Elias Hj Idris
Sebelum ini telah disebutkan bahawa orang sufi adalah mereka yang berjalan pada jalan Allah. Mereka selama-lamanya mengingat dan menyebut nama Allah, dengan hatinya yang sentiasa tenggelam cinta kepada Allah.

Jalan utama untuk seseorang itu menempuh jalan ini pertamanya dia perlu beroleh kasyaf batin; di mana hatinya telah dapat melihat hal-hal yang tidak dapat dilihat oleh mata zahir (atau mata kasarnya). Ia adalah kehidupan bagi seorang sufi - malah itulah lambang kehidupan tasauf yang tidak mungkin dapat dinafikan oleh sesiapa pun. Malah inilah punca perdebatan dan perselisihan di antara ulama-ulama tasauf dengan ulama fiqh dan ulama ilmu kalam @ kaum fuqaha.

Kaum sufi percaya penuh bahawa pengetahuan manusia itu hanyalah jalan usaha batin selain daripada pancainderanya yang lima itu. Usaha batin ini sebenarnya menghubungkan manusia dengan alam rohani. Bahawa mujahadah (mempergunakan sehabis tenaga) melawan nafsu, mahabbah atau cinta penuh kepada Allah, fana dan tenggelam dalam mengingat dan menyebut Allah, melakukan ibadat yang tiada hentinya kepada Allah, semuanya itu mempersiapkan roh kita agar dapat merasakan keenakan ibadat dan bersiap-sedia dalam menerima sesuatu daripada Allah.

Kemudian, ia akan menghubungkan orangnya itu kepada pelbagai ilmu dan pengetahuan. Pengetahuan (makrifat) dalam kepercayaan orang-orang sufi adalah tersembunyi dalam roh manusia. Ia bersifat semulajadi telah pun sedia ada dalam roh manusia itu. Ia tidak datang kemudian.

Usaha mengalahkan kemahuan jasad dan mempertinggikan kedudukan roh dalam diri, semuanya bekerja mengoyak dan melenyapkan sekelian hijab yang mendinding pengetahuan dan pandangan halus manusia. Kemudian ia melenyapkan segala kegelapan yang terdapat di antara roh seseorang dengan Cahaya Yang Maha Tinggi.

Ada limpahan dan sorotan ilham daripada Allah swt

Apabila taat kepada Allah bererti mewajibkan seseorang itu mencintai Allah. Apabila mencintai Allah, ia disahabati oleh limpahan dan sorotan ilham daripada Allah kepada si pelakunya. Imam Ahmad bin Hanbal ada mengatakan; "Bukan ilmu dengan banyak belajar atau meriwayatkan, tetapi ilmu itu cahaya (nur) yang dijatuhkan Allah ke dalam hati mereka yang taat sehingga Allah turut mencintai mereka pula". Inilah yang dikatakan Allah dalam Surah an-Nisa': 1;

"Takutlah kamu akan Allah, Allah yang akan mengajari kamu."

Orang-orang sufi telah menetapkan bahawa ilham hati, kasyaf rohani merupakan tanda-tanda dasar yang mencakup keseluruhan kehidupan mereka. Mereka akan terus berenang dalam ilham dan kasyaf batin itu sebagai ilmu yang batin. Ilmu batin bererti mengetahui hal-hal yang tidak dapat dilihat secara zahir. Ilmu batin yang tinggi ini adalah di antara ilmu yang diperoleh Nabi Khaidir a.s yang tidak diketahui oleh Nabi Musa a.s.

Dalam pertemuan yang disebutkan dalam Surah al-Kahfi itu menceritakan bagaimana pada suatu hari Musa a.s dan pemuda pembantunya kembali mencari seekor ikan mereka yang tertinggal di Majma'al Bahraini (pertemuan dua buah laut). Di situ mereka telah bertemu dengan seorang hamba Kami (seperti firman-Nya) yang telah Kami berikan rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami beri ilmu banyak kepadanya.

Maka berkatalah Musa a.s kepadanya, "Bolehkah aku mengikuti engkau, supaya engkau ajarkan kepadaku ilmu yang betul seperti yang telah diajarkan kepada engkau?"

Hamba Kami itupun berkata kepadanya, "Sesungguhnya, engkau takkan kuasa sabar bersama-samaku. Bagaimanakah engkau akan sabar tentang sesuatu yang tiada engkau alami?"

Berkata Musa a.s, "Nanti engkau akan dapati aku insyaAllah, orang yang sabar dan aku tidak akan mendurhakai perintahmu."

"Baik la," kata orang tersebut. "Jika engkau mengikuti saya, maka janganlah ditanyai akan apa jua sehingga saya beritahukan kepada kamu."

Kemudian kedua-duanya lalu belayar dengan sebuah perahu. Tiba-tiba perahu itu lalu ditebuk lubang.

"Maka berkata Musa a.s; Adakah engkau korek perahu ini, supaya engkau mengaramkan penumpangnya? Sesungguhnya, engkau memperbuat suatu yang besar (berbahaya)."

Dia berkata: "Bukankah sudah kukatakan bahawa engkau takkan kuasa untuk sabar bersamaku."

Berkata Musa a.s, "Janganlah engkau menyiksaku, kerana kealpaanku dan janganlah engkau memberatiku dengan kesukaran."

Lalu keduanya berjalan. Sehingga, apabila keduanya menjumpai seorang anak muda lalu dibunuhnya. Maka berkata Musa a.s, "Mengapa engkau bunuh seorang anak yang suci tanpa berdosa? Sesungguhnya, engkau telah memperbuat sesuatu yang mungkar."

Dia berkata, "Bukankah telah kukatakan kepadamu bahawa engkau takkan kuasa sabar bersamaku?"

Jika engkau tanyai lagi aku sesudah ini, janganlah engkau ikuti aku, sesungguhnya telah cukuplah engkau menerima keuzuran daripadaku."

Kemudian kedua-duanya berjalan lagi, sampai kepada penduduk di suatu negeri lalu keduanya meminta makanan, tetapi penduduk di situ enggan memberikan makanan kepada mereka.

Lalu keduanya menemui dinding yang hampir roboh lalu diperbetulkan kembali.

Berkata Musa a.s, "Jika engkau kehendaki ambillah upah daripadanya."

Maka kata orang itu, "Inilah perpisahan antara aku dengan engkau. Nanti akan kuberitakan kepadamu takwil-takwil (keterangan) apa yang engkau tidak sanggup sabar atasnya."

Adapun sampan tadi kepunyaan beberapa morang miskin yang bekerja di laut. Aku merosakkannya sedikit kerana di belakang mereka ada seorang raja yang akan merampas setiap sampan dengan kekerasan.

Adapun anak tadi, kedua orang tuanya orang yang percaya akan Allah. Kami takut nanti orang tuanya itu akan jadi derhaka dan kafir kerana anaknya.

Aku bermaksud biar Tuhan menukarkan anaknya itu dengan yang lebih baik daripadanya dan lebih suci serta lebih pengasih.

Adapun tembok yang hampir roboh itu adalah kepunyaan dua orang anak yatim di dalam negeri ini dan di bawah dinding itu ada perbendaharaan bagi keduanya, orang tua keduanya itu adalah orang yang soleh.

Lalu Tuhan menghendaki supaya keduanya sampai umur dewasa lalu keduanya mengeluarkan harta simpanan itu sebagai rahmat daripada Tuhannya.

Bukanlah yang kuperbuat itu dengan kehendakku (melainkan dengan wahyu Tuhan). Demikian takwilnya perkara yang tiada sanggup angkau sabar terhadapnya.

Surah al-Kahfi: 63-82.

Nabi Khaidir a.s. ini salah seorang yang mendapat ilmu batin daripada Allah swt. Ilmu yang diberikan Allah itu sudah merupakan satu tahap maksimum.

Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah meriwayatkan dari Ummul-mu'minin Aisyah r.a. bahawa ibu Islam ini pernah berkata, "Pada suatu hari Saad bin Abi Waqas bertengkar dengan Abdullah bin Zum'ah mengenai seorang anak lelaki. Kata Saad, "Anak ini ya Rasulullah adalah anak saudara saya, anak 'Utbah bin Abu Waqas yang diserahkan kepada saya untuk memeliharanya. Lihatlah, bukankah dia serupa dengannya".

Lalu Rasulullah melihatnya, nyata sekali amat serupa dengan 'Utbah. Akan tetapi Nabi bersabda kepada Abdullah bin Zum'ah, "Anak ini untukmu, hai Abdullah bin Zum'ah, anak ini bagi engkau dan orang yang derhaka tidak dapat. Hai Saudah binti Zum'ah, berhijablah engkau terhadap anak ini (jangan lihat dia seperti lelaki lain)". Maka Saudah (isteri Nabi) tidak pernah melihat anak itu sekalipun juga."

Kata Al-Hafiz Al-Bulqaini dan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani dengan hadis ini nyatalah bahawa menghukum itu harus berdasarkan kepada yang zahir - tidak dengan ilmu batin kerana Nabi saw telah memutuskan anak itu saudara Abdullah bin Zum'ah dengan kata Nabi, "Da saudara engkau hai Abdullah' disebabkan anak itu berada dalam peliharaan Abdullah."

Walaupun anak itu adalah anak saudara Abdullah bin Zum'ah dan bersaudara pula dengan isteri Nabi - Saudah binti Zum'ah, akan tetapi Nabi memerintahkan isterinya agart berhijab dengan anak itu. Ia menunjukkan bahawa anak itu bukan saudara kepada Saudah binti Zum'ah secara hukum.

Pada Nabi, ada ilmu batin yang mengetahui siapa sebenarnya anak itu? Bukti-bukti lahir mengatakan bahawa anak itu adalah anak Zum'ah, sedangkan pada bukti secara batin menunjukkan bahawa anak itu adalah anak 'Utbah. Oleh itu Nabi memenangkan orang yang mempunyai bukti zahir serta menjalankan hukum batin kepada isterinya supaya memandang anak itu seperti bukan saudaranya, tetapi sebagai lelaki lain yang tidak jadi mahramnya.

Dengan hukum tersebut, Rasulullah menjalankan dua hukum sekaligus; hukum zahir dan hukum batin. Jadi hadis tersebut menyatakan kepada kita tentang adanya hukum batin, iaitu ilmu bagi orang-orang yang sufi.

Bersambung.... contoh2 lain.
0 Responses