Elias Hj Idris
Seseorang yang ingin berjinak dengan ilmu tariqat perlu berusaha untuk mencegah seluruh anggotanya daripada melakukan maksiat dan dosa. Setiap anggota badan perlu dikerah untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah swt semata-mata. Ia tidak digerakkan untuk membuat apa jua selain daripada yang mendatangkan munafaat pada dirinya di hari akhirat.

Sentiasa bermuhasabah diri... Allahu-rabbi!

Bencana Lisan

Dalam hal ini seseorang itu perlu bersungguh-sungguh memelihara lisan, iaitu lidah. Biarpun ia nampak kecil, tetapi bencana dan kesan yang bakal ditimbulkan teramat berat. Kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan merasa, kata orang tua-tua. Jadi, lisan itu perlu dicegah daripada membuat dusta (berbohong), ghibah (mengumpat) dan segala kata-kata yang dilarang oleh agama.

Hendaklah seseorang itu mengelakkan diri daripada menuturkan percakapan yang cabul dan kotor, caci-maki, mencarut dsb. Malah cuba dielakkan daripada melibatkan diri dengan segala yang tidak bersangkut-paut dengan diri sendiri. Memang ia tidak diharamkan, namun ia akan mengeraskan hati dan mensesiakan masa tanpa sebarang faedah.

Seterusnya, seseorang murid tidak akan menggerakkan lisannya, kecuali untuk membaca al-Quran atau berzikir. Jika tidak pun dia akan menyampaikan nasihat kepada saudara-saudaranya yang muslim; menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah daripada berbuat munkar (kejahatan). Dia juga mungkin menuntut kepada sesuatu hajat keduniaan yang akan dapat membantunya untuk mendapatkan kepentingan akhirat.

Nabi saw bersabda; "Setiap bicara anak Adam dikira atasnya, kecuali berzikir kepada Allah, ataupun menyuruh berbuat makruf (kebaikan) dan melarang daripada berbuat munkar (kejahatan)".

Bencana Telinga dan Mata

Perlu diingat, pendengaran dan penglihatan itu merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka terus menuju kepada hati. Apa sahaja yang masuk melalui kedua-dua pancaindera itu akan sampai ke hati untuk dirakam dan disimpan. Betapa banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia akan hal-hal yang tidak sewajarnya akan tetap sampai kesannya terhadap hati.

Dan perlu diingat, kesan itu pula terlalu sukar untuk dihapuskan begitu sahaja. Sebab hati itu akan segera terpengaruh dengan segala yang datang menghampirinya. Apabila hati telah terpengaruh dengan sesuatu perkara, nescaya amat sukar untuk memadamkan kesan itu daripada muka dan mata hatinya.

Seseorang murid atau mereka yang berminat mendalami ilmu ini perlu berhati-hati dalam memelihara pendengaran dan penglihatannya daripada perkara-perkara yang tidak wajar. Dia perlu berusaha secara bersungguh-sungguh untuk membenteng seluruh anggotanya daripada maksiat dan dosa; dan daripada campurtangan luar dalam urusan-urusan yang tiada kena-mengena dengan diri sendiri.

Jangan sekali-kali sampai memandang kepada bunga kehidupan dunia dan keindahannya dengan pandangan yang memikat hati. Sesungguhnya, zahir keindahan dunia yang dilihat itu adalah fitnah yang penuh dengan bencana. Kemudian batinnya pula adalah tauladan yang penuh dengan makna.

Mata sentiasa memandang kepada keindahannya yang zahir semata-mata, sementara hati akan memandang kepada tauladan atau inti pati yang ada di dalam atau di sebalik sana. Sudah berapa ramai murid dan peminat ilmu tariqat yang terbabas apabila memandang kepada sesuatu daripada kelazatan dan keindahan dunia, lalu hatinya pun terus terpikat kepadanya. Maka dia akan terus menyintainya serta berusaha untuk mendapatkan, mengumpul dan menyimpannya.

Hati yang mereka-reka kerana menurutkan nafsu... bila dan macam mana
mau mendapatkannya? Kebetulan ada pula peluang dan ruang untuk makan haram - rasuah!

Seseorang murid perlu memandu penglihatannya kepada segala ciptaan Ilahi di atas muka bumi. Tujuannya supaya seseorang itu tidak melihat akan sesuatu itu melainkan dengan pandangan penuh insaf dan iktibar. Jelasnya, apabila melihat kepada sesuatu ciptaan hendaknya dia akan segera teringat bahawa ciptaan itu akan binasa, lenyap dan tidak akan kembali lagi.

Sebelumnya, ciptaan itu tidak ada... lalu Allah swt mengadakannya. Lihat sahaja bagaimana sekian ramai anak Adam yang telah terpikat dan terpengaruh dengan segala ciptaan itu. Sedangkan kesemua anak Adam telah pergi. Mereka itu hilang lenyap entah di mana? Binasa. Sedangkan ciptaan-ciptaan Allah swt itu masih tinggal untuk diwarisi oleh generasi terkemudian yang bermula daripada orang-orang terdahulu.

Oleh itu, kamu atau sesiapa jua sebagai murid dan peminat ilmu ini lihatlah keada segala ciptaan Allah yang ada sekarang dengan pandangan seseorang yang mengaku akan kesempurnaan kuasa Zat yang mencipta dan mengadakannya - iaitu Allah swt.

Sebenarnya, semua ciptaan Allah swt yang ada di atas muka bumi ini sentiaa menyeru dengan lidahnya, didengar oleh orang-orang yang bercahaya hatinya. Mereka yang dapat melihat sesuatu dengan nur Allah swt - bahawa tiada Tuhan yang lain, melainkan Allah - Tuhan yang Maha Kuasa lagi Bijaksana.

Bersambung... (Sentiasa dalam Taharah)
2 Responses

  1. Anonymous Says:

    Jalan2 Tareqat salah satu memelihara anggota daripada maksiat.
    Bukan saja anggota zahir semata2 wajib dihindarkan dari maksiat.
    Malah anggota batin dulu paling utama dihindarkan dari maksiat.
    Pandangan pendengaran perasaan terukir diminda berupa maksiat.
    Dosa pertama anak2 Adam melanggar arahan Adam tidak disekat.
    Jika tidak masakan Kane and Ebel berebut sesuatu berupa nikmat.
    Hingga seorang terbunuh menurut nafsu seraqah dikutuk dilaknat.
    Dari sini bermula membiak bangsa2 keparat kufur tersesat melarat.