Elias Hj Idris
Sebenarnya, teman pun bukannya pandai sangat dalam hal ini. Namun mana-mana yang ada sedikit itu biar kita kongsikan bersama. Kalau tersilap mari sesama kita betulkan. Teman sisipkan keutamaan solat itu di sini sebab ia adalah pokok penting bagi seseorang mukmin. Apabila di padang mahsyar nanti solatlah yang pertama sekali disoal dan dinilai. Kemudian ia diikuti oleh amal ibadat yang lain, tanpa mengira amal jariah atau sehebat mana kedudukan seseorang itu di dunia ini.

Pada pengkisahan Isra' dan mikraj oleh Mufti Besar Perak, Tan Sri Hj Harussani Zakaria di Beruas pada tahun lalu - beliau memberitahu bahawa bait-bait syahadah dalam tasyahhud itu diungkapkan oleh sekelian para malaikat! Teman membantah dan mengirimkan sepucuk surat berdaftar - yang hingga ke hari ini tidak dijawab. Ya la... siapa aje la teman ni, kan! Sedangkan, watak utama dalam upacara penerimaan fardu solat itu adalah baginda Rasulullah saw. Maka segala-galanya mestilah berkisar di sekitar upacara ketika baginda berada di balai penghadapan Allah swt. Peristiwa besar yang diikuti oleh sekelian penghuni langit, para malaikat, dan nabi-nabi yang terdahulu.

Di dalam tasyahhud itu sesungguhnya terdapat dialog yang berupa puji-pujian terhadap Nabi Besar Muhammad s.a.w. Ucapan baginda itu dijawab Allah s.w.t. kemudian diikuti dengan pengiktirafan terhadap baginda sebagai hamba dan pesuruh Allah.

Kata Nabi: “Segala kehormatan, keberkatan, dan ucapan yang baik-baik bagi Allah semata-mata;
“Keselamatan bagimu wahai nabi, beserta dengan rahmat Allah dan berkat-Nya;
Kata Nabi: “Keselamatan bagi kami dan bagi para hamba Allah yang soleh;


Daripada keselamatan yang dipohon oleh Nabi serta bagi umat-umat yang soleh itu, Allah Taala ingin tahu apakah imbalan atau balasannya?

Nabi pun berkata: “Aku bersaksi  bahawa tiada tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah";

"Dan bahawa Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya.”

Nota:  "... hamba dan pesuruh-Nya" itu ungkapan daripada '...'abduhu wa-rosuluh."

Daripada perisytiharan tersebut, maka sekalian para nabi dan malaikat yang menyaksikan peristiwa yang hebat dan bersejarah di balai penghadapan itu terus bersalawat ke atas baginda, keluarga dan mengucapkan setinggi-tinggi terhutang budi kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya.

Ya Allah, sejahterakanlah Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad;
Sebagaimana Engkau telah sejahterakan Nabi Ibrahim;
Demikian juga ke atas keluarga Nabi Ibrahim;
Berilah keberkatan ke atas Nabi Muhammad;
dan ke atas keluarga Nabi Muhammad;
Sebagaimana Engkau telah beri keberkatan ke atas Nabi Ibrahim;
dan ke atas keluarga Nabi Ibrahim;
Pada sekelian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.

Ia diakhiri dengan Nabi Muhammad pun mengucapkan salam, memohon daripada Allah s.w.t. akan kesejahteraan ke atas mereka yang telah berselawat ke atas baginda.

Assalamu-alaikum warohmatullah.

Dari sini timbul satu peristiwa, apabila dalam keasyikan sekelian penghuni langit, para malaikat dan nabi-nabi berselawat ke atas Nabi dan keluarga baginda, satu malaikat itu tidak berselawat. Dia telah diperintahkan oleh Jibril supaya sayapnya dipatah-patahkan.

Dia meraung kesakitan sepanjang baginda turun dan naik menemui Nabi Musa dan Allah s.w.t. Baginda turun-naik kerana memohon agar jumlah kewajipan itu biar dikurangkan daripada 50 waktu kepada 5 sahaja. Sebab menurut Nabi Musa umat Nabi Muhammad tidakkan termampu melaksanakannya nanti.

Israk dan mikraj yang berlaku ke atas diri baginda itu terdiri daripada tiga peringkat; iaitu dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa, kemudian dari Masjidil-Aqsa ke Sidratul-Muntaha dan akhirnya, dari Sidratul-Muntaha ke Qab Qausaini Aw-Adnaa (tempat yang paling hampir sekali di hadrat Allah s.w.t.).

“Sebab itu, solat juga terdiri daripada tiga peringkat,” jelas tuk guru teman. “Ia bermula dengan berdiri, kemudian ruku’ dan sujud.”


Di waktu sujud itulah saat dan amalan yang paling hampir dengan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t. dalam al-Alaq: 19 yang bermaksud; “Dan bersujudlah sambil mendekatkan diri.”

“Maha Suci Tuhanku lagi Maha Terpuji,” ucapan agung ketika kita sujud.

Dalam keadaan yang paling hampir inilah kemudiannya berlaku dialog dalam tasyahud itu. Ia memaparkan keagungan syahadah bagi seseorang mukmin. Maka di sini letaknya pengakuan Rasulullah s.a.w. akan Khaliqnya diikuti dengan pengiktirafan akan taraf hamba dan pesuruh Allah, iaitu Muhammad.
2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Maqam Mahmud, Maqam Terpuji...


  2. Black Ops Says:

    Israq bermula dari Masjidil Haram ke Masjidul Aqsa jauh sekali.
    Mikraj bermula dari Masjidil Aqsa keSidaratul Muntaha paling tinggi.
    Dari Sidaratul Muntaha keKab Kusyaini disitulah Maqam Terpuji.
    Diibaratkan anak panah dgn busarnya malah labeh hampir lagi.
    Disitu diHadrat Khaliqnya SiHamba itu sujud merendahkan diri.
    Penyaksian pengakuan dlm Hakeqat Syahadah itu mahu dulu dicari..