Elias Hj Idris
Pada masa yang sama timbul pula persengketaan besar antara kaum fuqaha dan kaum sufi berkait dengan soal keramat dan alam misali.

Alam keramat merupakan hal-hal luar biasa yang terjadi pada diri orang-orang yang takut kepada Allah - dari segi perkataan dan perbuatannya - dengan tidak menyalahi satu pun zahir syariat. Menurut orang sufi, keramat itu adalah suatu pekerjaan dari kehidupan biasa di kalangan orang sufi. Keramat itu termasuk kurnia dan pemberian hadiah daripada Allah swt.

Dalil mereka ialah tentang kisah ahli gua (ashabul-kahfi) di mana mereka itu tinggal selama 300 tahun lebih dalam keadaan hidup, tetapi tidur tanpa mengalami apa-apa kerosakan setelah tidak makan atau apa sahaja. Sedangkan mereka itu bukannya nabi - sekadar orang yang 'mencari' akan Tuhannya; mencari dalil akan adanya Tuhan.

Dalil yang lain bagi orang sufi ialah tentang Siti Mariam, ibu Isa a.s. sewaktu hendak bersalin telah menerima firman Allah swt seperti yang tersebut dalam Surah Mariam: ayat 25 - "Dan tariklah batang tamar itu, nanti akan jatuh kepada engkau buah-buah tamar yang sedang masak."

Demikian rahmat Tuhan kepada Siti Mariam, sedangkan dia bukannya nabi.

Demikian dengan kisah Asif bin Barkhaya yang telah memindahkan istana Balqis kepada Nabi Sulaiman dari hujung Yaman ke Palestin dalam sekelip mata. Sedangkan jin ifrit yang paling kuat itupun meminta tempoh separuh hari untuk melakukan kerja yang sama!

Demikian juga dengan kisah tiga orang lelaki yang terkurung di dalam gua oleh sebuah batu besar. Sahih Bukhari ada menceritakannya. Masing-masing berkata sesama sendiri, supaya berdoa kepada Allah agar dengan berkat amalan yang telah pernah mereka lakukan agar Allah mengubah ketulan batu yang menutup pintu gua tersebut.

Masing-masing berbicara, "Ya Tuhanku, jika amalyang telah kulakukan itu ikhlas dan Engkau terima maka lepaskanlah kami daripada bahaya batu besar ini." Lalu terangkatlah sepertiga daripada batu itu. Kemudian berdoa pula lelaki yang kedua dengan permintaan yang sama. Ketulan batu itupun terangkat sebahagian. Kemudian berdoa pula lelaki yang ketiga dengan maksud yang sama. Dan dengan takdir Allah swt, batu itu terangkat sepenuhnya dan mereka itu dapat keluar dari dalam gua berkenaan dengan selamat.

Peristiwa di Tak Bai, Thailand

Semua itu adalah kerana berkat amalan yang ikhlas. Ini adalah sebahagian daripada keramat (kemuliaan) yang diberikan Allah kepada hamba-hambaNya yang ikhlas beramal.

Demikian juga dengan kisah Juraij, seorang pendeta yang dituduh seorang wanita sebagai ayah kepada anak yang dikandungnya. Sedangkan, ayah anak itu yang sebenar adalah seorang penggembala kambing. Apabila anak itu lahir, wanita itu menyerahkan anaknya kepada pendeta tersebut di khalayak ramai. Maka pendeta itu lalu menjadi sasaran dan mangsa fitnah! Penduduk marah dan tempat ibadatnya pun dirosakkan. Dia dihukum tanpa usul periksa.

Juraij memohon bantuan daripada Allah swt. Dia bertanyakan anak yang baru lahir itu, "Siapakah ayah engkau yang sebenarnya, wahai si anak?" Anak itu terus berbicara dengan berkata, "Ayahku adalah si folan, si penggembala kambing." seperti yang tersebut dalam hadis soheh Bukhari dan soheh Muslim.

Maka nama baik Juraij dapat dibersihkan dan tempat ibadatnya yang telah rosak digantikan dengan tempat yang lebih baik lagi. Namun Juraij enggan menerimanya. Dia mahukan mereka meruntuhkannya sama seperti tempatnya yang asal.

Peristiwa ini cukup terkenal dan disebut dalam al-Quran. Sebahagiannya diungkapkan dengan hadis Nabi saw. Semua orang yang melakukannya bukan nabi dan bukan juga rasul. Mereka itu hanya mukmin yang abid.

Kemudian apa yang disebut keramat itu kepada mereka bukanlah darjat. Keramat itu cuma satu istilah yang menyatakan kelebihan mereka yang bukan pun berstatus untuk ditunjukkan kelebihan atau bertujuan untuk mencuba dan menguji. Al-Junaid Al-Baghdadi pernah berkata; "Beberapa orang yang berjalan kaki di atas air, tetapi orang yang mati kehausan lebih utama daripada diri mereka sendiri.

Jadi, tidaklah selama-lamanya orang yang telah berjaya lakukan sesuatu hal yang ganjil itu sebagai benar. Ada juga hal yang didapati palsu.
0 Responses