Elias Hj Idris
Latar cerita novel ini bermula dengan 'flashback' apabila Azman berada di jeti, tempat yang dimaksudkan adalah jeti Pelabuhan Klang - tempatnya selalu berkunjung. Selain daripada pengkalan penumpang bot ke pulau-pulau berdekatan, ia juga menjadi pintu masuk pendatang dari Indonesia. Malah di situ juga letaknya sampan Azman apabila dia turun ke laut.

Hatinya diamuk resah kerana 'kekasih' hatinya telah menerima kembali suami yang sekian lama menghilangkan diri. Zaidin menghilangkan diri kerana tergila-gilakan artis glamer, Julia Azia - di mana telah menimbulkan kekecohan dalam rumahtangga sehingga terhambur lafaz taklik terhadap isteri - Tengku Noor Aziriah. Sedangkan mereka punya tiga orang anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.

Azman, hero dalam cerita ini dipertemukan dengan anggota kerabat diraja ini melalui Zaimi yang telah sekian lama menjalinkan hubungan dengan anak Tengku Dora, kekanda Tengku Noor Azizirah. Dua budaya bertembung, tetapi Azman cuba menyesuaikan diri dengan cuba mengenali hati budi kerabat diraja yang sering terasing daripada masyarakat terbanyak.

Tempatnya, di Ipoh jadi hampir setiap minggu Azman berulang dari Kuala Lumpur; meninggalkan keluarganya dan menjadikan rumah ibu Zaimi, iaitu saudara angkat Azman sebagai tempat persinggahan. Dari situ setiap malam mereka keluar - makan-makan, balik ke rumah Tengku Dora (pada peringkat awal), menonton tv dan terkadang-kadang bermain 'jinrami'.

Dari situ Azman memerhatikan gelagat Tengku Noor Azizirah - yang lembut dan penyabar di samping lawa serta ayu, orangnya. Puteri raja ini juga punya seorang adik yang masih belum berpunya serta ibu saudara yang janda, tetapi itu tidak menarik perhatian Azman. Dia berasa senang dengan 'isteri' orang itu juga. Kemudian, dia terusik hati dengan gelagat ketiga-tiga putera-puteri yang masih kecil itu. Ya la... kebiasaan menjaga adik-adiknya sewaktu kecil dahulu masih membekas.

Jadi, Azman mula mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zaidin dan menjadi 'bapa' kepada anak-anak yang semakin membesar dan cukup comel itu. Apabila pergi berkelah di laut, dengan Zaimi dan kekasihnya sebagai 'pasport' Azmanlah yang memandikan mereka dengan air bersih, mengelap, mengenakan bedak dan memakaikan baju. Itu semua menjadi perhatian Aziriah yang sedang kesunyian itu.

Kemudian tiba saat Tengku Noor Aziriah menyambut harijadi. Sejak awal Azman menempah lukisan potret peteri raja itu dengan seorang pelukis terkenal. Itulah hadiahnya beserta dengan sejambak bunga mawar merah 27 kuntum diiringi sepucuk nota yang penuh dengan kata syahdu. Sesiapa pun pasti akan terkedu dibuatnya.

Hubungan masih seperti biasa - keluar pergi makan-makan di serta tempat terpilih. Ia turut disertai oleh ramai kerabat yang lain juga termasuk abang kepada Tengku Kamilia, kekasih Zaimi.

Kemuncaknya, apabila Azman pergi ke Singapura dengan kereta baru BMWnya. Tengku Noor Aziriah dan ibu saudaranya, Omzi ikut sama. Empat hari mereka di sana tinggal di Royal Hotel Holiday Inn dan puas 'shopping' ke serata ceruk Jalan Orchard. Jangan terperanjat ada hadiahnya juga buat puteri diraja itu.

Sekembalinya dari sana, Tengku Noor Aziziriah seakan sudah tidak segan-segan lagi dengan Azman. Mereka sudah biasa keluar berdua dengan ditemani anak-anak yang masih kecil itu. Ke mana-mana sahaja mereka berdua sehingga menjadi buah mulut dan menimbulkan soksek di kalangan anggota keluarga di beberapa buah istana di Perak dan Selangor!

Namun Tengku Noor Aziriah hanya memekakkan telinga. Dia selamba dan tetap membawa Azman pergi ke rumah-rumah kaum kerabatnya di merata-rata tempat. Dia seakan-akan mahu menunjukkan kepada ramai bahawa dia sudah pun mempunyai pilihan jika ditakdirkan Zaidin benar-benar serius meninggalkannya.

Masa terus berlalu. 6 bulan, 8 bulan, 10 bulan dan 12 bulan. Hubungan mereka semakin mesra bak sepasang kekasih dua sejoli. Sudah tidak ada sesiapa yang akan menghalangnya lagi. Hinggalah ke suatu malam apabila Azman agak terlewat tiba dari Kuala Lumpur. Sesampai sahaja di rumah puteri diraja itu, dia tertanya-tanya apabila ternampakkan kereta Zaidin di laman rumah, bawah pohon mangga.

Darahnya merecau dan benaknya menjadi kacau tidak tentu dilamun rasa yang pelbagai. Adakah Aziriah telah menerima kembali 'suami'nya itu? Bisikkan yang pertama menerjah. Dia keluar dari kawasan itu pergi menjelajah ke bandar Ipoh buat mengubat dan melegakan rasa hati yang sedang keluh-kesah itu. Kemudian dia kembali ke situ, kereta Zaidin sudah tiada. Keadaan dalam rumah sunyi-sepi bermakna Aziriah juga ikut keluar bersama dengan anak-anak mereka.

Pada malamnya, sekitar jam 12.00 tengah malam Azman ke situ buat meninjau. Kereta Zaidin sudah ada di tempatnya dan lampu rumah terang-benderang. Dia keluar dan datang semula sejam kemudian. Ia masih di situ. Kemudian dia datang lagi dan keadaan masih sama. Hatinya menggerutu. Sayu dan tidak menentu. Dia lalu kembali ke rumah ibu Zaimi dengan perasaan yang luluh.

Keesokan paginya, awal-awal lagi dia sudah ke sana. Keadaan masih sama. Zaidin masih ada di rumah. Pada tengahari pun begitu, mereka di rumah itu keluar dan kemudian kembali seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara mereka. Ini membuatkan hati Azman semakin diamuk rasa yang remuk dan kecamuk. Dan dia membuat keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur tanpa menemui Tengku Noor Aziriah lagi.

Tempatnya adalah di jeti itu meluahkan rasa debur di hati.

Dan selepas seminggu, Noor Aziriah pula yang tercari-carikan di mana Azman. Mereka patut bertemu pada minggu itu, tetapi kelibat Azman tetap tidak kelihatan. Dia turun ke rumah ibunya di Klang dengan tujuan yang satu - mencari Azman.

Puas dia ke sana dan ke mari, ke tempat-tempat yang biasa mereka kunjungi, tetapi tidak ketemu. Dia jadi bagaikan kucing yang kejatuhan anaknya - sambil gelagatnya itu diperhatikan oleh Omzi. Dan entah bagaimana, dia teringatkan satu tempat - iaitu di jeti pelabuhan. Mungkin Azman ada di sana, bisiknya.

Dia segera berkejar. Hari sudah malam dan keadaan mulai sunyi - dan perlahan dia berjalan menuju ke hujung jeti. Dan dalam keadaan berbalam-balam itu dia ternampakkan satu lembaga manusia yang leka merenung jauh ke arah laut. Apabila semakin mendekat, dia pasti bahawa itu adalah Azman, kekasih hatinya yang sedang bermuram; dia percaya.

"Man! Ni I datang...," serunya perlahan sambil menghampiri Azman dari belakang.

Sapaannya itu tidak berjawab. Terusik pun tidak. Azman tidak menghiraukan kedatangannya.

"Engkau ada orang yang lebih memerlukan, Azi...," kata Azman dengan suara yang jauh di dalam, tanpa menoleh. "Pergilah...."

Puas dia memujuk hingga akhirnya Azman berlembut, tetapi tidak lama apabila Azman tiba-tiba terkulai layu dalam dakapannya. Azman sudah bukan dalam keadaan yang normal lagi. Hanya nafasnya sahaja yang menaik sambil mata terus kuyu dan badannya lesu.

Dengan bantuan seorang apek tua yang lalu di situ, Noor Aziriah menaikkan Azman ke dalam kereta dan buru-buru membawanya ke hospital. Di sana dia dibawa ke wad kecemasan - dan Azman dimasukkan ke wad dalam keadaan yang tidak sedarkan diri.

Kini hatinya diamuk sayu dan berperang di dalam. Dia benar-benar cemas dan tidak keruan. Doanya berbakul meminta agar Azman dapat diselamatkan.

Soalnya, bagaimana keadaan Azman selepas itu? Adakah Azman dapat diselamatkan?

Kisah novel 'KEHILANGAN' pun tamat di situ.

Dan di situ intipati sambungan novel seterusnya... 'KEHILANGAN-2' yang sedang dalam proses penerbitan. Jangan lupa novel 'KEHILANGAN-3' yang sudah di peringkat akhir penulisan.

Apa dengan Azman selepas ketiga-tiga KEHILANGAN itu?
0 Responses