Elias Hj Idris
Contoh lain daripada pekerjaan ahli sufi ada disebut dalam al-Quran pada surah al-Muzzammil: 1-9;

"Hei, orang yang berselimut (dengan selimut kenabian).
Sembahyanglah pada malam hari, kecuali sedikit daripadanya saja.
Iaitu separuh malam atau kurangkanlah sedikit daripadanya.
Atau tambahi daripada seperduanya dan bacalah akan al-Quran dengan tertib.
Kerana Kami akan menurunkan kepada engkau perkataan-perkataan yang amat hebat (besar).
Sesungguhnya beribadat pada malam, lebih tetap dalam hati dan lebih lurus bacaannya,
Sesungguhnya, bagi engkau pada siang hari ada pekerjaan (urusan) yang banyak,
Dan ingatlah (sebutlah) akan nama Tuhan engkau dan berbaktilah engkau kepada-Nya akan sebenar-benar berbakti."

Nabi Muhammad saw ataupun sekelian sahabat baginda telah mengerjakan perintah surah al-Muazzammil ini selama 8 tahun lamanya. Nabi bersolat malam hari dengan sekelian sahabat baginda sampai bengkak-bengkak kaki mereka kerana terlalu lama berdiri. Dan ada yang berdiri dengan memegang tongkat.

Kesukaran  mereka iaitu untuk mengira waktu adakah sudah cukup atau tidak mereka bersolat sepertiga malam minimum atau seperdua malam ataupun dua pertiga malam. Dan waktu dua pertiga malam itu harus dihabiskan dengan solat dan solat itu seperti biasa harus dengan membaca al-Quran dengan tertil, iaitu membaca satu huruf demi satu huruf.

Kemudian ayat-ayat al-Quran yang turun pada malam itu masih sedikit sekali. Iaitu 5 ayat pertama daripada Iqra' surah ad-Dhuha seluruhnya, surah al-Quran seluruhnya, kemudian surah al-Muzzammil ini. Maka sudahlah terang pada setiap rakaat Nabi saw membacakan semua ayat yang sudah turun itu.

Sehingga dalam satu malam, surah Iqra' telah dibacakan beberapa kali oleh Nabi saw. Demikian pula surah Adh-Dhuha, surah al-Qalam, surah al-Muzzammil. Kemudian turun pula surah al-Muddaththir dll. Setelah banyak ayat al-Quran turun maka semakin ramai para sahabat yang menghafalnya. Waktu solat itu digunakan sebaik-baiknya buat mengulangi ayat yang sudah dihafal. Demikian dengan makmum sekelian pun baik juga untuknya menghafal.

Apa yang penting dalam ayat itu cara solat setengah malam menurut yang sedang dan dua pertiga malam yang maksimum. Kedua, orang itu harus mengingat Allah dan memutuskan diri untuk-Nya. Ertinya jangan lagi melaksanakan pekerjaan lain. Contoh, seperti yang telah dilakukan Nabi saw dan sahabat-sahabat. Jangan pula melebihi, sebab ia pasti tidak baik.

Kesimpulannya, pekerjaan orang sufi memberikan waktu sepenuhnya untuk mengingat dan menyebut-nyebut nama Allah dengan solat, dengan membaca al-Quran dan tasbih, tahmid, takbir dan lain-lainnya, juga jika membeca selawat atas Nabi. Ini bererti tabtil kepada Allah swt. Ertinya berhadap dengan keseluruhannya kepada Allah swt dan memutuskan hubungan dengan yang lainya.

Dasar lain daripada ahli sufi tersebut dalam al-Quran surah al-A'raaf: 204;

"Dan ingatlah akan Tuhanmu di dalam dirimu dengan merendahkan diri dengan berasa takut dan ngeri, dengan perkataan yang tidak sampai terdengar-dengar kuat, pada pagi-pagi hari dan petang hari, dan janganlah ada engkau daripada orang-orang yang lalai (dari mengingat dan menyebut nama Allah itu)".  

Dengan demikian menyebut nama Allah harus dengan perkataan yang perlahan; jangan terlalu kuat. Sebab kalau dah terlalu kuat tandanya tidak hormat; dan kalau terlampau perlahan pun tidak kedengaran, tidak berkesan pula di dalam hati dsb.

Itu sebab orang-orang sufi membahagi-bahagikan seuruh waktunya untuk mengingat Allah swt.

Kemudian Allah mengatakan;

"Merekalah orang mukmin yang sebenarnya. Bagi mereka beberapa darjat di sisi Tuhan mereka dan juga ada ampunan-ampunan."

Dalam ayat ini Allah swt menetapkan orang-orang mukmin yang memutuskan diri untuk mengingat dan menyebut Allah dengan solat, membaca al-Quran, bertasbih, tahlil, tahmid, takbir, selawat atas Nabi dsb itu adalah orang mukmin yang tulen, yang akan beroleh kedudukan yang tinggi pada sisi Tuhan serta memperoleh keampunan.

Dalam ayat lain, surah al-Hijri:  99 Allah swt menyatakan; "Dan sembahlah Tuhanmu, sampai datang kepada engkau keyakinan (mati)."

Jangan berhenti sejenak pun daripada mengingat dan menyebut Allah dalam hal dan waktu apa jua sampai datang maut. Inilah tugas yang diusahakan oleh orang-orang sufi.

Kemudian ayat 'Wattaqullah wa-yu'allimukumullah' yang bererti, "Dan takutlah kamu akan Allah, nanti Allah mengajari kamu."

Pada orang sufi, taqwa kepada Allah itu adalah jalan yang harus ditempuh supaya Allah sudi memberikan rahmat cahaya, ilham dan limpahan rabbani. Ia bererti taqwa itu dasar pertama untuk menjadi asas pengharapan sinaran daripada Allah - limpahan cahaya nurani sehingga hati menjadi terang, gembira menempuh segala amal ibadat, benci dan berasa sulit jika akan memasuki pintu-pintu maksiat dsb. Setelah 'isyraq' (sinaran) itu datang, kita harapkan menerima kurnia ilham dan limpahan-limpahan rabbaniah daripada Allah.
0 Responses