Elias Hj Idris
Tasauf mempunyai kedudukan yang hebat di kalangan ulama Islam sendiri. Namun di kalangan para orientalis, tasauf merupakan wajah buruk yang amat digeruni. Namun ia tetap memberikan keuntungan kepada aliran tasauf - apabila banyak kajian dibuat terhadapnya. Ia menjadi lebih terbuka dan mendatangkan faedah besar kepada kaum muslimin sekelian - apabila dapat menilai harga tasauf dan ilmunya.

Namun bagi para orientalis, kajian yang dibuat terhadap tasauf tidak sedikit pun memberikan munafaat kepada gerakan mereka. Puncanya, sebab mereka lebih berminat akan sisi gelap - mencari kelemahan dan kesilapan yang boleh mencacatkan rupa wajah Islam di mata ramai. Ini memang diketahui apabila pihak gereja melarang keras mana-mana pengikutnya daripada menulis tentang Islam KECUALI jika tulisan dan kajian itu boleh mendatangkan keraguan terhadap Islam, atau pihak gereja mendapat munafaat dan keuntungan daripadanya.

Pada dasarnya, ilmu tasauf mempunyai kekuatan tersendiri dalam gerakan Islam; di mana kalau terjadi peperangan orang-orang yang kuat berpegang kepada tasauf akan rela mati dan paling keras mempertahankan saf Islam. Kesannya, para orientalis terpaksa bekerja keras mencari fakta untuk merosakkan fikiran ramai terhadap tasauf.

Namun pada ulama Islam, usaha pihak orientalis tidak sedikit pun merugikan Islam walaupun serangan dan tujuannya jahat sekali. Ia berpunca apabila ilham-ilham suci yang ada dalam Al-Quran itu tidak meresap masuk ke dalam nubari mereka. Ia dipelajari bukan sebagai ubat penawar, tetapi sekadar mencari apa yang belum tentu benar dan selari dengan pendapat mereka.

Jadi, mereka akan jauh daripada jiwa Islam apatah pula untuk memahami tasauf. Dan perlu diingat, jiwa dan ruh yang terdapat dalam tasauf tidak mungkin masuk ke dalam kalbu mereka. Mereka jelas tidak dapat merasai zauk tasauf tanpa mengetahui tujuan sebenar tasauf. Secara umum dilihat, mereka bersentuh kulit pun tidak - apatah lagi untuk mendapat ilham atau kasyaf hati dalam ilmu tasauf.

Dalam meneroka tasauf, puak orientalis sekadar berpegang kepada logik mereka yang biasa. Mereka menulis atau berbicara melalui tanggapan biasa - melalui jalan tegang dan bertahkim kepada filsafat kebendaan, iaitu dari skop materialisme yang menjadi 'agama' mereka. Jadi, mana mungkin mereka akan sampai kepada hakikat tasauf - sedangkan tasauf terdiri daripada empat sekawan; zauk, ilham, ibadat dan iman.

Sifat sangsi terlalu besar dalam menguasai diri mereka terhadap sesuatu yang berkait dengan Islam. Contohnya, Masinion - seorang Perancis yang mengatakan bahawa ilmu tasauf itu datangnya dari luar - "Tasauf Islam adalah pindahan dari agama Majusi, agama Parsi dan agama Hindu". Dan akan lebih baik jika dikatakan juga bahawa tasauf berpunca daripada filsafat Yunani!

Sedangkan mereka lupa - mana mungkin ilmu tasauf berlandaskan agama Majusi, Parsi, Hindu atau Yunani yang kesemuanya adalah agama wassani, animisme dan menyembah Tuhan yang lebih daripada satu. Mana mungkin sumber dua-tiga tuhan boleh melahirkan Tuhan Yang Maha Esa? Sesuatu yang datang dari sumber nan kotor boleh membenihkan hasil yang jernih dan suci bersih!

Dia beranggapan bahawa ulama-ulama Islam dari kalangan Ahlus-Sunnah wal-Jamaaf masih bingung dengan ilmu tasauf yang diimport dari luar itu - tanpa menyebut pun siapakah ulama berkenaan? Inilah propaganda. Walaupun ia tidak benar, tetapi jika diulang-ulang selalu, kelak orang ramai akan mempunyai tanggapan bahawa yang dusta itu benar manakala sesuatu yang benar, tetapi tidak diulangi maka ianggap sebagai palsu belaka.

Bagi Marx pula, ilmu tasauf adalah berasal daripada pendeta Syria yang diambil daripada jiwa rahib-rahib agama Masehi. Ia disebabkan Marx sejak awal beranggapan bahawa Islam merupakan satu kepercayaan yang tegang, materialis dan jauh daripada berjiwa keruhanian. Sedangkan apabila ditelusurinya, ilmu tasauf penuh dengan soal kejiwaan.

Johns pun sama juga. Dia mengatakan bahawa "Ilmu tasauf Islam itu berasal daripada filsafat Plato Yunani Baru, iaitu berasal daripada agama Zoroaster Parsi Kuno." Jelasnya, bahawa tasauf Islam itu berlandaskan konsep animisme sebagaimana yang disepakati oleh ahli-ahli agama tentang filsafat Yunani.

Tabah dan teguh hati mereka dalam penghambaan di bawah cuaca sejuk
 yang bukan kepalang; kalaulah hal sebegini berlaku di Malaysia -
adakah sesiapa yang sanggup?

Inilah kesilapan besar para orientalis. Mereka lupa bahawa segala agama yang dibawa oleh para nabi dan rasul adalah benar belaka. Acuan agama yang mereka bawa adalah jelas, iaitu membawa manusia kepada Allah swt. Cuma cara dan bentuknya agak berubah mengikut kesesuaian masa, kaum setempat namun dengan maksud yang tetap satu.
0 Responses