Elias Hj Idris
Ada banyak lagi ayat al-Quran yang dijadikan sandaran oleh ahli sufi bagi menjadi sufi sebenar. Mereka memandang al-Quran sama dengan pandangan umat Islam yang lain. Ia tetap kitab undang-undang syariat Islam yang berisi kewajipan beribadat. Syarat-syarat yang terkandung di dalamnya merupakan pembuka jalan bagi ibadat yang diwajibkan - yang membawa seseorang itu menyintai Allah lebih daripada yang lain.

Seluruh ayat al-Quran membawa manusia agar mengenal dan menyintai Allah swt. Ia bukan cinta kosong, tetapi siap dengan penetapan ibadat yang cukup dengan tempoh waktu yang tidak boleh dilanggar atau dilalaikan sedikit pun. Ini semua meruntun perhatian hati manusia lebih daripada yang lain. Inilah tugas yang telah dijelajahi oleh ahli-ahli sufi dan pencintanya sepanjang masa.

Sebenarnya, ahli sufi ini pun tiada apa bezanya dengan umat Islam lain yang sama-sama mengaku beriman. Bezanya cuma dua; ahli sufi suka memilih ibadat yang berat-berat serta memilih pekerjaan yang sepanjang masa untuk Tuhannya. Contoh, jika setiap mukmin diperbolehkan melakukan solat sepertiga malam, biasa setengah malam dan maksimum dua pertiga malam - maka kaum sufi akan memilih yang dua pertiga malam!

Kedua, dalam soal makanan, pakaian dan keperluan hidup yang lain. Mereka akan memilih yang sederhana dan paling minimum. Bukan bererti mereka tidak minat dengan segala yang enak dan kelapangan, tetapi mereka tidak mahu membuang masa dan fikiran dengan lebih banyak tertumpu kepada usaha mencari, mengurus dsb terhadap sesuatu yang bagus dan indah-indah, apatah pula dengan makanan yang sedap-sedap.

Pakaian bulu, umpamanya murah. Ia tidak perlu kerap dicuci dan seterika. Kekuatan dan ketahanannya melebihi kain yang lain. Rasa badan apabila memakainya memang tidak selesa, tetapi apabila sudah lama ia menjadi biasa saja. Ia pun tidak perlu disediakan banyak-banyak.

Makanan dan minuman pun cuma ada dua hitam; air putih dan tamar. Air dan tamar itu pun tidak banyak makan modal sebab tamar sudah tidak perlu dimasak. Ia berkhasiat dan cukup mengenyangkan. Mungkin perut agak sukar menghadamkan, tetapi lama-kelamaan ia sudah tidak memberatkan. Waktu selebihnya dapat digunakan untuk beribadat juga.

Demikian al-Quran merupakan sumber utama bagi kaum sufi. Pada mereka yang tidak mengambil sumber daripada al-Quran akan menghadapi kesukaran untuk memperoleh pengajaran sufi yang lebih tulen.
0 Responses