Elias Hj Idris
Dalam hal serangan kaum fuqaha terhadap ahli sufi, banyaknya berkait dengan soal hawa-nafsu, dengan maksud-maksud tertentu yang tersembunyi. Jelasnya, ia berkait dengan perjuangan untuk hidup duniawi dan merebut pengaruh. Sedangkan perjuangan dan permintaan kaum sufi cuma; "Orang yang sebenar-benarnya faqih pertama sekali adalah 'abid', iaitu banyak menyembah akan Allah. Kemudian dia punya ilmu berkait dengan batas-batas yang ditetapkan oleh Allah dan syariat-Nya."

Pada kaum sufi, beribadat adalah syarat bagi ilmu agama. Lantaran, pada pandangan ahli tasauf, golongan fuqaha tidak mungkin mencapai syarat tersebut. Dan oleh yang demikian mereka menolak golongan tersebut. Contoh, seperti yang kita dapat lihat bagaimana golongan agama boleh terjebak dengan kumpulan yang jelas menentang hukum Tuhan. Terkadang-kadang mereka pula yang berlebih, terutama dalam memerangi ekstremis agama dan militan (kononnya!).

Sedangkan kita semua tahu mana ada ekstremis dalam Islam? Kita cuma dikehendaki bertegas dengan segala yang berkait dengan hak Allah swt. Adakah itupun sudah dikira militan? Neraca pertimbangan mana yang kita gunakan? Kafir atau Islam!

Lebih berbahaya lagi pada masa akan datang di mana ulama-ulama tasauf dapat menentukan sikap mereka terhadap peribadi kaum fuqaha - mana yang benar dan mana pula yang mengarut! Mereka boleh menentukan kepada pihak ramai mana di antara kaum fuqaha yang boleh diterima-pakai. Selalunya, pendapat mereka ini akan diterima ramai. Sedangkan kaum fuqaha tidak mungkin akan dapat berbuat demikian. Sebaliknya, mereka pula yang mungkin akan tersisih dan tidak mendapat sokongan.

Ahli tasauf biasanya dapat mencuri perhatian orang ramai, khalifah dan penguasa negeri lebih daripada yang dapat dibuat oleh kaum fuqaha. Dan dalam keadaan demikian, kesannya usah terperanjat jika kaum fuqaha sendiri yang melancarkan serangan terhadap ahli tasauf dengan pelbagai cara - semata-mata kerana mahu mendapatkan kedudukan di mata dunia.

Mesjid lama Baluchistan

Malah mereka tidak akan teragak-agak sedia mengganggu-gugat kalangan ahli tasauf demi memastikan kelangsungan penerimaan ramai terhadap mereka. Ia menjadi lebih mudah kerana kaum fuqaha mempunyai kelebihan melalui kedudukan mereka dalam masyarakat. Lebih jahat apabila mereka adalah sebahagian daripada pemerintah. Sedangkan bagi ahli tasauf dan kaum sufi walaupun masih tidak mencukupi syarat, namun mereka suka beribadat walaupun tanpa mempelajari hukum-hukum agama dengan lebih mendalam.

Adalah lebih mudah untuk beribadat sahaja daripada belajar bertahun-tahun dengan penuh tekun. Kita tidak menafikan ada kalangan ahli tasauf yang palsu, belum berstatus ulama malah ada yang berlebih-lebih dalam peraturan syariat sesuai dengan pertimbangan senddiri-sendiri. Ada yang terpedaya dengan pelbagai cara malah melewati batasan Islam pun ada. Dan tidak kurang pula yang berasakan diri mereka telah melewati segala tatatertib syariat dan akhlak Islam.

Jelasnya, ulama sufi mampu melakukan apa yang tidak boleh dibuat oleh kaum fuqaha. Ada juga kalangan ahli sufi yang tidak menjaga akhlak dan adab sebagaimana sepatutnya, lantaran mereka beranggapan ia hanya perlu buat oleh mereka yang belum mencapai taraf sufi!

Sebenarnya, ilmu tasauf yang hakiki tidak pula mengakui kedudukan ulama-ulama tasauf seperti yang berlaku di akhir-akhir ini. Neraca akhlak begitu sebenarnya tidak ada dalam kamus ilmu tasauf. Ilmu tasauf yang sebenar keberatan malah akan menentang ahli sufi dari kalangan yang bermudah-mudah itu.

Oleh itu adalah perlu untuk kita semua mengikuti ajaran tasauf yang sebenar, tetapi... apa dia?
5 Responses
  1. H.Sakinah Says:

    Salam P.Elias,

    Nak tanya, imam-imam besar seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie, Imam Hambali etc tu merupakan kaum Fuqaha ke? Atau dikira macamana.


  2. Mereka dr kalangan kaum fuqaha.


  3. H.Sakinah Says:

    Terime kasih! Ikut buku Memahami Tasawwuf Yang Shahih, imam2 tersebut memuji tasauf. Idealnya, Imam Ahmad (maaf tadi tak sebut) menyuruh kaum fuqaha bersahabat dengan ahli tasauf.

    Sebelumnya dia sendiri tidak menyukai ahli tasauf sebelum mengetahui keadaan sebenarnya. Mungkinkah serangan ini terjadi kerana salah faham saje? Maaf saya masih jahil dan baru belajar, kalau ada salah tolong betulkan.


  4. Selama ini Islam didominasi oleh golongan fuqaha. Apabila datang kaum sufi, mereka lebih tertib dlm hal pengabdian - seolah2 asing.

    Apabila mula memahami, perlahan2 mereka pun dapat menerima.
    Cuma rata2, rasa cemburu tu tetap ada terhadap kaum sufi.