Elias Hj Idris
Berikut ini adalah sedutan daripada muka surat 417-423 novel 'Anak Perempuan Kabaret', iaitu berkait dengan bicara solat.

BARU seminggu lalu Pak Guru Haji Hasyim memberitahu tentang tindakan serentak yang berlaku dalam solat. Ia terikat di antara pergerakan anggota lahir, pemusatan akal fikiran dan pencurahan rasa cinta, gentar dan kagum terhadap keagungan Allah s.w.t. Penyertaan yang harmonis itu adalah syarat utama buat menjiwai ibadat tersebut.... Penyertaan anggota-anggota lahir, akal dan perasaan adalah syarat yang akan memberi kesan besar terhadap jiwa manusia.

“Inilah corak solat yang kusyuk,” jelas pak guru. “Ia melambangkan sikap penghambaan diri yang tulus kepada Allah s.w.t.”

Ia mempunyai pengaruh yang besar dalam mencorakkan fikiran, perasaan dan budi pekerti manusia. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Ankabuut: 45; “Sesungguhnya solat dapat menghalangi manusia daripada kecurangan dan kejahatan.”

Seterusnya Allah s.w.t. berkata lagi dalam surah al-Mukminun: 1; “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang mukmin yang kusyuk dalam solat mereka.”

“Kusyuk itu terpancar dari lubuk hati yang dibaluti taqwa dan kesannya dapat dilihat pada ketenangan seluruh anggota ketika solat,” kata pak guru lagi.

Ramai juga di antara anak murid perempuan yang bersama-sama dengannya menguap. Mereka tidak pun memberikan perhatian kepada ajaran pak guru itu. Ia merupakan bab yang paling dibenci oleh syaitan dan iblis. Kerjanya adalah melalaikan.

“Solat ini adalah satu pengembaraan dan penerokaan yang indah dan mengasyikkan di alam rohani,” kata pak guru yang banyak menghasilkan buku-buku agama itu lagi. “Detik-detik solat yang pendek itu merupakan pembebasan diri kita daripada sifat kebendaan, menolak tuntutan nafsu dengan lari daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kehidupan.”

Sebab di situ letaknya pertemuan yang mesra di antara hamba dan Khaliqnya. Si hamba melahirkan seluruh perasaan keabdiannya. Ia membuka pintu hatinya yang berdosa itu untuk dibersihkan dengan keampunan Ilahi. Seterusnya, si hamba menyerah seluruh dirinya agar dilimpahkan dengan semangat baru, harapan baru, hidayah baru, kepercayaan baru, kekuatan baru dan keberanian yang baru untuk meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa penuh dengan cabaran itu.

Solat merupakan penyertaan harmonis anggota lahir, akal dan perasaan yang akan membawa kepada rasa cinta, gentar dan kagum terhadap Allah s.w.t. serta keagungan-Nya. Jika tidak, solat itu akan jadi sekadar satu senaman yang tidak membawa apa-apa kesan terhadap jiwa manusia.

“Kusyuk itu adalah jiwa dan mahkota solat,” kata Ustaz Yusuf Zaki, seorang ulama dan penulis terkenal dari Kota Bharu. “Usaha dan latihan perlu dibuat, terutama dari segi memahami erti bacaan dan ucapan dalam solat.”

Dalam satu peristiwa, Abi Hurairah, seorang perawi hadis yang terkemuka merungut kerana dia sakit perut. Rasulullah s.a.w. berkata, “Bangun dan dirikan solat kerana dalam solat itu ada kesembuhannya.”

Setelah mempelajarinya, Nurul Fasha baru sedar bahawa solat itu adalah suatu bentuk riadah jiwa dan riadah tubuh badan. Di dalamnya terdapat gerak-geri bangun, rukuk, sujud, mengemas dan mengendurkan otot-otot badan, sendi dan anggota lain, terutama di bahagian perut. Tali-tali perut akan sama-sama bergerak dan bersenam. Kerja peragaan fesyennya pun tidak sampai begitu sekali senaman dan pergerakannya.

Syeikh Abdul Latif dalam kitab Al-Arba’in menyebut bahawa, “Aku melihat ramai orang yang hidup mewah tanpa kerja, sedangkan mereka sihat. Apabila kuselidiki rupa-rupanya mereka banyak bersolat dan tahajjud, iaitu solat lewat malam. Contohnya, gerakan sujud itu membuka ruang hidung yang tersumbat bagi orang yang selesema. Ia juga memberi kesan besar dalam memudahkan proses berak, kencing serta memudahkan makanan turun ke dalam usus. Usus-usus ini pula akan menekan antara satu dengan yang lain.”

“Solat dapat melapangkan jiwa, melenyapkan kerunsingan dan memadam api kemarahan,” kata pak guru lagi. “Ia menjadikan seseorang itu merendah diri pada orang lain, penyabar, toleransi dan berfikiran tenang.”
Setahu Nurul Fasha, Imran sering melakukan solat di waktu lewat malam. Ketika menumpang di rumahnya dahulu pun Imran bersolat malam. Cuma dia tidak pasti sama ada Imran ada melakukannya ketika berdua-duaan dengan Amelia sewaktu percutian mereka. Pada waktu malam begitu semua mata tertutup nyenyak, suara menyepi, kekuatan bumi membisu lalu kekuatan alam rohani terserlah membuka tirainya. Mulut lalu menuturkan kata-kata dengan penuh syahdu ke hadrat Allah s.w.t.

Itulah saat kita berada dalam kandungan Zat Wajibal-Wujud; berada dalam kalimah Lailaha-illallah di mana iblis dan syaitan cuba memesong dan menyesatkan itu terhindar jauh. Jiwa jadi tenang dan akan lahirlah air muka yang berseri-seri.

“Tengoklah bagaimana keadaan orang yang tidak solat,” kata pak guru sambil menjeling satu persatu anak muridnya yang datang mengaji. “Berkat umurnya dicabut... hidupnya susah dan tidak aman, seri di wajahnya hilang, amal kebajikan tertolak dan doanya tidak dimakbulkan. Dan sedihnya, dia tidak termasuk dari kalangan orang mukmin.”

“Orang kafir tu tak solat, tapi kaya-raya!” tingkahnya kepada Imran bagaikan mengikut akal budak-budaknya.

“Err... macam Firaun tu kan! Macam Mustapha Kamal Attartuk... macam Mao Tze Dong.”

Dia mengangguk.

“Lihat la mati mereka macam mana? Penuh dengan kehinaan... berkeadaan lapar dan dahaga yang teramat sangat,” sahut Imran. “Mustapha Kamal Attartuk itu dimandikan dengan air ais, tapi dia masih terjerit-jerit berasakan bahang panas badannya.”

Akhirnya dia dan Mao Tze Dong tidak diterima bumi. Asal mereka dari tanah, tetapi tanah tidak sudi menerimanya lalu diawetkan buat pameran; di bumi mereka tidak jejak dan ke langit mereka tak kesampaian!

“Itu tandanya mati dengan kehinaan,” kata pak guru. “Kita pun begitu juga... ketika hidup ni bolehlah mendabik dada, cakap sombong, duit banyak... tapi bila dah tua dan semakin uzur serta penyakit pun mula singgah, apa cerita?”

“Kemudian ketika dalam kubur nanti... kubur tu gelap pekat dan disempitkan sampai patah-patah tulang rusuk. Kemudian api dipasang menyala-nyala lalu datang ular ‘syuuja’ yang akan menggigit-gigit sampai hari kiamat.”

“Belum habis lagi kan!” pak guru menjeling.

Dia memandang mereka. Lembut.

“Sampai di akhirat... hisab amalannya berat sekali, banyak soal-jawab dan tak ada belas kasihan.”

“Kenapa?”

“Allah s.w.t. benci... dosa solatnya tidak diampunkan dan malaikat membelenggunya.”

“Apa kesudahannya, pak guru?”

“Kamu tau apa itu neraka?”

“Tau,” sahut Nurul Fasha sambil mengerutkan keningnya.”Ia tempat yang paling hina dan azab sengsara.”

“Sanggup kamu hadapi?”

“Takkk!” semua anak murid menjawab serentak.

Kenang-kenangan ini yang membuatkan Nurul Fasha kepingin untuk mempelajari dan mendalami ilmu agamanya. Dia belajar dan bertanya Imran juga. Jika ada kesempatan dia ingin pergi mengaji di sekolah pondok. Dia boleh memilihnya untuk mengaji dalam waktu-waktu yang singkat. Dia sendiri pun telah semakin tenang dan entah kenapa kegelojohannya menyeranah Encik Murad itu terus menghantuinya. Itu tanda bersalah, bak kata orang. Dia pun seakan-akan mengakuinya apabila dia sendiri terasa malu sekiranya tersua muka dengan lelaki itu lagi.

Isyy... malu, bisik hatinya.

Selerak  jiwa orang tak solat....
0 Responses