benar-benar tidak menyenangkan hati iblis. Dicuba lagi memperdayakan Isa a.s, dengan mengajaknya ke sebuah gunung yang amat tinggi untuk menunjukkan semua kerajaan yang ada di muka bumi. Di sana dia menerangkan tentang keindahannya.

Iblis menggoda dengan mengatakan bahawa negeri-negeri dan bumi itu adalah miliknya dan akan dikurniakan semua andai Isa a.s. sedia sujud kepadanya.

Inilah contoh godaan iblis yang paling bahaya buat manusia kerana dia meminta manusia menjadi kufur dan sujud kepadanya kerana sesuatu habuan; bukan kepada Allah swt.

Isa a.s. lalu mengherdik iblis sambil menegaskan bahawa sujud itu semata-mata untuk Allah swt dan Allah sahajalah yang mesti disembah. Lalu iblis pun meninggalkannya.

... bersambung.
0 Responses