Elias Hj Idris
3.  Ahli Nafsu Mulhamah

Hatinya mulai bulat melalui proses penyucian

Apabila sifat-sifat terkeji dalam kedua-dua nafsu ammarah dan lawwamah itu dapat dileburkan menurut cara orang-orang sufi, maka beralihlah darjah nafsu yang tidak berbau syurga itu kepada corak nafsu mulhamah. Ia merupakan nafsu yang menerima latihan daripada beberapa proses kesucian sifat-sifat hati yang cemar tadi melalui tariqat sufiah.

Maka dari kesucian hati itu maka terbuanglah lintasan-lintasan fikiran kotor atau khuatir syaitan dan mengambil-alih tempat itu oleh khuatir malaikat atau daripada Allah swt yang dinamakan 'ilham'. Firman Allah swt;

"Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikannya (Allah) diilhamkan Allah kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik. Sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucikannya (nafsu) dan rugilah (celaka) orang yang mengotorkannya (nafsu itu)."

Di antara sifat-sifat kasar yang lahir daripada benih nafsu mulhamah itu ialah sifat terpuji berikut;

i)  Tidak sayangkan harta sakhawah;
ii)  Berasa cukup dengan kurniaan harta yang ada (kana'ah);
iii) Berilmu laduni;
iv) Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (tawaddu');
v)  Taubat yang benar-benar (hakiki);
vi) Sabar yang hakiki;
vii) Tahan menanggung kesusahan; dll

Barangsiapa yang benar-benar terasa di hatinya akan sifat-sifat tersebut maka itulah tandanya dia sudah termasuk ke dalam golongan nafsu terpuji itu (mulhamah). Kebanyakan orang sufi dari kalangan orang awam dulu-dulu adalah dari golongan ini. Mereka boleh dinilai atau disifatkan sebagai sifat ahli syurga kerana mereka boleh diibaratkan sebagai 'tuasa' yang tetap tahan dan tidak akan berkarat lagi.

Mereka dalam martabat ini boleh dikatakan baru mulai masuk ke sempadan maqam wali, iaitu kerap kali baru maencapai fana yang menghasilkan rasa ma'rifat dan hakikat (syuhud), tetapi belum begitu teguh dan kemas kerana mereka masih ada kemungkinan lenyap kembali sifat terpuji itu dan berkemungkinan hilang lenyap pula rasa ma'rifat dan hakikat dari hati.


4.  Ahli Nafsu Mutma'innah

Nafsu mulhamah itu tadi walaupun bersih dan suci, tetapi masih belum sampai kepada kejernihan yang teguh. Apabila nafsu itu telah teguh dan tetap dalam proses mencapai ma'rifat dan hakikat serta melekat di hatinya akan sifat terpuji dan tetap terkikis daripada kalbunya akan sifat-sifat yang tercela maka pada waktu itu dia berhak mendapat gelaran maqam nafsu mutma'innah. Nafsu ini adalah permulaan kepada mendapat darjat wali kecil sebagaimana firman Allah swt;

"Wahai nafsu mutmai'innah kembalilah kepada Tuhan engkau sambil berhati suka-ria serta diredhai Tuhan maka masuklah olehmu ke dalam golongan hamba-hambaKu yang soleh dan masuklah ke syurgaKu."

Sifat-sifat keruhanian yang timbul daripada benih yang waja lagi comel (nafsu mutma'innah) ini ialah hatinya dapat merasai sendiri akan nafsu di maqam yang bertuah ini. Di antara sifatnya ialah;

i)  Murah hati dan tidak lekat wang di tangan kerana bersedekah;
ii) Tawakkal yang benar;
iii) Bersifat arif dan bijaksana;
iv) Kuat beribadat;
v) Syukur yang benar;
vi) Redha pada segala hukuman Allah swt;
vii) Taqwa yang benar; dll.

Mesjid Xian, China

Biasanya orang yang mencapai ke martabat ini walaupun tidak semestinya terzahir padanya keramat yang luar biasa, namun dia mendapat ilmu tanpa perlu belajar (mendapat ilham) kerana dia dapat mengesan rahsia-rahsia dari loh mahfudz. Syurga untuk orang dari golongan ini terjamin kerana mereka ibarat emas tujuh yang bermutu dan lebih mahal daripada nilaian nafsu sebelumnya.

Inilah nafsu muma'innah - nafsu yang tetap bernilai dan terjamin dengan syurga dan dialah yang layak menerima jemputan syurga Tuhan.
0 Responses