Elias Hj Idris
Alam tasauf merupakan satu alam yang penuh perhatian.

Bagi orang yang belum pernah memasuki atau belum mengenalinya akan mengira bahawa alam ini penuh dengan mistik, penuh dengan kesulitan dan keusahan hidup. Sama halnya dengan mereka pencinta nafsu dan syahwat yang selalu berkumpul di tempat awam atau di kedai-kedai makan, kelab dan disko berasakan para pemikir dan penulis yang tekun dalam bilik kerjanya sebagai orang yang bodoh dan hanya menyusahkan diri sendiri. Orang yang tidak tahu menikmati keseronokan dunia!

Sedangkan sebaliknya bagi pemikir dan penulis itu pula berasakan kerjanya yang berjam-jam itu dilalui dengan penuh nikmat. Ia waktu yang amat bahagia. Demikian bagi ahli ibadat yang tekun menghadapi kiblatnya dengan sentiasa memuji dan membesarkan Allah swt seorang diri tanpa diketahui orang lain - siang dan malam berasakan itulah umurnya yang sebenar dimunafaatkan. Itulah pekerjaan yang sebaik-baiknya sebab dia telah memulangkan dirinya kepada Khaliq dan tidak untuk lain walaupun bagi kepentingan dirinya.
Demikian alam tasauf yang penuh dengan latihan dan kesucian itu yang tidak mungkin dapat difahami oleh orang luar. Namun bagi orang yang sentiasa melatih dirinya menyintai Allah supaya dicintai Allah, alam tasauf adalah alam yang sangat menarik; alam yang diidam-idamkan, alam abid, alam orang yang tahu bahawa dia akan hidup berjuta-juta dan berbilion tahun setelah meninggalkan dunia yang pendek hayatnya ini.

Alam itu ibarat lautan yang tidak bertepi. Ia yang tidak dapat disebut betapa indah dan kaya-rayanya. Penuh dengan segala kesenangan rohaniah, penuh dengan kekayaan nan abadi. Ia tempat berkhalwat dan munajat yang seenak-enaknya - tempat memohon ilham ruhaniat dan jawapan hati seperti kata Nabi saw; "Tanyailah hatimu," dalam sesuatu persoalan yang pelik kerana hati itu tidak akan memberikan jawapan yang tidak baik.

Ada orang yang mengatakan bahawa tasauf itupun sama dengan suara-suara muzik yang klasik penuh rahsia dan keajaiban, yang dapat membangkitkan semangat dan niat suci dalam hati setiap pendengarnya, yang mengasyikkan mereka yang melakukan amalan-amalan yang baik. Demikian alam tasauf yang penuh dengan ilham yang akan menenangkan hati dalam menyintai Allah swt - penuh dengan segala limpahan ruhaniah daripada Allah swt.

Ucapan-ucapan yang keluar dari mulut orang-orang sufi memuji dan memuja Allah swt dengan kalimah yang sederhana, tetapi suaranya ibarat muzik yang sangat indah - dengan tekanan suara yang menambah hidup ruhaniah mereka di setiap saat menaiki darjat yang semakin tinggi mendekati Allah swt.

Oleh kerana darjat itu tidak terbatas, maka tingkatan-tingkatan ahli tasauf juga tidak dapat disebut betapa pula banyaknya. Siapa yang dahulu, tentu akan lebih tinggi daripada yang terkemudian jika pun sama nilai ibadat dan pengetahuan mereka.

Orang-orang sufi secara lahirnya adalah manusia biasa, tetapi pada batinnya mereka orang-orang Allah swt, orang yang dekat dengan-Nya; orang yang menyintai Allah swt dengan seluruh apa yang ada padanya - setidak-tidaknya pun merekalah orang yang memuji Allah swt dengan segala apa yang dapat diberikan. Merekalah orang yang terus-menerus mengembara kerana mengetahui kebesaran dan kemuliaan Allah swt lebih daripada apa yang pernah diperolehinya.

Cinta itu buta. Maka orang sufi menyintai Allah swt dengan mata dan hati yang buta daripada yang lain daripada Allah swt. Kalau dia melihat pun, maka apa yang dihimbaunya adalah Allah swt. atau kebesaran-Nya atau tanda-tanda-Nya atau rahmat-Nya atau limpahan kurnia ruhaniat-Nya. Setiap dia memperoleh kurnia sepatah kata atau setitik ilham ruhani, dia semakin asyik untuk mendapatkan tambahannya lagi dan lagi.


0 Responses