Elias Hj Idris
Al-Marhum Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Abdullah Fahim. Tokoh ini tidak perlu diperkenalkan lagi. Seorang ulama tersohor. Perhatikan apa yang beliau katakan.
بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد

Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع).

Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Sair as-Salikin. Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'

[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]

Antara pesanan al-Marhum Tuan Guru lagi:

“(Nasihat) supaya jangan berpecah-belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah [yang beliau maksudkan adalah golongan kaum muda @ Wahabi][1]. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu……. hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama' ahl as-Sunnah wa al-Jamaah.

Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah-belah sesama bangsa sendiri.

Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi:

“Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia.

[Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 37 dan 38]

Notakaki:
Menurut Sayyid Muhammad Amin ibn Sayyid Umar ibn Sayyid ‘Abdul al-‘Aziz ibn Sayyid Ahmad ibn Sayyid ‘Abdurrahim ibn Sayyid Najmuddīn ibn Sayyid Muhammad Shalahuddīn atau lebih dikenali sebagai ‘ Imam Ibn ‘Abidin asy-Syami [wafat 1252H/1836M] menyebut di dalam kitabnya Raddul Muhtar ‘ala ad-Durrul Mukhtar:

Bab: Berkenaan Pengikut-pengikut [Muhammad] Ibn Abdul Wahhab, Golongan Khawarij Dalam Zaman Kita.

Sepertimana yang berlaku pada masa kita ini pada pengikut [Muhammad] Ibn Abdul Wahhab yang keluar dari Najd dan menakluki al-Haramayn (Mekah dan Madinah) dan mereka bermazhab dengan mazhab al-Hanbali tetapi mereka ber’iktikad bahawa hanya mereka sahajalah orang Islam dan orang-orang yang bertentangan akidah dengan mereka adalah kaum musyrik. Dengan ini mereka pun menghalalkan pembunuhan Ahli Sunnah dan pembunuhan ulama’-ulama’ mereka sehingga Allah swt mematahkan kekuatan mereka dan memusnahkan negeri mereka dan askar muslim berjaya menawan mereka pada tahun 1233 H.
[Terjemahan ini dan gambar kitab dan helaiannya berkenaan diambil dari blog al-ashairah]

Al-Marhum Tuan Guru Haji Muhammad bin Haji Wan Idris Bermin al-Fathani atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Bermin (1290H/1873M - Khamis 29 Zulkaedah 1376H/27 Jun 1957M). Beliau merupakan sahabat kepada Tok Kenali dan Tok Kelaba.

Di dalam sebuah manuskrip tulisan tangan Tok Bermin yang dimiliki oleh al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, di mana dalam kitab tersebut Tok Bermin meriwayatkan peristiwa kedatangan dua orang dari Minangkabau ke Legor menyebarkan ajaran Kaum Muda [Wahabi]. Mukadimah tulisan Tok Bermin adalah sebagai berikut:

Dan adalah pada hari Sabtu, 26 Syawal, dan hari Isnin, 28 Syawal juga, pada tahun [atau] sanah 1347 [Hijrah], perhamba al-Haji Wan Muhammad Bermin, Jambu, periksa dan tanya akan ‘Abdullah dan Burhan orang Minangkabau. Yang keduanya [itu adalah] setengah daripada Kaum Muda [Wahhabi] yang duduk berjalan menyesatkan orang-orang. Di dalam negeri Legor diperiksa di dalam Masjid al-Haji Mat, Kampung Baru. Dan di dalam Masjid al-Haji Mahmud di hadapan Imam Shiddiq, dan Penghulu Hamzah, dan al-Haji Mat sendiri dan al-Haji Mahmud, dan beberapa banyak daripada manusia.

[Tarikh kejadian yang disebut oleh Tok Bermin iaitu 26 dan 28 Syawal 1347H itu adalah bersamaan dengan 6 dan 8 April 1929M. Memperhatikan tarikh ini bererti masih dalam lingkungan tahun-tahun yang sama dengan pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda di Sumatera. Tok Bermin lahir pada tahun 1290H/1873M, bererti dia lebih tua sekitar enam tahun daripada Syeikh Abdul Karim Amrullah, pelopor Kaum Muda di Minangkabau yang lahir pada 1296H/ 1879M. Kemungkinan Abdullah dan Burhan yang berasal dari Minangkabau yang disebut oleh Tok Bermin pada petikan di atas adalah termasuk murid Syeikh Abdul Karim Amrullah. Tidak dapat dinafikan bahawa Tok Bermin dan Syeikh Abdul Karim Amrullah telah kenal sejak di Mekah kerana kedua-duanya adalah belajar dengan para ulama Mekah yang sama.]

Selanjutnya Tok Bermin menulis:

Maka telah nyata bahawasanya ‘Abdullah dan Burhan bukan daripada orang yang mengikut Imam Syafie. Bahkan bukan daripada mazhab yang empat. Dan keduanya bawa bercakap dengan kitab bagi Imam Syafie itu kerana menipu dan supaya menyangka orang yang mendengar akan kedua-duanya itu orang yang mengikut Syafie, padahal bukan Syafie. Dan jika tiada keduanya bawa bercakap-cakap dengan ‘Kitab Umm’ itu, nescaya tiada seorang pun mengikut akan keduanya daripada permulaan masuknya Abdullah dan Burhan ke dalam negeri Legor.

Tulis Tok Bermin selanjutnya:

Dan sebab keluar keduanya dari mazhab itu, kerana menafi oleh keduanya akan ijmak dan qias. Dan kedua-duanya ikut nas al-Quran dan hadits sahaja. Dan padahal ijmak dan qias itu, keduanya adalah setengah daripada dalil-dalil yang buat menghukum ‘ulama’ dengan dia.

Tok Bermin membahaskan perkara tersebut dengan panjang lebar dan mendalam menggunakan hujah-hujah yang mantap ditinjau daripada pelbagai ilmu sebagaimana yang digunakan oleh jumhur ulama. Oleh sebab Tok Bermin memang pakar dalam banyak bidang ilmu, terutama ilmu alat, iaitu nahu dan sharaf. Abdullah dan Burhan kurang mengetahui tentang kedua-dua ilmu itu terpaksa diam saja.

[Tulisan ini merupakan petikan dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir Wan Abdullah di dalam akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Tok Bermin al-Fathani. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kedua orang ulama' ini.]

Jelas Tok Burmin menolak fahaman kaum muda atau Wahhabi ini. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama kita dahulu-dahulu yang terkenal dengan ke’aliman dan ketaqwaannya.

Haji Abu Bakar bin Haji Hasan al-Muari bin Haji Ahmad bin Anggak bin Datuk Sijo Bukit Moh, Muar Bandar Maharani, Johor. Beliau dilahirkan pada tahun 1292 Hijrah/1875 Masihi, dan meninggal pada tahun 1357 Hijrah/1938 Masihi. Selama 34 tahun beliau berada di Mekah untuk menuntut ilmu, iaitu ketika usianya enam tahun (1881M/1299H.) dan pulang ke tanah air pada tahun 1915 Masihi.

Antara guru-guru beliau di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. [kepada ulama ini, beliau mendalami kitab hadits Bukhari], Syeikh Abdullah bin Qasim as-Sanquri, iaitu ulama yang berasal dari dunia Melayu yang menjadi ketua qiraat tujuh di Hijaz pada zaman itu. Syeikh Muhammad Nur al-Fathani [mendalami ilmu falak], Syeikh Muhammad Mukhtar bin Atharid Bogor dan Syeikh Umar bin Abdur Rasyid as-Sumbawi.

Dalam mempertahankan kaum tua [yang berpegang kepada ‘asya’irah dalami ilmu tauhid dan bermazhab Syafie dalam fiqih] Haji Abu Bakar Qadhi mengarang beberapa risalah menolak pendapat Hasan Bandung dan Shaikh Thahir Jalaluddin, yang merupakan ulama kaum muda dan sebuah karya di dalam bahasa Arab untuk menolak beberapa pendapat Sayid Rasyid Ridha, ulama Mesir yang merupakan tokoh reformis yang sangat terkenal. Antara kitabnya itu bertajuk 'Taman Persuraian Membatalkan Perkataan asy-Syaikh Muhammad Thahir Jalaluddin al-Minankabawi …', Mustika ‘Ajaaib Pada Menyatakan Hukum dan Kelebihan Membaca Maulid Nabi Kita صلى الله عليه وسلم, Cogan Perikatan Pada Menyatakan Sunat Berlafadz Usolli, Taufan Yang Memalui Atas Huraian Haji Thahir Al-Minankabawi dan lain-lain.

Tuan Guru Haji Abdul Qadir Sekam atau Ayah Dir Sekam atau nama penuhnya ialah Syaikh 'Abdul Qadir bin Haji Wangah bin 'Abdul Lathif bin Utsman. Tokoh mutakhir Fathani Darussalam [sehingga penghujung abad 20] yang paling banyak menulis. Lahir pada 1340H/1921M di Kampung Sekam. Di dalam kitab beliau 'Irsyadul Jawiyyin ila Sabilil Ulama-il ‘Amilin' mengandungi bahasan mengenai kesesatan dan kesilapan Wahhabi dan Muhammad Abdul Wahab.

Tuan Guru Syaikh Abdul Qadir bin Abdul Muthalib al-Indonisi al-Mandili. Seorang ulama yang terkenal mengajar di Masjidil Haram di Mekah. Merupakan mahaguru ulama seNusantara di sekitar tahun 50an.

Beliau menulis beberapa kitab untuk menolak fahaman kaum Muda [Wahhabi] dan antaranya kitab bertajuk 'Sinar Matahari Buat Penyuluh Kesilapan Abu Bakar al-‘Asy’ari' [pelopor fahaman kaum muda @ Wahhabi di negeri Perlis Indera Kayangan]. Kitab tersebut ditulis di Makkah al-Mukarramah dan selesai penulisannya pada hari Sabtu 4 Syawal 1378H.\

Sebuah lagi kitab yang beliau tulis, bertajuk 'al-Mazhab' atau Tiada Haram Bermazhab. Kitab ini beliau tulis untuk memenuhi permintaan Tuan Guru Haji Hasan Ahmad al-Fathani bagi menjawab sebuah kitab tulisan seorang pemuka kaum muda @ Wahhabi bernama Hasan Ahmad Bandung bertajuk 'al-Mazhab, Wajib atau Haramkah Bermazhab'? Selain itu beliau juga mentahqiqkan kitab karangan murid beliau, Ismail bin Ahmad bin Muhammad Salleh at-Fathani al-Langgoori bertajuk 'Minhaaj al-Saalimin fi Thoriqah al-Mutaqaddimin'. Maka jelas menunjukkan beliau menolak akan fahaman Wahhabi yang mengeliru dan menyesatkan itu.

Jelas bahawa ulama-ulama di atas menolak fahaman/ajaran yang dibawa oleh kaum muda atau Wahhabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita tolak fatwa ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal dengan ke’aliman dan ketaqwaannya.

Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Lathif bin Abdullah al-Minankabawi lahir pada hari Isnin, 6 Zulhijjah 1276H/26 Jun 1860M di Sumatera dan pada wafat 9 Jumadilawwal 1334H/13 Mac 1916M di Mekah. Salah seorang ulama melayu yang telah mengangkat martabat ulama Melayu kerana beliau pernah menjadi imam dan khatib dalam Mazhab Syafie di Masjidilharam Mekah. Antara guru-guru beliau adalah Sayid Bakri Syatha, Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. Antara muridnya pula adalah Syaikh Hasan Ma’sum dan Syaikh Abdul Karim Amrullah [ayahanda kepada Buya HAMKA]. Seketika berlaku polemik di antara kedua murid beliau, iaitu Syaikh Hassan Ma’sum yang beraliran ‘kaum tua’ dan Syaikh Abdul Karim Amrullah [dikenali juga dengan Haji Rasul Amrullah, wafat 2 Jun 1945 - ] yang beraliran ‘kaum muda’, Syaikh Ahmad Khatib telah menyebelahi muridnya Syaikh Hassan Ma’sum dan dengan tegas menulis Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim dan Wahhabiyah yang diikuti oleh anak murid beliau [Syaikh Abdul Karim Amrullah] adalah sesat. Menurut Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau, golongan tersebut sesat kerana keluar daripada fahaman Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah dan menyalahi pegangan mazhab yang empat. Antara tulisannya ialah 'al-Khiththah al-Mardhiyah fi Raddi fi Syubhati man qala Bid’ah at-Talaffuzh bian-Niyah', 'Nur al-Syam’at fi Ahkam al-Jum’ah' dan lain-lain.

Di antara nasihatnya: “Maka betapakah akan batal dengan fikiran orang muqallid yang semata-mata dengan faham yang salah dengan taqlid kepada Ibnu al-Qaiyim yang tiada terpakai qaulnya pada Mazhab Syafie. ……………Maka wajiblah atas orang yang hendak selamat pada agamanya bahawa dia berpegang dengan segala hukum yang telah tetap pada mazhab kita. Dan janganlah ia membenarkan akan yang menyalahi demikian itu daripada fatwa yang palsu.”

Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301H/7 Ogos 1884M dan beliau wafat pada pada 17 Jumadilakhir 1382H bersamaan14 November 1962M. Dia dilantik menjadi Mufti Johor sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1934 – 1941 dan 1947 - 1961. Antara guru-guru beliau ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad, Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad dan al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari.

Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak menurut aliran ‘kaum tua’. Beliau sangat menyanggah pendapat dan pegangan Syaikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati dan yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung, bahkan Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor demi untuk membendung menularnya fahaman kaum muda @ Wahhabi. [Syaikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati dan A. Hassan Bandung – wafat pada 10 November 1958 - merupakan ulama bagi ‘kaum muda’]

Di dalam Fatwa Mufti Kerajaan Johor yang telah difatwakan oleh Allahyarham al-‘Allamah Dato’ Sayyid Alwi bin Thahir al-Haddad, Mufti Kerajaan Johor 1936 – 1961M = 1356 – 1381H, dikumpul dan diterbitkan oleh Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor, halaman 397 – 399:

PERKARA: MENGENAL KAUM MUDA –WAHHABI-DAN MUSUH-MUSUH ISLAM.

Soalan: Bagaimanakah dapat dikenal atau diketahui alamat-alamat kaum muda (Wahhabi) itu? Adakah kaum muda itu terjumlah dalam golongan Islam?

Jawab: Jawab Soalan Pertama:Yang dikatakan Kaum Muda (Wahhabi) pada pertuturan orang-orang zaman ini (zaman beliau) ialah suatu kumpulan orang-orang yang tiada mengerti dan faham tentang Islam, mereka bersungguh-sungguh hendak menghampiri dan menyatukan agama Islam kepada agama lain. Apa jua perkara yang terbit daripada agama Kristian atau Majusi, mana yang dipandang mereka molek dan elok pada zhohirnya berkehendaklah mereka memalingkan hukum-hukum Islam daripadanya seperti berkata setengah mereka itu (Wahhabi): Babi itu suatu binatang yang suci, dan berkata setengah yang lain pula; Tiada sah ruju’ dengan tiada redha perempuan, dan berkata yang lain pula; Nabi Allah ‘Isa عليه السلام berbapa seperti perkataan orang-orang Yahudi.”

Setengah daripada alamat (ciri-ciri) mereka itu (Wahhabi):

Mereka marahkan Imam-Imam Mazhab yang empat dan ulama’ fiqh, mereka mengaku mengetahui al-Quran dan al-Hadits Nabawi.

Mereka membangkang ijma’, menyebarkan masalah khilaf di antara umat-umat Islam supaya menambah porak-peranda umat-umat Islam sebagai mana disukai oleh seteru-seteru Islam.

Apabila mereka melihat orang-orang Islam tiada menyentuh al-Quran melainkan kemudian daripada mengambil air sembahyang, mereka (Wahhabi) berkata; Harus menyentuh al-Quran dengan tiada air sembahyang.

Apabila mereka melihat orang Islam tiada membaca al-Quran melainkan kemudian daripada bersuci daripada hadats besar, mereka (Wahhabi) berkata; Harus membaca al-Quran kalau ada hadats besar sekalipun.

Apabila mereka melihat orang-orang Islam menjauhkan diri daripada najis seperti arak dan babi, mereka berkata ; Kedua-dua perkara itu suci. Mereka mencita-cita (bercita-cita) supaya orang Islam menjadi seperti orang Majusi. Mereka berlumur dengan lemak babi dan mencurahkan arak kepada bajunya kemudian sembahyang.

Setengah mereka itu sepanjang hari memain (bermain) kemaluannya atau menyentuh kemaluan isterinya beberapa kali kemudian boleh dia sembahyang (‘la za’mihim) dengan tiada mengambil air sembahyang.

Lagi demikian jua kalau ia membuat rantai leher daripada daging babi atau memakai kulit babi yang basah kemudian pergi sembahyang, nescaya sah sembahyang itu di sisi mereka!

Kalau mereka bergelumbang dalam reban ayam atau kandang kambing atau lembu dan jadi baunya sebusuk-busuk manusia, kemudian dia sembahyang - sah juga sembahyang itu di sisi mereka.

Dan setengah dari ‘alamat mereka itu (Wahhabi), mereka bersungguh mengamat-amati dan mengambil susah dalam perkara yang kecil-kecil seperti talqin, tahlil dan seumpamanya dan tiada menghiraukan perkara-perkara yang besar-besar seperti dosa-dosa besar yang telah membiak setengah daripadanya berzina, riba, was-was sangka pada Allah dan mengajar kanak-kanak Islam agama yang bukan Agama Islam. Perkara ini semua tiada disebut (dititik-beratkan oleh Wahhabi) dan tiada dihiraukannya.

Dan setengah daripada ‘alamat mereka itu, mereka berseteru dan merekakan masalah-masalah fiqh yang tiada padanya khilaf, barangsiapa menyalahi akan mereka itu pada satu daripada masalah-masalah fiqh seperti suatu hukum daripada hukum-hukum sembahyang atau sujud sahwi atau tayammum atau sunnah talqin, nescaya mereka jadikan orang itu seteru, terus diingkarkannya.

Semuanya ini ialah adat orang-orang khawarij (orang-orang yang benci akan Sayyidina ‘Ali karramahu wajhah) dan ‘adat ahlul bid’ah yang menyalahi puak-puak Islam kerana sahabat-sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم, al-Tabi’in, mereka yang kemudian daripada Imam-imam mazhab yang empat dan sekalian ‘ulama’ mazhab, mereka bersalah-salahan (berselisihan pendapat) pada beberapa masalah dalam masalah fiqh (furu’ fiqhiyyah) tetapi mereka tiada berseteru di antara setengah dengan setengahnya sebab bersalah-salahan ambilnya itu kerana bukannya bersalahan itu pada usul (asal masalah) bahkan pada furu’ (cawangan-cawangan) sahaja.

Syaikh Hasan Ma’shum Mufti Kerajaan Deli yang nama lengkapnya ialah Hasanuddin bin Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar ad-Dali (Deli). Namun lebih dikenali dengan Syaikh Hasan Ma’shum. Asal keturunan dari Acheh kemudian berpindah ke Deli. Lahir di Labuhan Deli, Sumatera Utara pada tahun 1300H/1882M dan wafat di Medan pada 24 Syawal 1355H/7 Januari 1937M. Ayah dan datuknya juga merupakan ulama. Seorang pembela kaum tua ketika berlaku pertembungan pendapat antara kaum tua dan kaum muda. Antara kitab yang beliau tulis untuk menyanggah pendapat kaum muda adalah 'Al-Quthufat as-Saniyah fi Raddi Ba’dhi Kalam al-Fawaid al-‘Aliyah' [kitab ini mendapat pujian dari gurunya Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dan Syeikh Abdul Qadir Shabir al-Mandaili], Beberapa Masail [untuk menangkis 19 perkara yang dilemparkan oleh Kaum Muda @ Wahhabi yang dianggap bida'ah oleh mereka, iaitu antaranya tentang melafazkan ‘Usalli’, membaca talkin, mengaji (membaca al-Quran) di kubur, berdiri ketika marhaban, mempercayai ulama, lafaz ‘Saidina’ dalam shalawat, qadha sembahyang, mengangkat tangan ketika qunut, ziarah makam Nabi صلى الله عليه وسلم , membaca al-Quran untuk orang mati, fidyah sembahyang, ziarah kubur dan lain-lain lagi. Kitab ini dicetak pada tahun 1929 (cetakan kedua)]

Jelas bahawa ulama-ulama di atas menolak fahaman/ajaran yang dibawa oleh kaum muda atau Wahhabi. Jika kita terima ajaran Wahhabi, maknanya kita menolak fatwa ulama-ulama kita yang dahulu-dahulu yang terkenal mereka itu dengan ke’aliman dalam pelbagai cabang ilmu, kewarakan dan ketaqwaannya.

Kata al-Marhum Tuan Guru Syaikh Wan Muhammad Shaghir bin Wan Abdullah:

“Ada orang jadi masyhur namanya kerana mempertahankan sesuatu pegangan yang diamalkan oleh orang ramai. Tidak dinafikan juga bahawa seseorang jadi masyhur kerana membantah amalan orang lain. Seseorang yang mempertahankan pegangan, sama ada yang betul ataupun yang salah, ada yang terikat dengan adab-adab yang tertentu, tetapi tidak sedikit yang tiada beradab. Walau bagaimana hebat pun seseorang memperoleh kemasyhuran sanjungan manusia, tetapi jika pemikiran, pekerjaan dan perbuatannya tiada diredhai Allah, dia bukanlah seorang yang bijak. Hakikatnya dialah orang yang paling bodoh.”
2 Responses
  1. Anonymous Says:

    cam kenal jer tulisan ni di copy dari maner???


  2. Hassan Haron Says:

    Jangan lah diadat melayukan Islam itu. Carilah perubahan yang elok di ikuti. Zaman informasi dan data dan cerdik pandai, takkan tak boleh diperbetulkan. Nabi SAW dalam khutbah akhirnya berkata, Allah telah melengkapkan dan meredhakan Islam. Islam itu mudah. Kita hanya menyembah Allah moga dapat keredhaanNya.